Friday, June 19, 2009

KITA PUNYAI KELEBIHAN APATAH LAGI ANAK-ANAK KITA!

Semalam saya dijemput ke udara di Astro Awani jam 8.00 malam membicarakan tentang tajuk "memperkasa sahsiah pelajar".Bersama saya Sdra. Irmohizam, GPMS dan Sdra. Wan Mohd Fyzal, Teras Pengupayaan Melayu dan dipengerusikan oleh Sdra. Suhaimi Sulaiman. Pandangan saya berkenaan isu pengurangan jumlah matapelajaran dalam SPM kepada 10 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bukanlah suatu isu sekiranya semua pihak khasnya para cendikiawan, guru dan ibubapa memainkan peranan aktif melihatnya daripada sudut yang positif kerana setiap isu yang dibangkitkan itu sudah ada yang berpandangan positif atau negatif.

Setiap ibubapa ingin melihat anak-anak mereka berjaya. Para guru juga sama dan begitu juga pihak kerajaan yang ingin melihat kejayaan generasi masa akan datang. Justeru dalam hal ini, semua pihak perlu bergandingan saling bekerjasama memainkan peranan demi kejayaan sahsiah pelajar bukan hanya menunding jari menyalahkan pihak guru sahaja. Ibubapa perlu menanamkan minat untuk anak belajar bukan memaksa mereka ke sekolah. Jika tidak ada minat dihati dan buat secara terpaksa maka bermacam perkara yang tak baik akan berlaku. Justeru, setiap pelajar ada kelebihan masing-masing. Kita perlu menggilapkannya kerana tidak semestinya mereka yang berkelulusan tinggi itu baik sahsiahnya!

Ini adalah antara cerita untuk sama kita renungi.

Seorang tukang air memiliki dua tempayan besar, masing-masing bergantung pada kedua hujung sebuah pikulan, yang dibawa menyilang pada bahunya.

Satu dari tempayan itu retak, sedangkan tempayan yang satunya lagi tidak.

Jika tempayan yang tidak retak itu selalu dapat membawa air penuh setelah perjalanan panjang dari mata air ke rumah majikannya, tempayan yang retak pula hanya dapat membawa air setengah penuh.

Selama dua tahun, hal ini terjadi setiap hari. Si tukang air hanya dapat membawa satu setengah tempayan air ke rumah majikannya. Tentu saja si tempayan yang tidak retak merasa bangga akan prestasinya, kerana dapat menunaikan tugasnya dengan sempurna.

Namun si tempayan retak yang malang itu merasa malu sekali akan ke-tidak-sempurnaan nya dan merasa sedih sebab ia hanya dapat memberikan setengah dari jumlah yang seharusnya dapat diberikannnya.

Setelah dua tahun tertekan oleh kegagalan pahit ini, tempayan retak itu berkata kepada si tukang air, "Saya sungguh malu pada diri saya sendiri, dan saya ingin mohon maaf kepadamu."

"Kenapa?" tanya si tukang air, "Kenapa kamu merasa malu?"

"Saya hanya mampu, selama dua tahun ini, membawa setengah jumlah air dari yang seharusnya dapat saya bawa kerana adanya retakan pada sisi saya telah membuat air yang saya bawa bocor sepanjang jalan menuju rumah majikan kita. Kerana kecacatan ini, saya telah membuatmu rugi." kata tempayan itu.

Si tukang air merasa kasihan pada si tempayan retak, dan dalam belas kasihannya, ia berkata, "Jika kita kembali ke rumah majikan besok. Aku ingin kamu perhatikan apa yang ada di sepanjang jalan."

Keesokannya, ketika mereka naik ke bukit, si tempayan retak memerhatikan keadaan di sepanjang jalan. Barulah ia menyedari bahwa ada bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan, dan itu membuatnya sedikit terhibur. Namun pada akhir perjalanan, ia kembali sedih kerana separuh air yang dibawanya telah bocor, dan kembali tempayan retak itu meminta maaf pada si tukang air atas kegagalannya.

Si tukang air berkata kepada tempayan itu, "Apakah kamu memerhatikan adanya bunga-bunga di sepanjang jalan hanya di sisimu... tapi tidak ada bunga di sepanjang jalan di sisi tempayan yang tidak retak itu? Itu kerana aku selalu menyedari akan kecacatanmu dan aku memanfaatkannya. Aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang jalan disisimu, dan setiap hari jika kita berjalan pulang dari mata air, kamu mengairi benih-benih itu. Selama dua tahun ini aku telah dapat memetik bunga-bunga indah itu untuk menghias meja majikan kita. Tanpa kamu sebagaimana kamu ada, majikan kita tak akan dapat menghias rumahnya seindah sekarang."

Setiap dari kita memiliki kecacatan dan kekurangan kita sendiri. Kita semua adalah tempayan retak. Namun jika kita mahu, Tuhan akan menggunakan kekurangan kita untuk menghias-Nya. Di mata Tuhan yang Maha Bijaksana, tak ada yang terbuang percuma. Jangan takut akan kekurangan kita. Kenalilah kelemahan kita. Ketahuilah, di dalam kelemahan kita, kita menemui kekuatan kita.

PERPADUAN : TERUSKANLAH

Perkara yang paling hangat diperkatakan sekarang adalah mengenai Kerajaan Perpaduan antara UMNO dan PAS. Media massa termasuk media baru - internet begitu hangat dengan pelbagai pandangan, reaksi, komen dan tak kurang juga maki-hamun. Semuanya ghairah bercakap berkenaan dengan kerajaan perpaduan ini, begitu juga yang menentangnya.

Secara peribadi saya berpendapat, perkara ini sudah berlaku semenjak awal penggabungan UMNO dan PAS dulu. Ianya tidak sepatutnya retak angkara sikap saling tidak mempercayai antara pemimpin kedua parti dulu. Sejarah tidak mungkin berbohong tetapi manusia yang banyak berbohong tentang sejarah. PAS adalah serpihan parti UMNO. Itu adalah realiti yang harus diterima oleh orang PAS. Mereka kena akuinya. Jadi jika benar perpaduan ini wujud maka ianya bolehlah diibaratkan seperti "sirih pulang ke gagang". Apa yang perlu digusarkan lagi sehingga Tok Guru pun melenting marahkan Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS. Saya kira Tok Guru pun semakin melupakan sejarah atau masih tersimpan peraaan tidak puas hati terhadap pemimpin UMNO yang masih berbuku. Tok Guru dihormati oleh orang PAS juga orang UMNO. Justeru, usahlah mudah melenting hingga hilang hormat orang kepada beliau. PAS boleh bekerjasama dengan PKR dan DAP yang secara terangan bertentangan dengan odeologi perjuangan PAS. Justeru, tiada bezanya antara perjuangan UMNO dan PAS kecuali nama PAS sebagai parti Islam. Itu sahaja.

Justeru, perpaduan harus diwujudkan demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair. Dalam kemelut yang semakin parah melanda tanahair ini ianya haruslah dipercepatkan dengan menerangkan secara jelas tentang perpaduan tersebut. Cuma, perpaduan ini tidak perlulah dihebohkan takut nanti seperti ayam ; 'bertelur sebiji riuh sekampung, telur sebiji itu pula tembelang"...bersatulah!