Monday, March 30, 2009

BERUBAH ATAU DIUBAH

Persidangan UMNO telah berlalu dan keputusannya sudah diketahui seantero dunia. Pelbagai taktik, strategi dan teknik digunakan. Adat dalam pertandingan, ada kalah dan ada yang menang. Yang kalah kena menerima dengan hati yang terbuka. Buat "brainstorming" dan muhasabah diri bukan melihat kesalahan orang lain. Jangan kita menjadi seperti pepatah Melayu yang berbunyi ; "yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu" atau 'menang sorak kampung tergadai".

Semuanya berada dalam satu kapal dan janganlah disebabkan kekalahan maka ada yang akan menebuk kapal supaya air masuk ke dalam kapal yang akhinya akan menenggelamkan kapal tersebut. Tenangkan fikiran dan rehatkan minda. Gunakanlah istilah ; "biduk lalu kiambang bertaut" atau "carik-carik bulu ayam, lama-lama betaut juga" kerana cabaran yang masih menunggu ternyata besar. Jangan rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi. Kota apa yang dikata. Para pemimpin jangan hanya beretorik. Masa orang lain bercakap pandai tetapi apabila kena batang hidung sendiri lain pula jadinya. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-bersenang kemudian dan bukannya bersenang selalu. Selesa dengan apa yang ada. Masa masih ada. Peluang masih terbuka. Air dicincang takkan putus cuma hati kena ikhlas dalam perjuangan. Bila tiada keikhlasan dalam perjuangan maka itulah timbulnya natijah lompat parti, perletakan jawatan dan pelbagai masalah lagi kepada UMNO sendiri.

Ingatlah bahawa UMNO lemah bukan kerana kekuatan pembangkang. UMNO lemah angkara masalah dalaman dan orang UMNO sendiri. Ini realiti dan hakikat yang harus diterima. Jadikan Pilihanraya Umum yang ke-12 tempohari sebagai iktibar bahawa rakyat semakin tidak menyenangi parti UMNO..Justeru, berubah atau tunggulah masa saatnya Malaikatulmaut datang menjemput UMNO!

Friday, March 20, 2009

PERPADUAN DAN PEKUNG YANG TERBUKA

Menjelang Pemilihan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung tidak lama lagi, pelbagai isu dan adegan yang berlaku. Budaya "cah keting" seolah-olah sudah sebati dengan UMNO. Sebenarnya bukan UMNO sahaja yang ada budaya tersebut malah parti lain juga sama cuma pekung UMNO banyak yang didedahkan media berbanding parti lain khasnya pembangkang. Mungkin orang UMNO lebih suka membuka pekung di dada. Bila pekung sudah terbuka maka kelemahan diketahui ramai. Semua orang tahu apa yang berlaku samada luaran atau dalaman. Justeru itu adalah antara punca kekalahan dalam PRU-12 yang lepas. Suka saya memetik tulisan Tsu Szu dalam bukunya,"The Art of War", yang bermaksud musuh akan senang dikalahkan jika ketahui kelemahannya. Buku ini adalah buku wajib yang dibaca oleh para pemimpin Cina khasnya samada dalam bidang politik, ekonomi dan sebagainya.

Bukankah UMNO dan PAS sama sahaja dari sudut perjuangannya cuma mungkin ideologi yang sedikit berbeza bagi memenangi hati rakyat. PAS dulu pun berasal daripada serpihan UMNO. Sama juga macam orang Melayu dalam PKR. Usul kerajaan campuran antara UMNO dan PAS hendaklah direalisasikan demi perpaduan bangsa Melayu dalam kemelut politik yang kian parah ini. Saya melihat UMNO dan PAS berada dalam keadaan yang agak parah cuma ego masing-masing yang masih meninggi. Bukankah perpaduan sesuatu yang dituntut dalam Islam? Jika semua orang Melayu berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah nescaya segala kemelut politik yang berlaku dapat diselesaikan sebaiknya. Tidak akan timbul soal ragu-meragui dan syak-wasangka kerana dalam perjuangan pasti ada halangannya. Halangan terutama oleh mereka yang mempunyai agenda peribadi apabila perpaduan ini akan menyebabkannya hilang kepentingan. Gunakan rasional dan pandang ke hadapan. Fikir dan renungkan impaknya kepada generasi anak bangsa pada masa akan datang.

Bila pekung terbuka dengan cerita yang direka-reka maka semua pemimpin Melayu akan dipandang hina. Apabila dipandang hina maka kita akan hilang permata berkualiti. Bukankah cerita Pak Kadok dan Hang Nadim harus dijadikan iktibar pada kita semua.

Cerita perpaduan Melayu ini usahlah digembar-gembur dan didedahkan. Andainya kata putus sudah dicapai. Janji dan baiah sudah diikat maka teruskanlah hasrat murni ini. Media, wartawan dan para penulis dalam keadaan yang kurang stabil ini haruslah memainkan peranan yang baik. Bukankah mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang? Dan, apakah kita lupa bahawa kita juga akan mati?

Wednesday, March 4, 2009

ANAK PEWARIS GENERASI UMMAH

Kita tinggalkan cerita politik seketika. Institusi kekeluargaan jauh lebih penting untuk sama direnungkan. Keinsafan ini timbul apabila saya ke majlis "reunion" sahabat sekolah di Shah Alam pada malam minggu yang lalu. Alhamdulillah, sahabat saya dan suaminya kini berjaya dalam perniagaan dan telah bergelar jutawan. Saya kagum melihat banglo mewah yang kebanyakkannya adalah daripada kayu cengal dan meranti yang diukir dengan kesenian Melayu. Syabas sahabat!

Kami berbincang tentang perniagaan dan keluarga masing-masing sehingga jam 2 pagi di wakaf ditemani deruan air terjun buatan. Suasana yang nyaman dan segar di awal pagi. Sebelum kami makan anak beliau yang membacakan doa. Anak beliau yang berumur 6 tahun setia bersama dan duduk dengan penuh tertib dan sopan. Apabila ditanya apakah cita-citanya, lembut menjawab :"Ustaz kemudian ingin menjadi mufti".

Saya tersenyum. Jawapan yang memang tiada langsung dalam diri anak-anak kita sekarang. Justeru, anak ibarat sehelai kain putih bersih. Kita yang mencorakkannya. Dewasa ini begitu banyak masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat kita. Ianya seumpama barah yang kian merebak. Institusi kekeluargaan kian renggang.

Keistimewaan yang bakal diperoleh apabila anak-anak kita boleh digelar kanak-kanak atau kupu-kupu syurga. Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.

Ciumlah anak kita kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak. Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak.

Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil maka dia akan turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu dengan kebaikan maka akan turut diperolehinya.

Aqra' pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan. Aqra' berkata; "Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium." Sabda Nabi SAW; "Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi."

Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat.

Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

Seorang sahabat bertanya kepada Nabi saw; "Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti? " Jawab baginda; "Berbaktilah kepada ibu bapamu." Kata lelaki itu lagi; "Ibu bapaku sudah tiada lagi." Sabda Nabi SAW; "Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu."

Ayuh kita bina kekuatan institusi keluarga kekuatan ummah. Pemimpin yang baik lahir sebagai seorang anak yang baik, menjadi pemimpin keluarga yang baik serta bergaul mesra dengan semua masyarakat. Bukannya mahu menjadi pemimpin tetapi keluarga hancur dan tidak terdidik. Marilah kita sama jaga hubungan dengan Tuhan dan hubungan dengan manusia dan jika semua orang UMNO mengamalkannya nescaya tidak akan timbul pelbagai masalah!