Tuesday, April 28, 2009

SENI : AHLI POLITIK DAN ARTIS

Ahli politik dan artis tiada bezanya. Semuanya adalah nilai seni yang ada dalam diri masing-masing. Ahli politik dengan seni bercakap (public speaking) dan seni memenangi hati pengikut atau rakyat. Artis dengan seni menyanyi, berlakon dan sebagainya. Kedua-duanya adalah selebriti dan dikenali ramai. Keduanya juga mempunyai peminat tersendiri. Keduanya juga adalah "ikon" masyarakat. Artis dan ahli politik juga menjadi buruan para wartawan dan kalau diluar negara ianya menjadi buruan 'paparazzi'.

Ironinya, banyak persamaan antara ahli politik dan artis. Gossip, skandal dan perkara-perkara pelik akan menaikkan nama keduanya. Berita-berita sensasi akan mempopularkan nama mereka.

Contoh terbaru, Dato' S.Saravanan, Timbalan Menteri Wilayah dengan cerita 'menangkap dua orang doktor yang dikatakan sedang membaca akhbar di sebuah hospital'. Saya bukan tidak bersetuju dengan cara tersebut cuma mungkin cerita sensasi ini akan menampakkan sedikit kebodohan ahli politik. Tidak perlulah dihebahkan kepada media berkenaan perkara kecil sebegini. Jangan kerana YAB Perdana Menteri memperkenalkan konsep "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" maka semua ahli politik sibuk menunjuk-nunjuk yang mereka ini buat kerja. Buatlah kerja mengikut tanggungjawab yang telah diamanahkan. Saravanan kebetulannya berada di hospital tersebut kerana kebetulan melawat seorang pesakit yang dilanggar oleh pemanduna. Itu kebetulan dan bukan tanggungjawabnya. Sepatutnya beliau memaklumkan kepada menteri yang memegang portfolio tersebut bukan beliau yang membuat kenyataan media...Bukan apa, jangan kerana terlalu mengejar KPI maka nanti rakyat semakin menyampah dengan mereka!

Saya tertarik dengan ucapan YB Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Penerangan UMNO yang baru dilantik dalam satu majlis berkata bahawa beliau tidak pernah melobi untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan atau parti. Beliau memang dikenali sebagai seorang yang kuat bekerja. Itu memang rezeki beliau. Alangkah bagusnya jika semua pemimpin macam beliau!

Monday, April 27, 2009

POLITIK : SEMUANYA DEMI KEPENTINGAN POLITIK

(i)
Kalau dulu sibuk dengan Pemilihan Agung UMNO dan Pilihanraya Kecil maka kini media dipenuhi pula dengan Muktamar PAS yang akan berlangsung pada bulan Jun nanti. Pada saya semuanya sama. Pemilihan atau muktamar adalah bertujuan memilih pemimpin. Inilah saat yang dinanti-nantikan sesetengah pemimpin. Politik demi kepentingan kuasa politik masing-masing.

(ii)
Apabila berlakunya peralihan kuasa dengan perlantikan YAB Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang keenam, ramai yang mengkritik terutamanya pihak pembangkang. Visi beliau dengan : "Satu Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" juga dikritik hebat. Kehadiran beliau secara tiba-tiba di Petaling Street dan semalam di Puduraya juga menjadi bahan kritikan. Begitu juga dengan perlantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri. Pendek kata pada pandangan pembangkang, semuanya diberi kritikan. Alangkah hebatnya jika pihak pembangkang berkata, "kita berikan beliau peluang memerintah dengan baik" dan perkara baik diberikan pujian. Atau mungkin mereka lebih suka dengan jawatan sebagai pembangkang maka semuanya dibangkang!

(iii)

Politik kini menjadi legasi keluarga tidak kira dalam parti kerajaan atau pembangkang. Semuanya terang lagi bersuluh. Atau mungkin juga betul pepatah Melayu yang berbunyi :"ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi". Bagaimana dengan nasib kita yang keluarga dan keturunan tiada sebarang jawatan dalam politik. Terbaru adalah (kita ambil contoh terkini), Nik Abduh Nik Aziz iaitu anak kepada Tuan guru Nik Aziz Nik Mat akan bertanding merebut jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan dengan Abdul Latiff Abdul Rahman, Adun Batu Mengkebang. Ayah Latiff ialah Haji Abdul Rahman yang juga pengasas pondok Sungai Durian dan seorang tokoh ulama yang disegani di Kelantan.

(iv)
Pilihanraya Kecil juga akan diadakan di DUN Penanti. Menanti hari pengumuman oleh SPR. Ada yang dijadikan kambing hitam demi kepentingan politik. Dulu bukan main beriya dikatakan tidak akan berlakunya perletakan jawatan bagi kerusi DUN Penanti. Dengar khabar, PAS dan PKR ada sedikit berselisih faham bagi meletakkan calon masing-masing di situ. Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan slogan CAT - (Competence, Accountability, Transparancy) menjadi Pengerusi Tender bagi Negeri Pulau Pinang. Apakah semuanya ini cakap tak serupa bikin!

(v)
Yang pasti, politik diperjuangkan demi kepentingan politik masing-masing. Jangan lupa sejarah atau kita akan bergaduh sesama sendiri dan jadilah kita "menang sorak kampung tergadai".

(vi)
Usah peduli apa orang kata kerana mereka ada kepentingan politik. Justeru, ayuh sama kita bekerja demi kepentingan keluarga, agama, bangsa dan negara. Kita hayati dan praktikkan sebaiknya "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" . KPI kita biarlah Tuhan yang menentukannya...

Monday, April 13, 2009

KEPUTUSAN PILIHANRAYA BUKIT GANTANG




Apa pandangan selepas melihat keputusan Pilihanraya Kecil Bukit Gantang yang lalu?

Wednesday, April 8, 2009

PRASANGKA

Hari ini khabarnya MCA telah berani membuka mulut meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri II diwujudkan dan kerusi ini harus dipegang oleh Presiden MCA. Hebat bukan. Atas kelemahan kita, mereka mengambil kesempatan sedangkan dalam tiga pilihanraya kecil semalam golongan Cina masih menolak calon BN. Saya secara peribadi juga tidak nampak pemimpin utama Cina sibuk berkempen dalam ketiga pilihanraya tersebut. Pasang poster? Itu jauh panggang dari api. Kalau ada pun sekadar dua tiga keping. Itu pun hanya untuk menunjukkan bahawa mereka ini BN. Tak percaya?

Senarai Menteri Kabinet akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada jam 3 petang esok. Khabarnya ramai yang tidak tidur lena terutamanya mereka yang beriya dan melobi bagi mengisi jawatan yang diidam-idamkan. Jawatan dilobi tapi dalam pilihanraya hanya sekadar mengharapkan jentera. Janji ditabur jarang dikota. Berubahlah wahai pemimpin-pemimpin.

BN : MENANG DI BATANG, KALAH DI DUA BUKIT

Keputusan pilihanraya kecil di satu Batang dan dua Bukit telah diketahui. Rakyat telah membuat pilihan. BN hanya diterima di Batang manakala tidak menang (kalah) di kedua-dua bukit.

Saya berkampung di Bukit Gantang bermula pada 2hb. sehingga 8hb. April 2009 untuk melihat perkembangan pilihanraya kecil itu. Saya berminat di Bukit Gantang kerana ia melibatkan pertembungan antara Mantan MB Perak dan ketiga-tiga merupakan orang Melayu. Walaubagaimanapun saya tidak berminat dengan calon Bebas namun kesungguhan beliau dan penyokong tidak harus diperkecilkan. Kelihatan payung (lambang yang digunakan) berada di setiap persimpangan.

Kesungguhan kedua jentera harus dipuji. Ternyata pada pilihanraya kecil kali ini, pihak BN banyak menggunakan jentera tempatan berbanding jentera PAS dari luar yang kebanyakannya datang dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kempen PAS lebih banyak kepada memburukkan peribadi pemimpin BN seperti Dato' Seri Najib, Dato' Seri Zahid Hamidi dan Ismail Saffian, calon BN. Gambar dan cerita keaiban begitu banyak disebarkan. Nampak sangat PAS begitu bersungguh-sungguh untuk menang dalam pilihanraya kecil ini. Saya berpeluang meninjau ke beberapa bilik gerakan PAS dan BN. PAS kali ini mempunyai sumber kewangan yang banyak. Buktinya melalui banyaknya poster, baju t-shirt, banner besar, payung, pelekat kenderaan serta bendera yang disimpan dalam bilik gerakan utama PAS. Kehadiran penyokong PAS begitu ramai sehingga jalan raya mengalami kesesakan yang teruk. Puncanya adalah sikap mementingkan diri segelintir penyokong dengan meletakkan kenderaan di bahu jalan tanpa mempedulikan orang lain terutamanya berdekatan kawasan ceramah dan ekspo yang diadakan.

P059 Bukit Gantang dimenangi oleh Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS) yang memperolehi undi sebanyak 21,860 mengatasi calon BN, Ismail Saffian yang mendapat 19,071. Majoriti undi adalah sebanyak 2,789. Jumlah pengundi adalah sebanyak 56,562 dengan Melayu 63.5%, Cina 27.1%, India 9.1% dan lain-lain 0.2%.

D25 Bukit Selambau dimenangi oleh S.Manikumar (PKR) dengan undi sebanyak 12,632 mengatasi calon BN, Datuk S.Ganesan yang memperolehi 10,229 undi. Majoriti undi adalah sebanyak 2,403. Jumlah pengundi adalah 35,140 orang dengan Melayu 50.2%, Cina 19.3%, India 29.5% dan lain-lain 1%.

N29 Batang Air dimenangi oleh calon BN, Malcom Mussen Lamoh dengna undian sebanyak 3,907 mengatasi Jawah Gerang (PKR) yang mendapat 2,053 undian. Majoriti sebanyak 1,854. Jumlah pengundi ialah Iban 95%, Melayu 1.25%, Cina 3.75%.

Untuk BN, muhasabah dan "post-mortem" harus dilakukan sebaiknya. Golongan muda dan kaum Cina masih menolak calon BN. Perdana Menteri dan barisan yang terpilih harus memainkan peranan sebaiknya bagi mengembalikan kepercayaan rakyat pada BN. BN khasnya pemimpin UMNO, jangan jadikan kekalahan ini sebagai kekalahan yang biasa kerana sekiranya tiada sebarang perubahan maka tunggulah saatnya UMNO hanya meninggalkan batu nesan!

Jangan menjadi hebat dan bersungguh sewaktu di pemilihan tetapi lemah dan tidak bersungguh di waktu pilihanraya! Ubah, berubah atau diubah.