Sunday, May 24, 2009

DAH TAK ADA ISU LAIN KE USTAZAH PAS!

Politik kini macam-macam. Apabila melibatkan orang politik maka bagi pihak pembangkang semua perkara akan dibangkang walaupun ianya perkara baik lebih-lebih lagi di empat negeri (Perak kembali di bawah BN) yang kini dibawah jajahan kuasa mereka termasuklah Wilayah Persekutuan. Isu kecil sengaja diperbesarkan dan kalau isu besar lagilah akan menjadi besarnya. Seolah-olahnya tidak ada kerja lain yang harus dibuat. Ingatlah bahawa rakyat masih menanti perlaksanaan manifesto pilihanraya yang telah dijanjiakan dalam pilihanraya lepas. Dulu bukan main mengutuk mengata tapi kini apabila kena batang hidung sendiri maka lain pula jadinya. Bahkan penjenayah (isu Kugan) dianggap sebagai hero. Inikah politik yang mereka perjuangkan? Rakyat harus menilainya secara bijaksana!

Seminggu ini kecoh pasal isu "gangguan seksual" yang dibangkitkan oleh YB Dr. Lo' Lo', Ahli Parlimen Titiwangsa merujuk kepada ungkapan yang dikeluarkan oleh Senator Datuk Raja Nong Chik, Menteri Wilayah Persekutuan walaupun beliau telah memohon maaf secara peribadi tetapi tidak dimaafkan oleh YB Dr. Lo'Lo'. Hai..belajar agama kat mana ni ustazah sampai orang minta maaf pun tak diterima lepas tu kecoh-kecoh pula. Rasional lah sikit!

Jadilah ahli politik yang berpijak di bumi nyata. Rakyat masih menanti dan menunggu. Jangan mempolitikkan perkara benar sehingga menggugat keharmonian tanah air tercinta ini. Sedarlah..

Maklumat lanjut boleh dibaca di : http://www.malaysiakini.com/news/104951

Saturday, May 23, 2009

CERITA MANUSIA TAK SEDAR DIRI

Semalam Mahkamah telah mengisytiharkan YB Dato' Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Nampaknya cerita Perak ini tidak akan berkesudahan sehingga pilihanraya ke-13. Keputusan telah dibuat maka terimalah dengan hati yang terbuka. Pepatah lama warisan nek-moyang kita Orang Melayu : ikut rasa, binasa, ikut hati, mati. Masa kemenangan dulu berpihak pada YB Dato Seri Nizar, bukan main bersorak. Keluar pula kenyataan bahawa pihak mahkamah telus dan adil tetapi apabila kemenangan berpihak kepada orang lain maka kenyataan sebaliknya pula timbul. Apa cerita ni? Cakap tak serupa bikin maka politik mereka juga akan jadi tak serupa bikin.

Muktamar PAS akan berlangsung tidak lama lagi. Kali ini menyaksikan pertandingan yang cukup ramai. Pertembungan antara golongan profesional dan ulama. Setelah pilihanraya ke-12 yang lepas, PAS dengan pakatan bersama PKR dan DAP telah berjaya menguasai lima buah negeri. Kalau dahulu PAS begitu sinonim dengan agenda untuk menegakkan negara Islam dan hukum hudud, kini perjuangan PAS telah jauh tersasar. Tiada lagi istilah "kafir" bekerjasama dengan orang bukan Islam-DAP. Lihat sahaja apa yang berlaku setelah melebihi setahun di kelima buah negeri. Tiada bezanya sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan BN bahkan mesin judi dan rumah urut semakin bertambah banyak pula. Orang-orang PAS sekadar menjadi pemerhati seolah-olah menghalalkan pula perkara tersebut khasnya di negeri Selangor. Dulu lain sekarang lain. Dulu tidak ada kuasa tetapi sekarang sudah ada "power" tapi habuk pun apa yang dicakap dulu tidak dilaksanakan. Kini ada pula Kelab Penyokong PAS bagi ahli yang bukan Islam. Nanti akan ada kerusi pula bagi kelab tersebut. Nampaknya manusia masih tak sedar diri. Cakap saja!

Bukan main berlagak lagi nampaknya si'jagoan' ini main isu sensitif. Tambahan pula disokong oleh segolongan bangsa Melayu yang masih tak sedar diri dan gilakan kuasa. Sudah dibagi betis,paha pula yang dikehendaki. Taraf bumiputera. Ingat apa? Orang Melayu ni patung yang boleh dijentik hidung? Kalau ya pun hendak menjadi jagoan, maka jangan cuba timbulkan isu-isu sensitif yang akan menyebabkan perpecahan dan menganggu-gugat perpaduan yang "suam-suam kuku" ini. Kesannya amatlah dahsyat dan kekeruhan yang akan berlaku pula akan mengambil beratus tahun pula untuk dijernihkan. Agak-agaknya kalau si"jagoan" itu tidak berada di Malaysia mungkin dia menerima nasib yang sama macam apa yang berlaku di Sri Lanka. Yang paling kurang ajar ialah berani pula menggugut untuk buat demonstrasi jalanan sekiranya permintaan tidak dipatuhi. Siapa tuan punya tanahair ini? Cerminlah diri. Kalau tak nampak juga, ambillah lampu suluh atau berlumurlah atas tepung biar terang sikit nampaknya. Nampaknya kaduk sudah naik junjung. Jangan dikejut harimau yang tidur nanti buruk padahnya. Sedarlah diri tu!

Rupanya, dalam usia tanahair yang menjangkau melebihi setengah abad ini masih ramai manusia yang tidak sedarkan diri. Mabuk kuasa dan kepentingan diri sehingga sanggup mengorbankan kedaulatan dan maruah agama, bangsa dan negara. Lupa sejarah dan lupa segalanya. Juga lupa bahawa mereka hanya tetamu yang diberikan sedikit hak untuk menumpang di bilik kecil dalam rumah kita.

Saturday, May 16, 2009

SELAMAT HARI GURU, TERIMA KASIH SEMUA

Selamat Hari Guru diucapkan buat semua insan yang bergelar pendidik samada secara langsung atau tidak langsung. Tanpa mereka siapalah kita. Dalam Islam kita diajar supaya menghormati sesiapa sahaja yang telah memberikan ilmu pada kita walaupun seorang kanak-kanak kecil. Mulia sungguh jasa orang yang memberikan ilmu apatah lagi orang yang menyebarkan ilmu sehingga ianya berguna kepada semua orang. Dalam kemelut yang berlaku hari ini andai sikap saling hormat-menghormati diamalkan banyak perkara yang akan selesai.

Jasa guru disanjung tinggi. Jasa guru harus dikenang sehingga ke mati. Sebab itulah para ilmuan terdahulu berjaya dalam kehidupan mereka berbanding kini kerana masyarakat kini yang semakin memandang rendah tentang jasa para guru. Kesannya ialah anak-anak generasi baru yang semakin kurang ajar dan tiada tata-susila dalam diri. Apa tidaknya, guru kini tidak boleh merotan murid yang membuat salah. Menyentuh samada penampar jauh sekali. Berbeza dengan zaman dahulu. Rotan dengan guru seumpama irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Masih saya ingat, saya dirotan kerana gagal menyiapkan kerja rumah. Juga dirotan kerana salah bacaan dalam mengaji. Saya juga pernah dikenakan ketuk-ketampi sebanyak 100 kali sehingga koyak seluar kerana kesalahan yang dilakukan. Cikgu Rosdi (Cikgu BI) dan Cikgu Azaha (Cikgu BM) sewaktu saya di Tingkatan Dua di SMASID telah banyak memberi kesedaran kepada saya. Walaupun pendidikan kedua beliau diwaktu itu setakat SPM tetapi beliau telah memberikan ilmu kepada kami. Alhamdulillah, kerana rotan dan denda tersebut, hari ini saya menjadi insan yang berguna. Nama cikgu-cikgu sewaktu daripada TABIKA sehingga ke Universiti masih segar diingatan. Terima kasih cikgu.....jasa kalian hanya Tuhan yang mampu membalasnya!

Kalaulah Islam mengangkat darjat para pendidik ini begitu tinggi maka mereka yang bertanggungjawab menyedia dan menyiapkan infrastruktur seperti tabika, sekolah, kolej, universiti dan lain-lain yang berkaitan dengan tempat pembelajaran dan penyebaran ilmu maka tentulah darjatnya lagi tinggi daripada para pendidik. Tanpa kerajaan dan pemimpin yang bijaksana sudah tentu negara kita tidak mampu mencapai tahap sebegini. Begitu juga dengan diri kita. Sesekali terfikir (terutama mereka yang mendapat kebaikan daripada kerajaan tetapi melemparkan kembali fitnah, kutukan), tidakkah mereka merasa berdosa dengan kesalahan dan kesilapan mereka itu! Atau saja menidakkan perkara yang benar demi kepentingan sendiri! Nauzubillah...

Pesan seorang ustaz saya dahulu : "memilih pemimpin biarlah mereka yang mampu mengekalkan keharmonian demi agama, bangsa dan tanahair". Dan pesanan ini masih menjadi pegangan saya selagi hayat dikandung badan! Terima kasih Ustaz Mustafa Taib (kini Dato').

Buat para pendidik, teruskan usaha meningkatkan kegemilangan generasi akan datang! Tingkatkan perpaduan, semaikan kasih-sayang dan semangat saling-menghormati antara kita!

Wednesday, May 13, 2009

TARIKH BERDARAH SEBAGAI PENGAJARAN

Bulan Mei yang penuh dengan cerita bahagia, duka dan lara. Berapa keratkah antara kita yang mengingati tarikh ini? 13 MEI...Juga menjadikannya sebagai pengajaran dan pedoman dalam melalui perpaduan dan keharmonian antara kaum di tanahair tercinta ini. Tanahair yang kini semakin gelojoh ditelanjangi oleh anak bangsa sendiri yang kononnya berjuang atas nama rakyat demi kepentingan peribadi. Jangan diusik harimau yang sedang tidur kerana buruk padahnya walaupun yang mengusik itu adalah anak sendiri. Ingatlah, perpaduan antara kita adalah lebih utama dalam keadaan yang kurang stabil ini. Mereka yang berjuang atas kepentingan peribadi harus kita "nyah"kan dari bumi bertuah ini. Nenek-moyang berhempas pulas berjuang demi kemerdekaan tanahair namun ada antara kita yang sanggup menggadaikan hanya kerana memenuhi hajat untuk menjadi pemimpin...Wahai bangsaku, ayuh bangkit dan bersatu. Jadikanlah hari ini sebagai pengajaran, pedoman dan sejarah yang harus diingati sepanjang zaman!

Monday, May 11, 2009

MEREKA YANG SEMAKIN LUPA!

Lihat video ini dan berikan pandangan : http://www.youtube.com/watch?v=87yLFKljJwI

Akhir-akhir ini nampaknya orang-orang Melayu khasnya di pihak pembangkang semakin lupa sejarah asal-usul warisan nenek moyang. Pemimpin HINDRAF yang telah banyak menyinggung dan mengguris perasaan orang-orang Melayu kini dijulang sebagai hero pula. Apakah kita sanggup mengorbankan kepentingan Melayu demi kepentingan pengaruh politik mereka.

Secara jujurnya, tepuklah dada dan samalah kita renungkan. Apakah sumbangan HINDRAF kepada orang Melayu? Apakah jasa besar HINDRAF ini yang dijulang setinggi langit oleh orang Melayu sendiri. Inilah antara mereka yang semakin lupa dan kalau inilah pemimpin yang kita sanjung maka tunggulah saatnya kehancuran bangsa Melayu. Si HINDRAF ini mungkin akan balik ke India sekiranya Tanah Melayu Malaysia ini hancur tetapi kita orang Melayu ke mana?

Saya secara peribadi semakin meluat dengan mereka ini yang hanya bertopengkan keadilan tetapi berjuang atas nama rakyat demi kepentingan peribadi...Ya Allah Yang Maha Kuasa berikanlah mereka ini taufik dan hidayah serta tunjukkanlah mereka jalan yang lurus agar kepentingan agama, bangsa dan negara tercinta ini akan terus terbela.