Hidup ini sangat indah andai apa yang dihajati akan termakbul. Namun kehidupan ini hanya sementara menguji keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah swt kerana destinasi abadi kita adalah di akhirat kelak. Dalam mengharungi kehidupan ini pastinya terdapat pelbagai onak, duri dan ranjau yang harus ditempuhi. Hidup seumpama roda yang berputar, sesekali di atas dan ke bawah. Begitulah seterusnya. Justeru, hidup jangan bermegah, riak dan ego dengan apa yang ada. Dalam kebahagiaan kita masih ramai insan yang kehilangan dan menagih kasih dan sayang orang tersayang...Seketika di PERKIM yang terletak di Jalan Ipoh, KL memberikan keinsafan dan kesedaran kepada saya bahawa dalam kita bersuka-ria masih ramai insan yang berduka. Mereka ini bersusah payah kerana mencari jalan kebenaran dan hidayah Tuhan. Mereka berkorban jiwa dan raga serta keluarga kerana mendapat sinar kebenaran. Apakah kita yang dilahirkan dalam Islam ini semurni dan sesuci hati mereka yang teguh itu. Bersembang dan bercerita dengan golongan para Muallaf ini betapa sebenar teruknya kita yang dilahirkan sebagai hamba Allah swt ini semakin alpa dan leka menjaga dan mendidik agama Allah swt dan golongan mereka. Bahkan, mereka bertukar menjadi mukmin sejati selepas memeluk agama Islam. Seumpama Saidina Umar al-Khatab r.a. dan juga keteguhan iman Bilal Bin Rabbah!
Sungguh, dalam kesusahan dan kesakitan kita rupanya masih ramai yang susah dan menderita. Bantulah mereka yang memerlukan.....
Ya Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengampun, berikanlah kami hidayah dan petunjuk agar kami diberikan kesenangan dan keberkatan di dunia yang sementara ini bagi membantu mereka yang memerlukan. Janganlah dilalaikan hati-hati kami dengan kemegahan dan kemewahan dunia sehingga kami menjadi semakin jauh daripada agama-Mu.



No comments:
Post a Comment