Sunday, August 10, 2008

JANGAN DIJOLOK SARANG TEBUAN!

Apa yang berlaku semalam dalam forum terbuka Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) di Kuala Lumpur semoga menjadi iktibar dan pengajaran buat semua. Jangan dijolok sarang tebuan kerana kesan dan akibatnya amatlah teruk. Mereka ini (Bar Council) seolah-olah cuba "test market" dalam keadaan masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu yang kini berada dalam keadaan kucar-kacir selepas pilihanraya ke-12 yang lepas. Meraka ini ingin melihat sejauh mana tindakan umat Islam dan pemimpin politik beragama Islam khasnya UMNO dan PAS. Bar Concil kini dikuasai oleh golongan bukan Islam yang mana kebanyakannya adalah beragama Hindu dan menyokong pertubuhan Hindraf. Kini, sikap "kurang ajar" mereka kian berleluasa dek kerana sokongan khasnya daripada orang sendiri yang kononnya bersikap liberal.

Dalam isu berkaitan agama, masyarakat Islam akan bersatu tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan warna kulit. Itulah kelebihannya. Isu berkaitan agama merupakan sesuatu yang bermanfaat kepada politik. Ia boleh menjadi simbol yang menyatukan pelbagai kumpulan seagama dan pendorong kemajuan. Banyak pihak rela menyertai barisan yang berjuang untuk mengangkat kemuliaan agama. Dalam sudut yang ekstrem, ada kumpulan rela berkorban demi mempertahankan agama.

Pada masa yang sama, agama juga berupaya menjadi unsur yang membahayakan. Ia memberi identiti kepada penganut-penganutnya dan mengajar nilai-nilai yang eksklusif hanya kepada para penganutnya.

Identiti dan nilai itu membezakan mereka dengan penganut agama lain. Nilai dan identiti masing-masing sentiasa dirasakan lebih baik, dan perasaan itu berkembang menjadi satu dogma. Sebarang serangan dan kritikan terhadap identiti itu tidak dibiarkan begitu sahaja. Serangan dan kritikan tersebut lazimnya akan berbalas.

Sejak beribu-ribu tahun lalu, agama menjadi suatu kekuatan yang memberi kesan kepada tingkah laku manusia, negara dan pergolakan antarabangsa. Di banyak negara, isu agama mencetuskan manifestasi politik tertentu, telah menjatuhkan dan menaikkan pemimpin, pernah membangunkan masyarakat dan turut merosakkan bangsa.

Jika dikendalikan dengan baik, isu agama boleh menjadi simbolik keharmonian sebuah bangsa. Kalau ditangani dengan cara yang angkuh dan kasar, ia umpama minyak yang dicurahkan ke dalam api. Isu agama boleh membakar, marak apinya dapat meruntuhkan sebuah negara.

Atas kesedaran itulah isu-isu agama sentiasa perlu ditangani dengan berhati-hati. Bukan sahaja isu agama Islam, tetapi juga isu-isu agama lain. Agama adalah soal sensitif. Di negara tertentu, isu agama pernah mencetuskan perang dan membawa kemusnahan. Kita yang hidup berbilang kaum di Malaysia mungkin tidak pernah merasai pengalaman itu.

Apabila Majlis Peguam Malaysia mempertahankan forum Memeluk Islam yang diadakan semalam serta membangkitkan hak untuk membincangkan isu-isu berkaitan pertukaran agama, ia dibuat tanpa memikirkan sejarah yang pernah dilalui oleh sesetengah masyarakat dunia apabila membicarakan isu-isu agama.

Kes R. Subashini yang menjadi antara topik yang dibincangkan dalam forum itu adalah sesuatu yang menggelisahkan. Wanita beragama Hindu berkenaan berkahwin dengan lelaki bernama T. Saravanan pada tahun 2001. Sesetelah memeluk Islam pada 2006, Saravanan menukar namanya kepada Muhammad Shafi Saravanan Abdullah.

Muhammad Shafi dan Subashini mempunyai dua orang anak yang masih kecil, iaitu Dharvin Joshua, 3, dan Sharvind, 1. Muhammad Shafi mahu kedua-dua anaknya itu turut memeluk Islam bersamanya dan meminta Mahkamah Syariah membubarkan perkahwinannya. Subashini enggan membenarkannya.

Kes ini kemudian dipanjangkan kepada Mahkamah Rayuan di mana tiga orang hakim bersidang. Mahkamah itu memutuskan kes tersebut perlu dirujuk kepada Mahkamah Syariah, tetapi wanita itu tidak mahu tunduk kepada perbicaraan di Mahkamah Syariah.

Kes ini adalah antara kes-kes sensitif yang dibincangkan dalam forum awam Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur semalam, yang majlisnya terpaksa ditamatkan lebih awal kerana para penyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berdemonstrasi di luar bangunan Majlis Peguam di Jalan Lebuh Pasar Besar di ibu kota.

Tangisan dalam forum itu, Majlis Peguam turut membawa beberapa orang bukan Islam, termasuk seorang wanita berasal dari Jerman, yang memperihalkan pengalaman mereka. Dalam tangisan, hampir semuanya memberi gambaran negatif terhadap bapa, suami dan bekas suami masing-masing yang merupakan orang Islam.

Ada yang menceritakan bagaimana bapa mereka yang telah memeluk Islam kemudian meninggal dunia tetapi tetap dapat dikebumikan sebagai seorang Kristian walaupun berlaku perebutan mayat dengan jabatan agama Islam.

Sensitiviti orang Islam dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tidak diambil kira langsung oleh Majlis Peguam. Tradisi di Malaysia, iaitu seorang penganut agama lain tidak mengulas mengenai agama orang lain, tidak dihormati. Akibatnya, para penyokong NGO Islam yang berkumpul di luar bangunan Majlis Peguam sejak pukul 8 pagi menghantar mesej kepada Majlis Peguam supaya menghentikan forum itu. Jika tidak, amaran mereka, tindakan yang lebih keras akan dilakukan.

Beberapa orang pemimpin NGO Islam juga menyerbu masuk ke dalam dewan tempat forum itu diadakan. Mereka mengganggu perjalanan forum tersebut. Berlaku pertikaman lidah yang diselang seli kata-kata kesat yang menyakitkan hati.

Sebenarnya, insiden yang berlaku semalam bukan terjadi secara tiba-tiba. Asap kegelisahan telah bermula beberapa tahun lepas.

Sejak empat lima tahun kebelakangan ini, kumpulan-kumpulan Islam merasakan kedudukan Islam di Malaysia sedang dicabar oleh beberapa kumpulan agama lain yang mendapat sokongan sesetengah pertubuhan yang didominasi oleh profesional bukan Islam, termasuk yang menjadi ahli Majlis Peguam.

Salah satunya adalah usaha sistematik mereka untuk mendesak kerajaan meminda Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan mengenai kebebasan agama. Kumpulan bukan Islam yang menyokong syor pindaan itu telah mengumpulkan tandatangan para penyokong mereka menuntut Artikel 11 dipinda.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang, tiap-tiap orang di Malaysia berhak menganuti dan mengamalkan agamanya tetapi terdapat peruntukan khusus bahawa Persekutuan boleh menggunakan undang-undang untuk mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam.

Artikel inilah yang mahu dipinda. Ia mencetuskan kemarahan NGO Islam kerana kepada mereka pindaan itu akan memudahkan orang Islam dimurtadkan.

Kira-kira dua tahun lalu, pada 23 Julai 2006, ketika perdebatan kes murtad Lina Joy berada di kemuncaknya, kira-kira 8,000 aktivis Islam berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunjukkan solidariti menentang gerakan untuk meminda Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan yang berada di tengah-tengah pertembungan itu telah memilih untuk menyelesaikan isu tersebut secara berhemah dan melalui perundingan diam-diam bagi memastikan keharmonian kaum dan agama terus dipupuk di Malaysia.

Pendekatan yang kerajaan gunakan dalam menentukan ketenteraman awam tidak sekeras seperti beberapa dekad lalu. Penangkapan penghasut-penghasut tidak dibuat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tiada juga pendakwaan di bawah Akta Hasutan walaupun keselamatan awam sedang diperjudikan.

Mungkin kerana memikirkan mereka sedang melalui zaman yang lebih liberal, terdapat kumpulan bukan Islam, khususnya yang diketuai beberapa peguam, tetap memilih untuk membincangkan isu-isu agama yang sensitif secara terbuka. Forum terbaru Memeluk Islam yang dianjurkan oleh Majlis Peguam semalam adalah bukti keberanian mereka.

Sebelum ini, Majlis Peguam turut melukakan hati orang Melayu apabila ia menganjurkan forum membincangkan satu lagi isu sensitif berkaitan kontrak sosial iaitu diskusi yang menyentuh keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kepada sesetengah pegawai Majlis Peguam, perbincangan tersebut adalah hak mereka yang dijamin oleh undang-undang, tetapi orang Melayu pula merasakan kedudukan kaum pribumi itu yang diberi legitimasi dalam perlembagaan kini dipersoalkan secara terang-terangan.

Jika mereka hidup pada zaman Malaysia diancam gerakan bawah tanah pengganas komunis dan pelampau kaum pada tahun 1960-an dan 1970-an, mungkin sebahagian daripada penganjur-penganjur forum itu sudah pun ditahan di bawah ISA.

Apakah penyelesaian kepada masalah dan kecenderungan ini?

Sekumpulan peguam Islam kini menuduh Majlis Peguam sebagai anti-Islam, anti-kerajaan dan mereka sudah mula bercakap mengenai usaha menggembleng para peguam Melayu/Islam untuk mengambil alih kepimpinan badan guaman itu pada masa depan. Adakah ini jawapannya?

Adakah NGO Islam perlu bertindak balas dengan mengadakan pula diskusi 'Memeluk Kristian' atau 'Memeluk Hindu' bagi membincangkan mengenai kelemahan agama orang lain? Adakah api perlu dilawan dengan api serta keangkuhan harus ditentang dengan keangkuhan?

Adakah penyelesaiannya dengan kerajaan membiarkan sahaja perbincangan dan perdebatan terbuka seumpama itu diadakan, sambil berharap kewarasan akhirnya menjadi pertimbangan orang ramai, tidak kira Islam atau bukan Islam? Atau pada zaman ini, kerajaan masih lagi dibekalkan dengan peruntukan untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi era yang telah berubah mungkin menyebabkan kerajaan memilih untuk menjadi popular dengan tidak menggunakan kuasa-kuasa itu. Adakah meneruskan polisi itu satu opsyen atau satu kesilapan?

Dalam komennya terhadap penganjuran forum Memeluk Islam, seorang pemimpin Melayu baru-baru ini mempersoalkan adakah suatu hari nanti akan ada kumpulan bukan Melayu dan bukan Islam sanggup pula mengadakan forum-forum lain yang membincangkan isu seperti kedudukan Raja-Raja Melayu. Beliau bimbang. Respons orang Melayu terhadap diskusi seumpama itu tidak dapat dibayangkannya.

Ketika itu, jika kerajaan memilih untuk tidak bertindak, adakah penyelesaian kepada isu itu hendak dibiarkan ditangani oleh kumpulan-kumpulan NGO Melayu/Islam melalui undang-undang jalanan? Dalam insiden di ibu kota semalam, kata-kata kesat yang melukakan hati telah dihamburkan oleh segelintir aktivis Islam terhadap kumpulan minoriti. Ia boleh merosakkan imej Islam pada mata orang bukan Islam, tetapi dalam keadaan tegang, dengan emosi sudah tidak terkawal, keadaan seperti itu boleh berlaku.

Dalam isu agama yang dipolitikkan ini, beberapa pihak di Malaysia secara jelas sedang membawa soal-soal sensitif ke satu tebing yang amat berbahaya. Di bawahnya ada gaung dalam. Jika tidak dikawal, ia mungkin menjerumuskan kita semua dalam perkelahian terbuka, yang bunga-bunganya telah pun berputik semalam.

Perbuatan membahaskan isu-isu agama orang lain secara terbuka dalam forum awam kena dihentikan, lebih-lebih lagi mengambil semangat menjelang Hari Kemerdekaan ke-51 yang akan disambut 31 Ogos ini. Rakyat memerlukan kemakmuran dan pada masa yang sama jaminan keselamatan. Tidak guna kita berdegar-degar mendakwa kita menganjurkan forum-forum tertentu atas nama kebebasan dan hak asasi, tetapi implikasinya dalam jangka masa panjang membuatkan rakyat -- Islam dan bukan Islam, Melayu dan bukan Melayu -- hidup dengan rasa takut, curiga dan syak wasangka.

Wujud pertalian yang erat antara keselamatan dan isu-isu agama. Dalam konteks penganjuran forum oleh Majlis Peguam, kepimpinan badan guaman itu patut menerima hakikat bahawa ia telah melanggar garis yang sepatutnya. Banyak pihak sedang diangkutnya ke garis itu yang terletak di atas satu tebing curam.

Kepada Majlis Peguam dan para penyokongnya, usahlah atas nama hak segelintir orang, kita ketepikan keselamatan berjuta-juta rakyat Malaysia yang lain. Belajarlah daripada sejarah konflik manusia atas nama agama sejak beribu-ribu tahun lalu.

Jangan dijolok sarang tebuan!

No comments: