Kita di permatang sebelum ke seberang. Dunia hanya persinggahan sementara. Akhirat abadi selamanya.Akhirnya segala penantian dan debaran sudah terjawab. Keputusan rasmi SPR yang diterima adalah Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menang sebanyak 31,195 undi manakala calon BN mendapat 15,524 undi dan calon AKIM hanya mendapat 92 undi dan hilang wang pertaruhan. Majoriti undi yang dimenangi Anwar adalah 15,671 undi. Tahniah buat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan jentera Pakatan Rakyat kerana segala penat-lelah telah berjaya. Buat BN dan AKIM, adat dalam pilihanraya ialah kalah atau menang. Tiada keputusan seri. Itu realiti yang harus diterima. Menang dan kalah adat bertanding. Yang kalah kena terima dengan hati yang terbuka dan redha atas apa yang berlaku. Rakyat kini matang dan bijak membuat keputusan berbanding zaman dahulu yang hanya ada TV dan suratkhabar. Kini, internet memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan informasi kepada orang ramai. Siapa yang bijak mengambil peluang maka sudah tentu kemenangan di tangan.
Apakah senario politik tanahair akan berubah wajah atau akan terus dicemari dengan pelbagai fitnah yang hanya membingung dan menyusahkan rakyat. Ingatlah bahawa setiap amanah dan tanggungjawab yang dipegang akan dipersoalkan oleh Allah swt. Jangan dicari kemegahan dunia yang sementara dan akhirnya akan merana di akhirat kelak.
Kepentingan agama dan bangsa jangan digadai demi mencapai cita-cita kerana kemelut yang berlaku kini semakin kritikal sehingga membawa kepada pertelingkahan ulama. Justeru, cara terbaik adalah duduk semeja dan selesaikan secara bijaksana dengan mengambil kira pandangan semua dan bukannya keputusan berlandaskan kepentingan politik individu tertentu. Jangan agama Islam dipandang remeh oleh agama lain hanya kerana kita berbeza pendapat yang setiap hari diwar-warkan di dada media. Semua pihak harus prihatin dalam menangani kemelut yang melanda demi agama, bangsa dan negara kerana akhirnya yang rugi adalah agama dan bangsa kita. Tanggungjawab ini harus dipikul oleh semua pihak khasnya golongan pemimpin dan alim-ulama dalam menaikkan imej Islam yang kian pudar sinarnya. Bersatulah demi kepentingan agama. Carilah titik persamaan bukan mencari titik perbezaan yang akhirnya akan memisahkan kita sendiri. Bersatulah!
Kepada mereka yang bergelar pemimpin dan bercita-cita untuk menjadi pemimpin, lihatlah kredibiliti dan tanggungjawab bukan hanya mencari kemasyhuran. Kerana kemasyhuran hanya bersifat seketika dalam meniti kehidupan menuju perhentian abadi. Yang utama adalah kepentingan rakyat dan rakyat adalah kita maka kita yang harus membuat pilihan. Tepuk dada, tanya selera!
Kepada mereka yang bergelar pemimpin dan bercita-cita untuk menjadi pemimpin, lihatlah kredibiliti dan tanggungjawab bukan hanya mencari kemasyhuran. Kerana kemasyhuran hanya bersifat seketika dalam meniti kehidupan menuju perhentian abadi. Yang utama adalah kepentingan rakyat dan rakyat adalah kita maka kita yang harus membuat pilihan. Tepuk dada, tanya selera!



No comments:
Post a Comment