Mengambil bersempena kata-kata Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 bagi melengkapi teori RAHMAN iaitu R untuk Tunku Abdul Rahman, A untuk Abdul Razak, H untuk Hussein Onn, M untuk Tun Dr. Mahathir, A untuk Dato' Seri Abdullah dan seterusnya N untuk Dato' Seri Najib yang akan mengambil alih jawatan Presiden UMNO pada bulan Mac 2009.
Sekarang ini musim memilih perwakilan dan mengundi calon UMNO. Ramai calon yang menawarkan diri dan sibuklah "campaign manager" melobi dan memancing undi bagi memastikan calon yang dibawa melepasi had pencalonan bagi menjadi calon persidangan agung UMNO pada bulan Mac 2009. Dari warung kopi sehingga ke lobi hotel dan "coffee-house" isu hangat khasnya berkaitan calon yang diperbincangkan sambil masing-masing mempunyai pelbagai andaian, calon pilihan dan pelbagai lagi.
Masa yang panjang ini yang ada lebih kuang lima bulan adalah masa menyusun strateg, melobi dan memancing undi. Namun masa tersebut juga amat berbahaya kerana pelbagai skandal, ceria dan keburukan pemimpin yang didedahkan dengan meluasnya samada ianya benar atau salah tetapi matlamatnya adalah demi memastikan kemenangan calon yang bertanding. Perkataan "chai" sudah menjadi perkataan wajib setiap kali persidangan samada dalam UMNO, PKR dan lain-lain parti politik. Ianya bermaksud calon-calon yang disusun dan direstui oleh orang atasan.
Apakah dalam keghairahan melobi dan memancing undi maka amalan rasuah, memburukkan orang lain termasuk mantera dan jampi serapah digunakan. Kalaulah amalan ini berterusan maka UMNO tidak akan berada dalam keadaan stabil bagi memastikan kegemilangannya berterusan kerana dengan cara ini pihak yang menang sudah tentu tidak mencapai tahap kepimpinan bagi membela rakyat. Tradisi UMNO adalah membela nasib agama, bangsa dan negara. Apakah parti keramat ini akan terus berkekalan atau akan hanyut dalam lipatan sejarah dan mungkin akan tinggal muzium di negeri Johor, tempat penubuhan UMNO.
Semangat, roh dan menjiwai semangat pemimpin agama dan pertiwi tercinta harus disemat dan disemai dalam setiap diri rakyat beragama Islam dan berbangsa Melayu bagi memastikan perjuangan suci dan tulus ini tidak akan hanyut ditelan zaman globalisasi. Era perubahan kepimpinan dalam UMNO khasnya harus dilakukan dan pemimpin yang dilantik biarlah yang mampu mengembalikan kegemilangan UMNO. Bukan pemimpin yang hanya tahu bercakap, menggunakan duit dan bomoh kerana kesannya amat buruk. Dan paling utama, tidak diredhai Allah swt.



No comments:
Post a Comment