Sekejap rasanya 2009 menjelma. Masa semakin pantas berlari mengejar usia. Masa semakin singkat dimamah zaman. Kita digemparkan dengan pelbagai perkara yang berlaku. Tahun 2008 dan sebelumnya adalah sejarah sebagai pengajaran untuk dijadikan pengalaman. Keterbatasan waktu yang ada menjadikan kita semakin hanyut dibawa arus usia. Dunia semakin tua begitu juga usia kita.
Seorang sahabat berjumpa dan bertanya mengapa saya lama tidak "update" blog ini atau saya sudah tidak berminat untuk menulis blog lagi. Saya hanya tersenyum dan menjawab ringkas, "sibuk sikit". 2008 menjadikan diri saya semakin tabah mengharungi segala-galanya. Daripada bekerja makan gaji dengan sebuah badan pemikir kerajaan, saya beralih arah memulakan perniagaan kecil. Kini, sayalah taukeh dan sayalah taugeh! Namun saya mempunyai banyak masa bertemu ramai orang berbeza sewaktu masa dahulu yang mana kena maklumkan pada boss dan bekerja mengikut waktu. Penat bekerja namun hasilnya bukan untuk kita. Penat memberi idea namun nama dan idea diciplak orang. Saya gembira dengan kehidupan sekarang walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan cuma masa yang agak sibuk berbanding dahulu sebab itulah blog ini lama tak dikemas-kinikan. Sibuk dengan masa sebagai peniaga, aktivis masyarakat dan aktivis sukan malah masa bersama keluarga tercinta. Memang masa agak terbatas walaupun cuba disusun sebaiknya. Dan daripada itu dapat saya buat kesimpulan bahawa mereka yang selalu menulis blog ini mempunyai banyak masa lapangnya atau menggunakan orang lain sebagai "shadow-writer" blog atau memang orang tersebut tidak bekerja atau seorang taukeh atau menggunakan waktu kerja untuk menulis blog.
Saya berada di Kuala Terengganu selama 4 hari membuat penelitian dan membantu kempen pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu. Kami membantu memberi idea dan gerak kerja setakat termampu. Kebetulannya beberapa orang sahabat sewaktu di universiti dahulu kini ramai yang aktif dalam politik. Ada antara mereka kini memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik, Setiausaha Sulit Kanan Menteri, Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda atau AJK malah ada juga yang kini menjadi antara pemimpin kepada parti-parti pembangkang. Kami bermalam di Hotel Felda Residence di mana Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan ramai pegawai tinggi kerajaan serta ketua bahagian yang tinggal di situ. Sepanjang pilihanraya berlangsung, semua hotel dan rumah penginapan penuh. Apa yang dapat diperkatakan bahawa kempen pilihanraya agak sejuk berbanding pilihanraya di tempat lain sebelum ini. Peratusan untuk Barisan Nasional menang adalah 50:50 memandangkan kepada beberapa masalah dalaman yang berlaku namun peluang BN agak cerah berbanding PAS.
Tahun yang berlalu dan pengalaman bergaul bersama masyarakat dan sahabat sewaktu di zaman persekolah dan universiti dahulu menjadikan saya dapat menyesuaikan diri bersama masyarakat. Sesungguhnya, usia semakin suntuk. Kita harus pantas mengejar usia atau kita yang akan ditinggalkan masa. Justeru, masa yang ada harus digunakan sebaik mungkin. Doa dan harapan 2009, semoga segala impian menjadi kenyataan. Bukan angan-angan kosong yang merugikan. Terima kasih sahabat kerana mengingatkan tentang masa. Semoga segala amalan dan pekerjaan kita dirahmati Allah swt dalam setiap masa!



No comments:
Post a Comment