Menjelang Pemilihan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung tidak lama lagi, pelbagai isu dan adegan yang berlaku. Budaya "cah keting" seolah-olah sudah sebati dengan UMNO. Sebenarnya bukan UMNO sahaja yang ada budaya tersebut malah parti lain juga sama cuma pekung UMNO banyak yang didedahkan media berbanding parti lain khasnya pembangkang. Mungkin orang UMNO lebih suka membuka pekung di dada. Bila pekung sudah terbuka maka kelemahan diketahui ramai. Semua orang tahu apa yang berlaku samada luaran atau dalaman. Justeru itu adalah antara punca kekalahan dalam PRU-12 yang lepas. Suka saya memetik tulisan Tsu Szu dalam bukunya,"The Art of War", yang bermaksud musuh akan senang dikalahkan jika ketahui kelemahannya. Buku ini adalah buku wajib yang dibaca oleh para pemimpin Cina khasnya samada dalam bidang politik, ekonomi dan sebagainya.
Bukankah UMNO dan PAS sama sahaja dari sudut perjuangannya cuma mungkin ideologi yang sedikit berbeza bagi memenangi hati rakyat. PAS dulu pun berasal daripada serpihan UMNO. Sama juga macam orang Melayu dalam PKR. Usul kerajaan campuran antara UMNO dan PAS hendaklah direalisasikan demi perpaduan bangsa Melayu dalam kemelut politik yang kian parah ini. Saya melihat UMNO dan PAS berada dalam keadaan yang agak parah cuma ego masing-masing yang masih meninggi. Bukankah perpaduan sesuatu yang dituntut dalam Islam? Jika semua orang Melayu berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah nescaya segala kemelut politik yang berlaku dapat diselesaikan sebaiknya. Tidak akan timbul soal ragu-meragui dan syak-wasangka kerana dalam perjuangan pasti ada halangannya. Halangan terutama oleh mereka yang mempunyai agenda peribadi apabila perpaduan ini akan menyebabkannya hilang kepentingan. Gunakan rasional dan pandang ke hadapan. Fikir dan renungkan impaknya kepada generasi anak bangsa pada masa akan datang.
Bila pekung terbuka dengan cerita yang direka-reka maka semua pemimpin Melayu akan dipandang hina. Apabila dipandang hina maka kita akan hilang permata berkualiti. Bukankah cerita Pak Kadok dan Hang Nadim harus dijadikan iktibar pada kita semua.
Cerita perpaduan Melayu ini usahlah digembar-gembur dan didedahkan. Andainya kata putus sudah dicapai. Janji dan baiah sudah diikat maka teruskanlah hasrat murni ini. Media, wartawan dan para penulis dalam keadaan yang kurang stabil ini haruslah memainkan peranan yang baik. Bukankah mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang? Dan, apakah kita lupa bahawa kita juga akan mati?



No comments:
Post a Comment