Keputusan pilihanraya kecil di satu Batang dan dua Bukit telah diketahui. Rakyat telah membuat pilihan. BN hanya diterima di Batang manakala tidak menang (kalah) di kedua-dua bukit.
Saya berkampung di Bukit Gantang bermula pada 2hb. sehingga 8hb. April 2009 untuk melihat perkembangan pilihanraya kecil itu. Saya berminat di Bukit Gantang kerana ia melibatkan pertembungan antara Mantan MB Perak dan ketiga-tiga merupakan orang Melayu. Walaubagaimanapun saya tidak berminat dengan calon Bebas namun kesungguhan beliau dan penyokong tidak harus diperkecilkan. Kelihatan payung (lambang yang digunakan) berada di setiap persimpangan.
Kesungguhan kedua jentera harus dipuji. Ternyata pada pilihanraya kecil kali ini, pihak BN banyak menggunakan jentera tempatan berbanding jentera PAS dari luar yang kebanyakannya datang dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kempen PAS lebih banyak kepada memburukkan peribadi pemimpin BN seperti Dato' Seri Najib, Dato' Seri Zahid Hamidi dan Ismail Saffian, calon BN. Gambar dan cerita keaiban begitu banyak disebarkan. Nampak sangat PAS begitu bersungguh-sungguh untuk menang dalam pilihanraya kecil ini. Saya berpeluang meninjau ke beberapa bilik gerakan PAS dan BN. PAS kali ini mempunyai sumber kewangan yang banyak. Buktinya melalui banyaknya poster, baju t-shirt, banner besar, payung, pelekat kenderaan serta bendera yang disimpan dalam bilik gerakan utama PAS. Kehadiran penyokong PAS begitu ramai sehingga jalan raya mengalami kesesakan yang teruk. Puncanya adalah sikap mementingkan diri segelintir penyokong dengan meletakkan kenderaan di bahu jalan tanpa mempedulikan orang lain terutamanya berdekatan kawasan ceramah dan ekspo yang diadakan.
P059 Bukit Gantang dimenangi oleh Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS) yang memperolehi undi sebanyak 21,860 mengatasi calon BN, Ismail Saffian yang mendapat 19,071. Majoriti undi adalah sebanyak 2,789. Jumlah pengundi adalah sebanyak 56,562 dengan Melayu 63.5%, Cina 27.1%, India 9.1% dan lain-lain 0.2%.
D25 Bukit Selambau dimenangi oleh S.Manikumar (PKR) dengan undi sebanyak 12,632 mengatasi calon BN, Datuk S.Ganesan yang memperolehi 10,229 undi. Majoriti undi adalah sebanyak 2,403. Jumlah pengundi adalah 35,140 orang dengan Melayu 50.2%, Cina 19.3%, India 29.5% dan lain-lain 1%.
N29 Batang Air dimenangi oleh calon BN, Malcom Mussen Lamoh dengna undian sebanyak 3,907 mengatasi Jawah Gerang (PKR) yang mendapat 2,053 undian. Majoriti sebanyak 1,854. Jumlah pengundi ialah Iban 95%, Melayu 1.25%, Cina 3.75%.
Untuk BN, muhasabah dan "post-mortem" harus dilakukan sebaiknya. Golongan muda dan kaum Cina masih menolak calon BN. Perdana Menteri dan barisan yang terpilih harus memainkan peranan sebaiknya bagi mengembalikan kepercayaan rakyat pada BN. BN khasnya pemimpin UMNO, jangan jadikan kekalahan ini sebagai kekalahan yang biasa kerana sekiranya tiada sebarang perubahan maka tunggulah saatnya UMNO hanya meninggalkan batu nesan!
Jangan menjadi hebat dan bersungguh sewaktu di pemilihan tetapi lemah dan tidak bersungguh di waktu pilihanraya! Ubah, berubah atau diubah.



No comments:
Post a Comment