Monday, April 27, 2009

POLITIK : SEMUANYA DEMI KEPENTINGAN POLITIK

(i)
Kalau dulu sibuk dengan Pemilihan Agung UMNO dan Pilihanraya Kecil maka kini media dipenuhi pula dengan Muktamar PAS yang akan berlangsung pada bulan Jun nanti. Pada saya semuanya sama. Pemilihan atau muktamar adalah bertujuan memilih pemimpin. Inilah saat yang dinanti-nantikan sesetengah pemimpin. Politik demi kepentingan kuasa politik masing-masing.

(ii)
Apabila berlakunya peralihan kuasa dengan perlantikan YAB Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang keenam, ramai yang mengkritik terutamanya pihak pembangkang. Visi beliau dengan : "Satu Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" juga dikritik hebat. Kehadiran beliau secara tiba-tiba di Petaling Street dan semalam di Puduraya juga menjadi bahan kritikan. Begitu juga dengan perlantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri. Pendek kata pada pandangan pembangkang, semuanya diberi kritikan. Alangkah hebatnya jika pihak pembangkang berkata, "kita berikan beliau peluang memerintah dengan baik" dan perkara baik diberikan pujian. Atau mungkin mereka lebih suka dengan jawatan sebagai pembangkang maka semuanya dibangkang!

(iii)

Politik kini menjadi legasi keluarga tidak kira dalam parti kerajaan atau pembangkang. Semuanya terang lagi bersuluh. Atau mungkin juga betul pepatah Melayu yang berbunyi :"ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi". Bagaimana dengan nasib kita yang keluarga dan keturunan tiada sebarang jawatan dalam politik. Terbaru adalah (kita ambil contoh terkini), Nik Abduh Nik Aziz iaitu anak kepada Tuan guru Nik Aziz Nik Mat akan bertanding merebut jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan dengan Abdul Latiff Abdul Rahman, Adun Batu Mengkebang. Ayah Latiff ialah Haji Abdul Rahman yang juga pengasas pondok Sungai Durian dan seorang tokoh ulama yang disegani di Kelantan.

(iv)
Pilihanraya Kecil juga akan diadakan di DUN Penanti. Menanti hari pengumuman oleh SPR. Ada yang dijadikan kambing hitam demi kepentingan politik. Dulu bukan main beriya dikatakan tidak akan berlakunya perletakan jawatan bagi kerusi DUN Penanti. Dengar khabar, PAS dan PKR ada sedikit berselisih faham bagi meletakkan calon masing-masing di situ. Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan slogan CAT - (Competence, Accountability, Transparancy) menjadi Pengerusi Tender bagi Negeri Pulau Pinang. Apakah semuanya ini cakap tak serupa bikin!

(v)
Yang pasti, politik diperjuangkan demi kepentingan politik masing-masing. Jangan lupa sejarah atau kita akan bergaduh sesama sendiri dan jadilah kita "menang sorak kampung tergadai".

(vi)
Usah peduli apa orang kata kerana mereka ada kepentingan politik. Justeru, ayuh sama kita bekerja demi kepentingan keluarga, agama, bangsa dan negara. Kita hayati dan praktikkan sebaiknya "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" . KPI kita biarlah Tuhan yang menentukannya...

No comments: