Selamat Hari Guru diucapkan buat semua insan yang bergelar pendidik samada secara langsung atau tidak langsung. Tanpa mereka siapalah kita. Dalam Islam kita diajar supaya menghormati sesiapa sahaja yang telah memberikan ilmu pada kita walaupun seorang kanak-kanak kecil. Mulia sungguh jasa orang yang memberikan ilmu apatah lagi orang yang menyebarkan ilmu sehingga ianya berguna kepada semua orang. Dalam kemelut yang berlaku hari ini andai sikap saling hormat-menghormati diamalkan banyak perkara yang akan selesai.Jasa guru disanjung tinggi. Jasa guru harus dikenang sehingga ke mati. Sebab itulah para ilmuan terdahulu berjaya dalam kehidupan mereka berbanding kini kerana masyarakat kini yang semakin memandang rendah tentang jasa para guru. Kesannya ialah anak-anak generasi baru yang semakin kurang ajar dan tiada tata-susila dalam diri. Apa tidaknya, guru kini tidak boleh merotan murid yang membuat salah. Menyentuh samada penampar jauh sekali. Berbeza dengan zaman dahulu. Rotan dengan guru seumpama irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Masih saya ingat, saya dirotan kerana gagal menyiapkan kerja rumah. Juga dirotan kerana salah bacaan dalam mengaji. Saya juga pernah dikenakan ketuk-ketampi sebanyak 100 kali sehingga koyak seluar kerana kesalahan yang dilakukan. Cikgu Rosdi (Cikgu BI) dan Cikgu Azaha (Cikgu BM) sewaktu saya di Tingkatan Dua di SMASID telah banyak memberi kesedaran kepada saya. Walaupun pendidikan kedua beliau diwaktu itu setakat SPM tetapi beliau telah memberikan ilmu kepada kami. Alhamdulillah, kerana rotan dan denda tersebut, hari ini saya menjadi insan yang berguna. Nama cikgu-cikgu sewaktu daripada TABIKA sehingga ke Universiti masih segar diingatan. Terima kasih cikgu.....jasa kalian hanya Tuhan yang mampu membalasnya!
Kalaulah Islam mengangkat darjat para pendidik ini begitu tinggi maka mereka yang bertanggungjawab menyedia dan menyiapkan infrastruktur seperti tabika, sekolah, kolej, universiti dan lain-lain yang berkaitan dengan tempat pembelajaran dan penyebaran ilmu maka tentulah darjatnya lagi tinggi daripada para pendidik. Tanpa kerajaan dan pemimpin yang bijaksana sudah tentu negara kita tidak mampu mencapai tahap sebegini. Begitu juga dengan diri kita. Sesekali terfikir (terutama mereka yang mendapat kebaikan daripada kerajaan tetapi melemparkan kembali fitnah, kutukan), tidakkah mereka merasa berdosa dengan kesalahan dan kesilapan mereka itu! Atau saja menidakkan perkara yang benar demi kepentingan sendiri! Nauzubillah...
Pesan seorang ustaz saya dahulu : "memilih pemimpin biarlah mereka yang mampu mengekalkan keharmonian demi agama, bangsa dan tanahair". Dan pesanan ini masih menjadi pegangan saya selagi hayat dikandung badan! Terima kasih Ustaz Mustafa Taib (kini Dato').



No comments:
Post a Comment