Sunday, November 2, 2008

LIBERASASI

Baru-baru ini Majlis Fatwa telah mengeluarkan fatwa haram umat Islam yang mengamalkan amalan "yoga". Apa yang mendukacitakan ialah tindakan tersebut telah mencetuskan kontroversi sehingga membabitkan rakyat yang bukan Islam. Tidak pernah sebelum ini fatwa-fatwa diulas dan diberi komen oleh mereka yang bukan Islam sebagaimana yang berlaku pada hari ini, mungkin inilah yang dikatakan konsep keterbukaan dan liberalisasi Islam? Kita bersikap liberal dalam semua perkara walaupun berkenaan sensitiviti agama.

Fatwa biasanya diwartakan untuk memberikan ia kuatkuasa undang-undang. Fasal 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 berbunyi : Tertakluk kepada seksyen 51, Jawatankuasa Fatwa hendaklah, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan, dan bolehlah atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan oleh mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti, menyediakan suatu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi berhubungan dengan Hukum Syara'. Itu bagi negeri Selangor, dan sudah pastilah lebih meluas skopnya apabila tiba ke peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan.

Fatwa-fatwa yang dikeluarkan adalah terkena dan berhubung-kait dengan hal-ehwal masyarakat Islam sahaja dan tidak ada kena mengena dengan penganut agama lain. Oleh itu pihak yang berwajib khasnya para pemimpin Islam tanpa mengira apa jua parti hendaklah memberi peringatan kepada masyarakat bukan Islam agar tidak terbabit dalam mengeluarkan pandangan lebih-lebih lagi kritikan dan cemuhan terhadap hal-ehwal masyarakat Islam. Ianya sama-sekali tidak membantu dalam hubungan harmoni antara kaum dan lebih mencetuskan kontroversi dan ketegangan yang akhirnya akan merugikan semua pihak.

Merujuk kepada ruangan "SMS your views" dalam akhbar The Star hari ini dan merasakan seolah akhbar tersebut seakan turut seronok menyiarkan komen-komen yang bagi saya mampu mencetuskan kemarahan umat Islam. Terdapat 4 komen di bawah tajuk "Yoga is exercise":

1) The fatwa council has nothing better to do-ban yoga? Yoga class has nothing to do with religion!

2) STUPIDITY…Yoga is a form of fitness same as tai chi…why r some morons mixing it with religious belief

3) NAT'L Fatwa Council is the biggest non-productive body in the country

4) PLS ask Nat'l Fatwa Council how to improve the economy of country and bring in foreign investment and how to make us a developed country.


Saya tidak tahu adakah mereka yang memberi komen di atas ini terdiri dari masyarakat Islam atau bukan Islam tetapi siapa pun mereka saya menganggap ia mencampuri urusan Islam dan sangat tidak beradab dan biadap. Sementara itu sekadar untuk renungan di muka 37 akhbar yang sama dilaporkan bahawa rupa-rupanya bukan hanya masyarakat Islam yang mula ragu tentang amalan "yoga" ini malah beberapa kumpulan penganut Kristian tempatan juga sangsi kerana hubungan amalan berkenaan dengan kepercayaan Hindu.

Seperti juga apa yang berlaku sewaktu cadangan Dr. Nasir Hashim, ADUN Kota Damansara untuk pengagihan zakat kepada bukan Islam. Berapa kerat sahaja pemimpin Islam yang berani memberi teguran dan bantahan manakala yang lain lebih senang mengambil sikap lihat sahaja. Inikah yang dinamakan LIBERASASI?

Dalam hal ini, pelbagai pihak telah mengambil kesempatan di atas perpecahan umat Melayu yang berlaku dan sikap liberasasi pemimpin-pemimpin Melayu. Apakah perkara ini harus dibiarkan berlaku tanpa sebarang tindakan tegas diambil? Ini juga adalah tanggungjawab kita orang Melayu yang beragama Islam yang pantang bangsa dan agama dicabar.

No comments: