Monday, February 23, 2009

POLITIK : SEMUANYA RETORIK

Hebat senario politik Malaysia kini. Semuanya berlagak menjadi hero seperti Superman. Oleh kerana itu, benang yang basah pun ada yang cuba ditegakkan. Orang lain semuanya salah. Yang betul hanya dia walaupun kekadang memang salah di pandangan mata apatah lagi pada hukum syariat.

Kita sebenarnya ketandusan pemimpin muda yang mempunyai karismatik dan dihormati oleh segenap masyarakat tanpa mengira fahaman, ideologi dan warna kulit. Bukan tiada cuma tidak digilap dan diberikan peluang. YB bermaksud Yang Berkhidmat. YB adalah pemimpin berkhidmat kepada masyarakat bukan tiket untuk mencari kekayaan dan kepentingan diri dan kroni. Meminjam kata-kata sahabat saya, seorang Ahli Parlimen muda sewaktu berucap dalam satu Program Amal di Pulau Pinang dulu,"YB adalah fasilitator atau pemudah cara kepada masyarakat". Saya tertarik dengan cara pakaian dan pergaulan beliau yang masih tidak berubah walaupun setelah bergelar YB. Beliau juga datang ke program hanya menaiki kereta waja yang pernah saya naiki untuk sama makan gulai kawah di Pantai Dalam dulu.

Pemimpin lama harus memberi laluan kepada pemimpin muda. Pemimpin muda pula haruslah belajar daripada pengalaman pemimpin lama dan berpengetahuan khasnya dalam pergaulan dengan masyarakat. Sikap saling menghormati haruslah disemat sebagai jati diri pemimpin masyarakat. Toleransi dan kerjasama utuh antara generasi harus diperkuatkan. Sikap ego, bangga diri dan birokrasi harus dibuang jauh. Inilah yang UMNO harus perbetulkan.

Saya tersenyum melihat Berita BERNAMA pagi tadi. Presiden MIC berkata bahawa antara syarat pemilihan calon MIC di DUN Bukit Selambau adalah calon bukan muda, harus fasih berbahasa Melayu dan boleh diterima oleh orang Melayu. Beliau sudah terlalu lama memimpin MIC. Cakap Bahasa Malaysia masih tercungap-cungap. Kalaulah itu kriterianya calon MIC yang beliau kehendaki maka nasihat saya kepada beliau, lepaskanlah jawatan kerana bukan sahaja orang Melayu bahkan orang India sendiri pun sudah menyampah dengan retorik beliau!

Tuan Guru Nik Aziz dan pemimpin PAS begitu marah sekali dengan Datuk Ibrahim Ali (Ahli Parlimen Pasir Mas) yang dikatakan lantang mengkritik parti PAS dalam sidang Parlimen. Bukankah itu retorik kerana PAS juga bersama Pakatan Rakyat memperjuangkan kebebasan bersuara?

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menyarankan agar Pak Lah tidak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Ikhlaskah saranan ini atau hanya retorik demi kepentingan parti pembangkang.

Ahli-ahli Parlimen (terutamanya Pakatan Rakyat) yang akan keluar dewan beramai-ramai apabila memprotes sesuatu isu yang diperdebatkan. Sedangkan dalam setiap ceramah atau ucapan tidak pernah diucapkan ; "saya keluar dewan kerana marah pada YB si polan". Bukankah itu retorik kepada rakyat yang memilih mereka sebagai Ahli Parlimen?

Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR yang beriya mempertahankan YB Ellizaberth Wong supaya tidak meletakkan jawatan selepas gambar terkangkangnya tersebar luas. Juga kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akibat September 16 yang diwar-warkan oleh beliau. Kini Perak huru-hara. Bukankah itu retorik yang memakan diri sendiri?

Para pemimpin DAP yang beretorik berpakat demi kepentingan kaum tertentu dan kemenangan dalam pilihanraya.

Yang paling retorik adalah kita yang memilih parti yang berjuang demi kepentingan individu dan berpakat demi menjatuhkan parti lain serta tidak jelas hala tuju perjuangannya!

UMNO? Tunggulah pemilihan agung nanti. Apakah kata dikota atau sekadar tinggal janji. Bersamalah kta renung dan fikir-fikirkan!

No comments: