100 hari sebagai Perdana Menteri Malaysia, sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu, YAB Dato' Sri Najib Tun Razak telah berjaya melaksanakan tugasannya dengan baik. 100 hari bukanlah suatu ukuran atau tanda aras (KPI) yang harus dijadikan ukuran kerana ianya adalah suatu masa yang agak singkat tetapi 100 hari juga boleh dijadikan permulaan kepada kepimpinan beliau untuk masa seterusnya.Mendengar siri ucapan demi ucapan beliau, yang semakin didengar semakin menarik dan tertarik jelas menggambarkan anjakan kepimpinan kaizen beliau. Dalam hal ini, semua pemimpin khasnya kepimpinan UMNO dan BN harus memainkan peranan masing-masing bagi memacu hasrat, visi dan semangat yang telah beliau tunjukkan.
Manusia tidak ada yang "maksum" dan sempurna. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Manusia yang baik adalah manusia yang mempunyai banyak kebaikannya dan sedikit kekurangannya serta berusaha membaiki kelemahan dan kekurangan.
Sambutan Majlis 100 Hari Perdana Menteri Bersama Rakyat Datuk Sri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada hari Sabtu lalu cukup istimewa kerana sambutan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu bukan sahaja untuk meraikan Najib tetapi juga rakyat daripada pelbagai peringkat. Pada majlis tersebut juga, PM telah mengumumkan 11 'hadiah untuk rakyat' khasnya kepada golongan rakyat berpendapatan sederhana dan ke bawah serta meliputi semua golongan rakyat.
Masalah pengguna lebuh raya bertol, penyewa flat Dewan Bandaraya Kuala lumpur, peniaga kecil di Wilayah Persekutuan, belia India yang menganggur, penyewa permit teksi, kemudahan asas penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak, penunggang motosikal tanpa lesen - semuanya kini ditangani. Juga masalah lewat mendaftar kelahiran dan proses kewarganegaraan yang akan disegerakan. Kebimbangan rakyat tentang jenayah ragut dan curi kenderaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri.
Visi mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan serta meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah perlu dilaksanakan segera.
PM juga telah meletakkan enam daripada 11 hadiah tersebut dalam mengukur keberhasilan utama nasional (KRA) untuk mencapai matlamat Petunjuk Prestasi Utama (KPI.
Jelas langkah-langkah yang diumumkan oleh Najib itu mencerminkan usaha konsep 1 Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapai Diutamakan demi menjaga kesejahteraan rakyat yang menjadi teras kepimpinannya. 11 hadiah itu adalah hasil usaha PM merasai denyut nadi permasalahan rakyat melalui pendekatan turun padang.
Dalam sebarang keputusan, kepentingan rakyat didahulukan dan beliau tidak akan membuat sesuatu secara sewenang-wenang jauh sekali secara semberono.
Pendekatan memikirkan nasib rakyat dahulu sebelum membuat sebarang keputusan perlu dicontohi oleh anggota Kabinet dan pegawai tinggi kerajaan.
Nampak jelas sejak 100 hari lalu, apa yang rakyat tidak suka, Najib berusaha mengubahnya. Beliau telah berjaya menangkis segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh pihak pembangkang. Beliau juga memperhalusi dan sanggup menyesuaikan dirinya dengan apa yang dikehendaki rakyat.
Rakyat juga harus sedar siapa yang cuba mengganggu-gugat keharmonian negara sejak PRU 12 tahun lepas. Perhimpunan rakyat di KLCC mencerminkan semangat anak-anak muda untuk bangun gagah memakmurkan negara.
Ucapan PM menjawab soalan hadirin dalam program Wacana anjuran GEMPITA di Dewan Merdeka, PWTC pada malam tersebut juga jelas menampakkan keikhlasan dan kesungguhan beliau sebagai pemimpin nombor satu negara. Anak-anak muda era ini bijak menilai antara kaca dan permata dan setiap tindak-tanduk pihak-pihak yang cuba menjejaskan perpaduan negara perlu diberi isyarat jelas oleh mereka bahawa tiada ruang untuk mereka berbuat demikian di negara ini.
Sikap pemimpin yang bertopengkan agama, perjuangan keadilan dan memutar-belit sejarah perlu disedari oleh rakyat hari ini bahawa Kerajaan BN yang ada, membawa visi dan misi yang sama seperti pemimpin terdahulu untuk mentadbir negara yang unik ini dengan kepelbagaian adat dan budaya tanpa ada sikap pilih kasih.
Jika orang memberi dengan tangan kanan perlu disambut dengan tangan kanan. Keikhlasan Perdana Menteri dan kerajaan telah dilihat dalam 100 hari pentadbiran beliau. Meragui pemberian hadiah bukanlah adat kita.
Orang berbudi kita berbahasa orang memberi kita merasa. Jika sudah diberi hadiah sebagai rakyat hanya dua perkataan yang dapat menunjukkan kesyukuran kita. Terima kasih daun keladi. Teruskan usaha demi kepentingan agama, bangsa dan pertiwi tercinta...syabas PM!



No comments:
Post a Comment