Showing posts with label UMUM. Show all posts
Showing posts with label UMUM. Show all posts

Monday, September 1, 2008

MARHABAN YA RAMADHAN AL-MUBARAK

Ramadhan menjelma lagi. Terasa cepat dunia ini berputar. Umur yang semakin meningkat dan tanggungjawab yang semakin berat. Dunia kian menghampiri penghujung usianya. Terasa kerdil dan hinanya diri ini disisi-Mu Ya Rabbi. Bersyukur atas segala rahmat dan inayah yang telah diberikan.

Harapan pada diri semoga Ramadhan al-Mubarak kali ini akan menjdikan insan kerdil ini lebih baik daripada hari-hari sebelum ini. Banyak dosa dan noda yang telah dilakukan sepanjang melalui titian perjalanan ini. Ampunkanlah dosa-dosa dan kesilapan kami Ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang. Berikan kami taufik dan hidayah serta dikuatkan hati-hati kami dengan ketakwaan dan keimanan padu pada-Mu Ya Rabbi. Bersihkan hati-hati kami dan kuatkanlah ikatan ukhuwah antara kami yang semakin longgar ini demi kebenaran atas nama syariat-Mu ya Allah Ya Rabbi Izzati.

Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui atas segala sesuatu yang berlaku. Tunjukkanlah kebenaran supaya kami, insan kerdil yang tidak berdaya ini supaya tidak dilanda kemelut yang melonggarkan keutuhan perpaduan kami Ya Allah. Kepada-Mu kami berserah dan kepada-Mu jugalah tempat kami memohon segala sesuatu....

Moga Ramadhan ini akan menyerlahkan kebenaran buat semua. Amin.

MERDEKA TANAHAIRKU

Hari ini negara kita yang tercinta menyambut hari kemerdekaan yang ke-51. Kemerdekaan yang harus dikenang dan sejarah kemerdekaan yang harus diingati di jiwa setiap warganegara Malaysia, tanahair tercinta. Sejarah merupakan pengajaran dan tauladan yang harus dikenang dan dijadikan panduan. Dalam mengharungi zaman sebelum kemerdekaan, para pemimpin kita telah berjuang bermatian demi pertiwi tercinta ini.

Merdeka diseparuh abad terasa hambar. Jalur Gemilang tidak banyak yang dikibarkan. Sambutannya amat dingin. Apakah kerana tiadanya bendera percuma yang diedarkan atau semangat kemerdekaan yang kian hilang dijiwa merdeka warganegara Malaysia? Sesuatu yang harus dikaji secara mendalam oleh para pemimpin negara.

Semalam saya menyambut detik jam 12 malam di Auto City, Juru, Pulau Pinang bersama sahabat-sahabat daripada Persatuan Gusti Lengan Negeri Selangor. Kami dijemput oleh pihak penganjur untuk mengadakan demonstrasi dan menganjurkan pertandingan gusti lengan sementara menunggu detik bersejarah, hari kemerdekaan tanahair. Menyambut detik kemerdekaan di bandar tersebut seperti kami berada di Hong Kong. Konsert yang diadakan menghidangkan artis dari Hong Kong dan semua lagu yang dinyanyikan adalah dalam Bahasa Mandarin dan Kantonis. Apa yang amat mengecewakan ialah tiada sepatah pun Bahasa Melayu digunakan kecuali ucapan MERDEKA oleh deejay dan artis sewaktu tepat jam 12.00 tengah malam yang disusuli dengan letupan bunga api. Tiada nyanyian lagu kebangsaan berkumandang.

Saya sebak, sedih dan sayu sendiri. Apakah dalam kita melayari usia hampir separuh abad maka kesudahan begini yang harus diterima oleh negara bernama, Malaysia atau nama lamanya Tanah Melayu. Para pemimpin Melayu khasnya harus memandang serius perkara ini kerana seandainya penerapan cintakan negara yang lemah berterusan maka tidak mustahil selepas ini tiada lagi ingatan kita pada 31 Ogos setiap tahun kecuali di media massa sahaja. Budaya dan semangat cintakan tanahair yang kian terhapus....

Wahai anak bangsaku...Bangkit demi mempertahankan pertiwi tercinta atau biarkan saja ia berlalu dan kita menjadi peminta sedekah di tanah sendiri. Orang lain menjadi taukeh dan kita terus menjadi taugeh...Salah siapakah dalam hal ini? Tepuk dada tanya selera!

Wednesday, August 27, 2008

KITA DI PERMATANG

Kita di permatang sebelum ke seberang. Dunia hanya persinggahan sementara. Akhirat abadi selamanya.

Akhirnya segala penantian dan debaran sudah terjawab. Keputusan rasmi SPR yang diterima adalah Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menang sebanyak 31,195 undi manakala calon BN mendapat 15,524 undi dan calon AKIM hanya mendapat 92 undi dan hilang wang pertaruhan. Majoriti undi yang dimenangi Anwar adalah 15,671 undi. Tahniah buat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan jentera Pakatan Rakyat kerana segala penat-lelah telah berjaya. Buat BN dan AKIM, adat dalam pilihanraya ialah kalah atau menang. Tiada keputusan seri. Itu realiti yang harus diterima. Menang dan kalah adat bertanding. Yang kalah kena terima dengan hati yang terbuka dan redha atas apa yang berlaku. Rakyat kini matang dan bijak membuat keputusan berbanding zaman dahulu yang hanya ada TV dan suratkhabar. Kini, internet memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan informasi kepada orang ramai. Siapa yang bijak mengambil peluang maka sudah tentu kemenangan di tangan.

Apakah senario politik tanahair akan berubah wajah atau akan terus dicemari dengan pelbagai fitnah yang hanya membingung dan menyusahkan rakyat. Ingatlah bahawa setiap amanah dan tanggungjawab yang dipegang akan dipersoalkan oleh Allah swt. Jangan dicari kemegahan dunia yang sementara dan akhirnya akan merana di akhirat kelak.

Kepentingan agama dan bangsa jangan digadai demi mencapai cita-cita kerana kemelut yang berlaku kini semakin kritikal sehingga membawa kepada pertelingkahan ulama. Justeru, cara terbaik adalah duduk semeja dan selesaikan secara bijaksana dengan mengambil kira pandangan semua dan bukannya keputusan berlandaskan kepentingan politik individu tertentu. Jangan agama Islam dipandang remeh oleh agama lain hanya kerana kita berbeza pendapat yang setiap hari diwar-warkan di dada media. Semua pihak harus prihatin dalam menangani kemelut yang melanda demi agama, bangsa dan negara kerana akhirnya yang rugi adalah agama dan bangsa kita. Tanggungjawab ini harus dipikul oleh semua pihak khasnya golongan pemimpin dan alim-ulama dalam menaikkan imej Islam yang kian pudar sinarnya. Bersatulah demi kepentingan agama. Carilah titik persamaan bukan mencari titik perbezaan yang akhirnya akan memisahkan kita sendiri. Bersatulah!

Kepada mereka yang bergelar pemimpin dan bercita-cita untuk menjadi pemimpin, lihatlah kredibiliti dan tanggungjawab bukan hanya mencari kemasyhuran. Kerana kemasyhuran hanya bersifat seketika dalam meniti kehidupan menuju perhentian abadi. Yang utama adalah kepentingan rakyat dan rakyat adalah kita maka kita yang harus membuat pilihan. Tepuk dada, tanya selera!

Thursday, August 21, 2008

TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA

Orang Melayu terkenal dengan sikap lemah-lembut, toleransi, rajin dan menghormati tetamu. Orang Melayu kaya dengan nilai murni dan adat susila yang tinggi. Orang Melayu itu peramah, bersopan dan hidup bermuafakat. Itu ciri-ciri utama orang Melayu dan yang paling penting adalah orang Melayu itu beragama Islam.

Namun, itu adalah fakta dan realitinya suati masa dahulu. Dalam menghampiri ambang kemerdekaan negara yang melebihi setengah abad, ciri-ciri itu hilang ditelan zaman dan arus globalisasi. Gelombang dan nilai kebaratan kian tinggi bercambah dalam masyarakat Melayu. Payah untuk kita mencari anak-anak yang namanya Ahmad, Musa, Nordin, Fatimah, Rogayah, Salmah dan lain-lainnya yang sinonim dengan nama kemelayuan. Hakisan nama ini berlalu bersama sikap dan moral anak-anak yang kian tenggelam di arus zaman. Sikap individualistik juga semakin tebal di dalam dada masyarakat hari ini.

Kegusaran ini harus kita sama menyelesaikannya bagi memastikan warisan nenek-moyang bangsa Melayu terus subur sepanjang zaman. Kata Laksamana Hang Tuah, "Takkan Melayu Hilang Di Dunia", kerana Melayu masih ada cuma budayanya kian pupus ditelan arus masa. Justeru, kitalah pelapis yang harus mempertahankannya.

Wednesday, August 6, 2008

CAKAP ITU SENANG!

Realiti apa yang berlaku. Cakap adalah sesuatu yang senang manakala melaksanakannya adalah sesuatu yang amat payah. Ahli politik dan penceramah boleh bercakap sehingga sehari suntuk tanpa berhenti tetapi bagaimana perlaksanaannya. Negara kita mencapai kemerdekaan melebihi 50 tahun iaitu usia warga emas. Namun, apa yang paling malangnya walau pelbagai usaha dan strategi yang telah digunakan namun hakikat yang pahit untuk ditelan adalah kita masih gagal mencapai sasaran 30% dalam bidang ekonomi. Mengapakah perkara ini masih berlaku sedangkan pemimpin utama, pegawai tinggi kerajaan, GLC dipegang oleh bangsa Melayu?

Inilah yang dikatakan cakap senang. Kerajaan boleh menghabiskan berapa banyak duit untuk berkempen. Program-program keusahawanan dijalankan sebaiknya namun hasilnya tetap tidak memberangsangkan. Yang dipersalahkan tetap orang bawahan. Bukan berputus asa dalam memperjuangkan ekonomi orang Melayu tetapi semakin masuk ke dalam maka makin banyak lompang dan aib yang akan kita temui. Siapakah yang akan menampal lubang-lubang yang terbuka ini? Apakah kita sebagai rakyat biasa mampu untuk menampalnya? Jawapannya mudah. Pemimpin di atas sedar apa yang berlaku namun hanya sekadar melihat. Tanggngjawab ini besar dan berat. Pihak yang dipertanggungjawabkan harus bersungguh-sungguh dalam memastikan hasrat murni ini akan tercapai.

Walau berapa banyak pun program yang dijalankan tetap sumber utamanya dipegang oleh bangsa lain maka keputusannya tetap tidak akan berubah walau sehingga kiamat pun. Pemimpin politik dan pegawai atasan harus menanam semangat "jihad ekonomi" dalam diri dan jiwa mereka. Namun kalau hanya ada semangat tetapi perlaksanaan dalam kehidupan seharian tetap sama maka semangat hanya akan tinggal semangat. Ketirisan yang berlaku bukan disebabkan oleh rakyat tetapi oleh pemimpin. Ini hakikatnya yang patut diterima walau pahit untuk ditelan. Ayuh, berubahlah!

Friday, July 4, 2008

ALLAH YANG MAHA AGUNG

Bila Allah Cepat Makbulkan Doamu,
Maka DIA Menyayangimu,
Bila DIA Lambat Makbulkan Doamu,
Maka DIA Ingin Mengujimu,
Bila DIA Tidak Makbulkan Doamu,
Maka Dia Merancang Sesuatu Yang lebih Baik Untukmu.
Oleh itu,
Sentiasalah Bersangka Baik Pada ALLAH Dalam Apa Jua Keadaan Pun...
Kerana Kasih Sayang ALLAH Itu Mendahului KemurkaanNya. ."

Monday, June 23, 2008

NURUL IMAN : SEBAK DAN PILU

Dari Pulai Pinang balik ke Kuala Lumpur, kami singgah di Rumah Anak-Anak Yatim Dan Miskin Nurul Iman yang terletak di Manjoi, Perak. Kami tiba lebih kurang jam 11.30 malam. Anak-anak masih ramai yang belum tidur dan begitu gembira dengan kedatangan kami.

Hati sebak melihat nasib anak-anak yang tidak berdosa ini. Dalam kegembiraan insane lain bersama keluarga, masih ada insan yang mengharapkan simpati dan kasih sayang. Mereka ini menjadi mangsa keadaan. Ada yang tidak pernah melihat wajah ibu yang melahirkan mereka ke dunia. Sanak-saudara pula ada yang langsung tidak menjenguk mereka. Sungguh, hati saya sebak dan menitiskan air mata. Rakan-rakan saya yang turut serta pun dapat saya saksikan terdapatnya mutiara putih dicelahan mata mereka. Sedih mengenangkan nasib mereka yang kehilangan kasih dan sayang keluarga. Dalam kegembiraan kita rupanya masih ramai insan yang berduka lara. Dan dalam kesusahan kita, masih ramai insan yang begitu susah daripada kita. Bersyukurlah atas kurniaan dan rezeki Allah swt kepada kita serta hulurkanlah sedikit untuk mereka yang memerlukan.

Hati kecil ini juga merasa amat kagum dengan kegigihan En. Khairul yang telah berusaha sebaiknya menjaga anak-anak ini. Peluang yang ada digunakan sebaiknya bagi melihat keadaan dan prasarana rumah anak yatim ini. Misi kami selepas ini adalah memastikan pusat ini akan dapat mecapai sasaran sumber kewangan sebanyak RM1.2 juta akan tercapai. Ianya adalah bertujuan untuk membeli tanah dan membina sebuah bangunan serta prasarana yang mencukupi bagi kegunaan anak-anak ini. Semoga Allah swt akan memberikan kami kekuatan bagi melaksanakan misi dan visi ini.

Saturday, June 14, 2008

PEMIMPIN Melayu Tolong MELAYU

Pemimpin Melayu kita sering bercakap soal ekonomi, bangsa dan kepentingan menjaga politik orang Melayu. Bersemangat orang yang bercakap mahupun orang yang mendengar. Semuanya Melayu. Melayu mesti tolong Melayu.

Perkataan dan ayat-ayat ini telah bergema sehinggalah sekarang yang mana tanahair tercinta ini mencapai usia lebih lima puluh tahun kemerdekaan. Walau pelbagai dasar diperkenalkan bagi meningkatkan taraf ekonomi Melayu termasuklah juga pelbagai bantuan modal, pinjaman dan sebagainya, namun sehingga kini orang Melayu hanya mampu mencapai 18% sumber ekonomi negara. Purata pendapatan isi rumah orang Melayu pula adalah yang ketiga selepas kaum Cina dan India. Itulah malangnya nasib orang Melayu, merempat di tanahair sendiri. Kita marah dan cepat melenting apabila disebut orang Melayu ini malas, dengki dan pelbagai lagi sikap positif. Tetapi pernahkan kita cuba mengambil teguran ini sebagai sesuatu yang postif dan berusaha untuk berubah.

Pemimpin-pemimpin Melayu yang berjaya ini sebagai tokoh korporat, usahawan, ahli politik dan dihormati dalam masyarakat. Katanya ingin membantu bangsa Melayu meningkatkan taraf ekonomi bagi mencapai sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebanyak 30%. Pelbagai formula, kajian dilakukan namun hasilnya masih sama malahan peratusan peningkatan ekuiti milik Melayu semakin berkurangan.

Melawat ke pejabat tokoh-tokoh Melayu ini kita akan kagum dengan hasil gigih dan jerih usaha mereka. Mereka mempunyai segala-galanya. Bolehkah kita labelkan mereka ini sabagai ‘cakap tak serupa bikin” atau mereka mempunyai agenda lain. Mungkin bagi menarik pelabur bangsa lain atau sebagainya.

Kereta bukan buatan Malaysia. Pemandu dan setiausaha sulit bukan bangsa Melayu. Pengurusan dan kakitangan hanya beberapa kerat sahaja Melayu. Sewa lot pejabat yang pemiliknya bukan Melayu. Kereta yang “service” bukan di bengkel milik orang Melayu. Talian telefon bukan milik orang Melayu. Pakaian berjenama yang bukan berjenama Melayu. Bercakap diselang-seli dengan bahasabukan Melayu. Dan kekadang si isteri pun bukan berbangsa Melayu. Lalu apakah layak mereka ini bercakap soal kepentingan Melayu kerana mereka tidak memberi balik pulangan wang kepada bangsa Melayu

Jikalau hal ini masih tidak diubah dan berubah maka inilah yang dikatakan “cakap tak serupa bikin” dan menjadikan orang Melayu semakin LAYU! Benarlah kata mereka : Orang Melayu tolong meLAYU!

Wednesday, June 11, 2008

KAWAN-KAWAN

Setiap manusia dikurniakan akal oleh Yang Maha Pencipta untuk berfikir. Akal fikiran yang berlandaskan kebaikan maka kebaikanlah jalan yang akan dia dapat dan begitulah sebaliknya. Tanpa akal yang waras kita akan menjadi lebih teruk daripada haiwan. Justeru, gunakanlah akal demi kebaikan semua.

Kesibukan mencari rezeki membataskan waktu bersama kawan-kawan. Masa memisahkan kita daripada teman-teman seperjuangan sewaktu bersama menempuh alam persekolahan. Kini semuanya sudah bekeluarga dan bekerjaya. Ada yang berjaya dan menduduki kerusi yang tinggi dan sebaliknya. Itulah lumrah dunia. Kehidupan seumpama roda, kekadang kita di atas dan ada waktunya kita akan berada di bawah. Sewaktu di atas jangan lupa rumput di bumi. Kita manusia saling memerlukan antara satu sama lain. Gabungan akal ramai orang akan menghasilkan suatu idea yang mantap. Keputusan seorang tidak akan mendapat idea sebegini. Percayalah, Tuhan menjadikan akal dan fikiran sebagai suatu benda yang paling hebat!

Bersama rakan-rakan yang hebat maka kita akan menjadi hebat. Itulah kelebihan mempunyai ramai kawan. Rezeki yang dikurniakan Tuhan untuk dikongsi bersama bukan untuk kita makan seorang. Rezeki yang diberi akan melimpah seandainya kita berkongsi dengan kawan-kawan yang lain. Hargailah kawan-kawan kerana tanpa mereka kita akan kesunyian. Kita bukan sesiapa juga tanpa kawan. Kawan yang baik adalah kawan yang sentiasa memberi nasihat dan teguran berguna. Kawan yang selalu memuji bukanlah kawan yang baik kerana memuji tanpa teguran akan merosakkan kita. Jangan mengutuk kawan. Jangan dengki kepada kawan dan orang lain.

Ada orang diwaktu susah mencari kawan tetapi di waktu senang lupakan kawan. Itu lumrah tetapi orang sebegini tidak akan mendapat kawan yang ramai. Berkawan atas sebab mempunyai niat dan agenda peribadi juga tidak akan kekal lama kerana sampai suatu ketika apabila hasratnya tercapai maka dia akan meninggalkan kawannya. Justeru, bersamalah kita menjadi kawan yang baik. Buat yang sudi menjadi kawan saya, terima kasih atas teguran, pandangan dan didikan sehingga saya menemui jalan kehidupan seperti sekarang. Segala budi dan jasa baik kawan-kawan tidak akan dilupakan!

Tuesday, June 10, 2008

DAN PEMIMPIN ITU ADALAH DIRI KITA

Lumrah manusia agaknya tanpa mengira bangsa, depan cakap lain manakala di belakang hebat mengata dan mengutuk. Depan bersetuju manakala belakang langsung tidak sependapat. Depan semuanya bagus, belakang pelbagai kutukan dan hinaan. Perkara ini terjadi terutama apabila orang di hadapan adalah orang yang mempunyai pangkat dan kedudukan atau lebih kebiasaannya yang berjawatan “boss”. Mereka yang berperangai sebegini pada pandangan saya hanya akan merosakkan organisasi, tidak disukai oleh kakitangan bawahan serta jikalau dia yang menjadi ketua maka organisasi tersebut juga akan mengalami saat kegelapan.

Menjadi pemimpin bukanlah suatu perkara yang mudah. Ianya memerlukan semua aspek seperti psikologi, karismatik, pengetahuan dan pandangan melalui perbincangan. Keputusan pemimpin yang bijak adalah melalui perbincangan dan melihat kepada kesan jangka pendek dan panjang kepada orang bawahan dan oranisasi keseluruhannya. Kebajikan orang bawahan adalah perkara penting yang harus dilaksanakan. Pemimpin yang mengutamakan kepentingan diri apabila jatuh ke bawah kelak tidak akan dihormati. Ada pemimpin yang boleh menjadi hebat di saat organisasi berada di tahap kecemerlangan tetapi jarang ada pemimpin yang hebat dapat mengembalikan kegemilangan organisasi di saat ianya jatuh merundum. Realitinya berlaku.

Mengambilkira pengalaman di dalam organisasi yang mana saya terlibat secara terus maka kesimpulan yang dapat diambil ialah amat payah untuk mencari pemimpin yang berkaliber dan mengambil kira kepentingan orang bawahan melebihi kepentingan dirinya. Cakap tak serupa bikin. Semuanya bagus tetapi realiti yang berlaku adalah sebaliknya.

Pemimpin yang berjaya adalah pemimpin yang mempunyai jaringan kenalan (network) yang bagus dan menggunakan jaringan tersebut untuk kejayaan organisasi. Dikenali dan disegani bukan ditakuti. Dihormati orang bawahan sewaktu ada dan disukai apabila tiada. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang dirindui sewaktu ketiadaannya. Semua seronok bekerja dan melakukan tugasan serta mengambil kira pandangan dan pendapat orang bawahan kerana tanpa pengikut yang bagus maka tiadalah pemimpin yang bagus.

Pemimpin yang baik bukan bersikap diktator atau kapitalisme tetapi yang mengamalkan amalan syura dan perbincangan. Keputusan melalui perbincangan melalui orang sepatutnya akan menghasilkan keputusan yang terbaik khasnya untuk organisasi. Tidak semestinya orang yang berkerusi tinggi mempunyai idea yang menarik kerana kekadang keempukan kerusi yang diduduki akan menjadikannya selesa dan ditenggelami keempukan kerusi tersebut.

Pemimpin juga harus berpegang kepada kata-kata : “walaupun aku cerdik tetapi orang lain tidak bodoh!”. Kita adalah pemimpin dan pemimpin yang baik ialah pemimpin yang boleh membawa diri sendiri mengikut landasan yang telah diamanahkan oleh Allah swt.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati,
Padahal kamulah org-orang yang paling tinggi darjatnya,
jika kamu orang-orang yang beriman."
Surah Al-Imran ayat: 139

Monday, June 9, 2008

KITA PEMIMPIN...

Kita menjadi keliru kerana apabila berlaku sesuatu isu atau masalah maka yang akan disalahkan adalah pemimpin. Pemimpin yang dimaksudkan adalah pemimpin negara, pemimpin masyarakat atau mereka yang berjawatan seperti pengerusi, CEO, pengarah, ketua atau yang sewaktu dengannya. Kita mengambil sikap “kuman di seberang laut nampak tetapi gajah di depan mata tidak nampak”. Perkara berkaitan pemimpin ini sebenarnya samada disedari atau tidak merupakan sesuatu yang menentukan halatuju dan destinasi sesebuah organisasi yang dipimpin.

Apakah kita membaca kitab suci Al-Quran tanpa kita mengambil pengajaran daripada setiap ayat yang diturunkan oleh Allah swt. Setiap baris ayat mempunyai makna yang harus difahami sebaiknya oleh umat Muslim. Maksud firman Allah swt : Setiap manusia dilahirkan sebagai khalifah dan setiap manusi bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukannya”. Ayat ini memberi maksud bahawa setiap manusia yang dilahirkan ke atas dunia ini merupakan seorang pemimpin. Paling mudah berkenaan pemimpin dan kepemimpinan ini adalah ayah dan ibu menjadi pemimpin kepada sesebuah keluarga, abang dan kakak menjadi pemimpin kepada adik-adik dan begitulah seterusnya. Yang paling utama adalah kita menjadi pemimpin kepada diri kita sendiri.

Justeru, menyalahkan pemimpin bermaksud kita menyalahkan diri kita sendiri. Menyalahkan orang lain adalah suatu perkara yang mudah. Tetapi melihat, mengaku dan membetulkan kelemahan diri sendiri adalah suatu perkara yang paling mulia di sisi Allah swt. Kita berhak membetul dan menegur kesilapan yang dilakukan oleh orang lain dengan sebaiknya sekiranya ia bertentangan dengan landasan syariat dan memudaratkan masyarakat.

Setiap pemimpin yang dilantik memerlukan pengikut. Allah swt telah memerintahkan kita sembahyang berjemaah sekiranya kita melebihi seorang. Dalam solat berjemaah, kita ada imam dan makmun dan setiap makmun wajib mengikut imam dan dibenarkan menegur makmun sekiranya ada kesilapan. Begitulah hebatnya apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Menjadi pemimpin bukan boleh memerintah sesuka hati dan bebas melakukan sesuatu perkara tanpa perbincangan dengan para pengikut. Rasulallah saw yang hebat pun melalui majlis syura apabila membuat sesuatu keputusan. Inikan kita hamba yang serba kekurangan ini.

Ingat dan sedarlah bahawa kita semua adalah pemimpin. Jawatan pemimpin adalah suatu tanggungjawab dan amanah. Jangan berebut jawatan tersebut seandainya kemampuan diri tidak mampu untuk memikul bebanan amanah. Bersatu membentuk peribadi diri, keluarga, masyarakat dan negara kerana kita adalah pemimpin. Tanpa kita membetulkan yang di bawah, mustahil untuk kita membetulkan yang di atas dan begitulah sebaliknya. Karismatik harus dibentuk selaras dengan nilai kepimpinan. Belajarlah untuk menambah pengetahuan supaya kita tidak ketinggalan atau menjadi pemimpin yang gagal terutama dalam memimpin diri. Ayuh…kita pemimpin. Kita betulkan yang tak betul dan kita teruskan yang telah betul!

Thursday, June 5, 2008

MINYAK VS PEMIMPIN

Harga minyak tidak pernah turun. Naik dan akan naik. Kenaikan harga minyak semalam sebanyak RM0.78 sen bagi petrol apakah sudah difikir-fikirkan adalah jalan terbaik bagi rakyat khasnya orang Melayu yang purata isi pendapatannya adalah yang ketiga selepas kaum Cina dan India. Saya melihat daripada pelbagai pandangan terutama sudut politik. Saya ternampak ada "hidden agenda" disebalik kenaikan harga minyak ini.

Pemimpin sudah tidak mementingkan hak rakyat kerana gagasan politik adalah yang utama pada mereka sehingga melebihi syariat agama. Sekularisme yang akhir-akhir ini jelas terbentang oleh para pemimpin kita. Selepas kemasukan Ezzam sebagai "test market" kembali ke pangkuan UMNO, apakah selepas ini akan kembali pula Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) ke pangkuan UMNO seterusnya melengkapkan cita-cita beliau untuk menjadi Perdana Menteri. Isu kenaikan harga minyak akan me"lari'kan minda rakyat terhadap isu-isu panas yang berlaku dalam negara. Selagi rakyat mengisi minyak maka selagi itulah suhu hati kita akan naik mendadak dan kita akan mengomel sendirian, bersembang dengan kawan sehingga ke bilik tidur. Apa yang bermain di fikiran adalah kenaikan harga minyak. Kita akan lupa pergolakan poltik yang berlaku, isu Altanthuya, klip video V.K Lingam, kenaikan harga barangan dan sebagainya. Mana satukah isu yang cuba dilarikan atau sedang berlaku juga isu-isu lain yang hanya sekadar berlalu di minda rakyat.

Petronas membuat keuntungan berbillion ringgit tetapi harga minyak tetap naik. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang menjaga keperluan rakyat sebagai tongak utama dalam fikirannya. Siapakah pemimpin ini, tepuk dada tanya selera kerana apabila duduk semeja dengan mereka yang berjawatan tinggi pun mereka masih tidak mengaku mereka ini pemimpin. Allah elah meningatkan kita bahawa setiap manusia itu adalah pemimpin dan yang paling utama adalah memimpin diri ke jalan yang diredhai Allah. Kemudian kita menjadi pemimpin kepada keluarga, organisasi, masyarakat, negeri dan sebagainya. Kita adalah pemimpin dan kita harus memimpin diri dan pengikut mengikut landasan syariat Islam.

Dalam meniti arus kehidupan sementara di dunia ini, kita takut bala daripada Allah swt akan diturunkan kepada kita sebagai balasan terhadap apa yang telah dilakukan. Ingatlah bahawa kuasa Alah Yang Maha Agung mengatasi segala-galanya. DIA menjadikan langit dan bumi serta manusia sebagai khalifah di dunia ini.

Minyak hanyalah sebagai medium dan ujian untuk menguji kekuatan diri dan iman. "Emas Hitam" yang disebut dalam al-Quran ini sebagai tanda semakin hampirnya hari kiamat.

Harga minyak sepanjang zaman.. (dalam masa 18 tahun - sejak 1990)

Zaman Tun Dr. Mahathir

sebelum 90 - RM 0.89
tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)
01/10/2000 - RM 1.20 ( kenaikan RM 0.10)
20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)
01/05/2002 - RM 1.32 ( kenaikan RM 0.02)
31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
01/03/2003 - RM 1.35 ( kenaikan RM 0.02)

Zaman Dato' Seri ABdullah Ahmad Badawi
01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)
01/10/2004 - RM 1.42 ( kenaikan RM 0.05)
05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)
31/07/2005 - RM 1.62 ( kenaikan RM 0.10)
28/02/2006 - RM 1.92 (kenaikan RM 0.30)
05/06/2008 - RM 2.70 (kenaikan RM 0.78)

MINYAK OH MINYAK

Hari ini 4 Jun kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak RM0.68 sen dan diesel sebanyak RM1. Saya di Pulau Pinang bagi melaksanakan beberapa projek yang dirancang. Terkejut juga dengan pengumuman ini walaupun daripada pagi tadi saya mendapat beberapa sms daripada kawan-kawan yang mengumumkan berkenaan perkara ini. Jalan sesak akibat ramai yang beratur panjang bagi mengisi petrol. Jadual kami untuk berjmpa Tuan Hasnan, Pengarah Perhilitan Negeri tertangguh hampir satu jam disebabkan perkara ini. Mujurlah beliau memahami apa berlaku kerana bukan hanya di Pulau Pinang yang sesak tetapi hampir seluruh stesen minyak di seluruh negara. Sungguh, kenaikan ini adalah suatu bala kepada rakyat!

Dunia kian menghampiri ke penghujungnya yang mana kenaikan ini akan mengakibatkan kenaikan harga barang yang orang yang kaya akan bertambah kaya dan rakyat akan terus melarat. Ramai yang mengeluh dan gelisah tetapi apa yang berlaku harus diterima kerana kehidupan harus diteruskan. Cukupkah gaji yang diterima bagi menampung kenaikan ini?