Monday, September 1, 2008

MERDEKA TANAHAIRKU

Hari ini negara kita yang tercinta menyambut hari kemerdekaan yang ke-51. Kemerdekaan yang harus dikenang dan sejarah kemerdekaan yang harus diingati di jiwa setiap warganegara Malaysia, tanahair tercinta. Sejarah merupakan pengajaran dan tauladan yang harus dikenang dan dijadikan panduan. Dalam mengharungi zaman sebelum kemerdekaan, para pemimpin kita telah berjuang bermatian demi pertiwi tercinta ini.

Merdeka diseparuh abad terasa hambar. Jalur Gemilang tidak banyak yang dikibarkan. Sambutannya amat dingin. Apakah kerana tiadanya bendera percuma yang diedarkan atau semangat kemerdekaan yang kian hilang dijiwa merdeka warganegara Malaysia? Sesuatu yang harus dikaji secara mendalam oleh para pemimpin negara.

Semalam saya menyambut detik jam 12 malam di Auto City, Juru, Pulau Pinang bersama sahabat-sahabat daripada Persatuan Gusti Lengan Negeri Selangor. Kami dijemput oleh pihak penganjur untuk mengadakan demonstrasi dan menganjurkan pertandingan gusti lengan sementara menunggu detik bersejarah, hari kemerdekaan tanahair. Menyambut detik kemerdekaan di bandar tersebut seperti kami berada di Hong Kong. Konsert yang diadakan menghidangkan artis dari Hong Kong dan semua lagu yang dinyanyikan adalah dalam Bahasa Mandarin dan Kantonis. Apa yang amat mengecewakan ialah tiada sepatah pun Bahasa Melayu digunakan kecuali ucapan MERDEKA oleh deejay dan artis sewaktu tepat jam 12.00 tengah malam yang disusuli dengan letupan bunga api. Tiada nyanyian lagu kebangsaan berkumandang.

Saya sebak, sedih dan sayu sendiri. Apakah dalam kita melayari usia hampir separuh abad maka kesudahan begini yang harus diterima oleh negara bernama, Malaysia atau nama lamanya Tanah Melayu. Para pemimpin Melayu khasnya harus memandang serius perkara ini kerana seandainya penerapan cintakan negara yang lemah berterusan maka tidak mustahil selepas ini tiada lagi ingatan kita pada 31 Ogos setiap tahun kecuali di media massa sahaja. Budaya dan semangat cintakan tanahair yang kian terhapus....

Wahai anak bangsaku...Bangkit demi mempertahankan pertiwi tercinta atau biarkan saja ia berlalu dan kita menjadi peminta sedekah di tanah sendiri. Orang lain menjadi taukeh dan kita terus menjadi taugeh...Salah siapakah dalam hal ini? Tepuk dada tanya selera!

No comments: