Showing posts with label Ingatan Buat Diri. Show all posts
Showing posts with label Ingatan Buat Diri. Show all posts

Wednesday, September 24, 2008

KITA YANG PEMURAH

Ramadhan bulan yang mulia. Petang tadi saya dijemput ke Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim anjuran UBSA. Ramai kawan-kawan yang menderma. Alhamdulillah. Sikap pemurah yang harus diteruskan ke bulan-bulan yang lain. Biarlah berpanjangan. Kita mempunyai rezeki yang lebih maka dapatlah kita menderma. Ekonomi amat penting.

Orang Melayu amat terkenal dengan sikap dermawan, baik hati dan toleransi. Justeru, kembali kepada sejarah tanahair bahawa orang Melayu ini boleh berkongsi dengan bangsa-bangsa lain di bumi sendiri. Kita hanya ada kuasa politik yang kini kita juga akan kongsikan dengan orang lain. Setiap duit gaji atau apa yang kita dapat pun kita berikan kepada bangsa-bangsa lain. Cuba renung dan fikirkan bersama. Kita membeli makanan daripada Restoran Mamak yang bekas dan bahan-bahan masakannya dibeli daripada bangsa lain. Kita mandi menggunakan sabun, shampoo dan baldi yang dibeli daripada bangsa lain. Kita memakai pakaian, selipar dan lain-lain kelengkapan yang dibeli daripada bangsa lain. Bahkan boleh dikira tidak sampai 10 peratus pun kegunaan harian kita yang kita beli daripada orang Melayu sendiri. Mengapakah perkara ini terajdi? Jawapannya mudah sahaja. Orang Melayu itu pemurah dan dermawan.

Oleh kerana pemurahnya kita itulah maka kita senang diperkotak-katikkan oleh orang lain. Wang bukan segalanya tetapi wang boleh mengubah segalanya. Dalam menjangkau usia kemerdekaan negara melepasi separuh abad, kekuatan ekonomi orang Melayu hanya berlegar antara 16 sehingga 19 peratus sahaja. Bakinya dibolot orang lain. Salah siapakah ini? Kita sering menunding jari kepada pemimpin sedangkan kita jarang melihat kesalahan diri sendiri. Sebenarnya dalam kehidupan, cara terbaik adalah mengubah diri sendiri. Muhasabah dan lihat jauh ke dalam diri barulah akan kita temui apa yang sebenarnya terjadi. Kita selesa dengan apa yang ada. Jawatan tinggi dan pangkat. Kita leka, alpa dan hilang kepercayaan kepada bangsa sendiri. Perkara ini pernah diutarakan oleh organisasi tempat saya pernah berkhidmat dahulu yang mana Ketua Pegawai EKsekutifnya pernah mencadangkan untuk mengambil pegawai bangsa lain sebagai contoh kepada pekerja yang kesemuanya berbangsa Melayu. Kami para pekerja bawahan mengucap panjang dengan cadangan ini. Walaupun ia sekadar cadangan namun pada pandangan peribadi saya sebenarnya ia cukup memeritkan seolah-olah bangsa Melayu sudah hilang semangat dan disiplin kerjanya. Terfikir di hati kami, "hina sangatkah orang Melayu?"

Pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai subsidi, bantuan kewangan dan sebagainya. Dalam hal ini semua bersalah kerana tidak pernah bermuhasabah. Pemimpin, pegawai kerajaan, pihak yang diamanahkan dan rakyat. Cara terbaik bersamalah kita menunaikan tanggungjawab sebaiknya bagi menguatkan ekonomi bangsa dan ianya harus dilakukan oleh semua peringkat dari atas ke bawah dan bawah ke atas. Bercakap, bersembang dan duduk di atas kerusi empuk tanpa usaha tidak akan membuat apa-apa kejayaan dan mengubah pemikiran bangsa. Kita boleh bercakap menggunakan ayat Quran, Hadith dan berfalsafah namun hanya sekadar di bibir mulut. Tanpa praktikal ianya hanya sekadar angan-angan. Jangan takut untuk gagal. Jangan takut pada bayang-bayang sendiri. Ayuh kita sama berjihad ekonomi demi agama, bangsa dan negara. Berubahlah sebelum kita merempat di bumi sendiri kerana salah dan silap kita sendiri. Kita yang pemurah!

Monday, September 22, 2008

KITA ADA SEMANGAT

Dalam perjalanan dari Merlimau, Melaka ke Shah Alam bersama keluarga pada malam tadi, pelbagai pemandangan, sikap dan idea yang lahir dalam fikiran. Sikap segelintir pemandu yang memandu laju dan memotong secara zip-zap amat membahayakan. Saya terfikir, jikalau mereka tidak sayangkan nyawa mereka sekurang-kurangnya ingatlah tentang orang lain. Jikalau berlakunya kemalangan bukan hanya melibatkan mereka tetapi juga akan melibatkan orang lain. Dalam keghairahan menyambut aldilfitri yang bakal menjelang, pelbagai perkara yang tidak diundang pasti berlaku jikalau semua orang mementingkan diri sendiri. Kita ada semangat tetapi semangat yang membahayakan diri sendiri dan orang lain. Tidakkah itu sikap yang bodoh namanya!

Dalam fikiran saya juga terlintas berkenaan rancangan perniagaan. Mengapakah orang Melayu kurang berjaya dalam perniagaan yang dijalankan? Jawapannya adalah sebab sikap orang Melayu sendiri yang kurang membantu. Ini pengalaman saya sendiri. Sikap yang harus diubah. Dan saya terfikir mengenai rancangan untuk mengubah sikap ini ke arah jihad ekonomi. Caranya, saya mesti mengubah diri, keluarga dan komuniti saya. Bukankah kita mudah berniaga dalam komuniti kita? Dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini, saya gembira sekali kerana ramai kawan-kawan yang berniaga seperti di bazar Ramadhan, berniaga pakaian dan kasut juga berniaga benda yang dilarang iaitu mercun. Yang pasti mengapakah sikap keusahawanan ini tidak diteruskan ke bulan-bulan yang lain..

Kita ada semangat dan semangat harus ditiup sentiasa supaya ianya akan terus segar dan subur dijiwa. Semangat yang ada harus dikongsi dan digilap bersama. Komuniti adalah wadah terbaik kita memulakannya. Yang pasti dalam melaksanakan sesuatu, semangat mesti kuat. Kita dikurniakan oleh Allah swt semangat membara. Lihat cermin dan jeritkan "aku boleh...". Memang kita boleh. Orang Melayu boleh. Ibarat kata pepatah, "bersatu teguh bercerai kita roboh". Ayuh, lupakan politik seketika, kita sama majukan ekonomi kita dahulu.

Wednesday, August 6, 2008

CAKAP ITU SENANG!

Realiti apa yang berlaku. Cakap adalah sesuatu yang senang manakala melaksanakannya adalah sesuatu yang amat payah. Ahli politik dan penceramah boleh bercakap sehingga sehari suntuk tanpa berhenti tetapi bagaimana perlaksanaannya. Negara kita mencapai kemerdekaan melebihi 50 tahun iaitu usia warga emas. Namun, apa yang paling malangnya walau pelbagai usaha dan strategi yang telah digunakan namun hakikat yang pahit untuk ditelan adalah kita masih gagal mencapai sasaran 30% dalam bidang ekonomi. Mengapakah perkara ini masih berlaku sedangkan pemimpin utama, pegawai tinggi kerajaan, GLC dipegang oleh bangsa Melayu?

Inilah yang dikatakan cakap senang. Kerajaan boleh menghabiskan berapa banyak duit untuk berkempen. Program-program keusahawanan dijalankan sebaiknya namun hasilnya tetap tidak memberangsangkan. Yang dipersalahkan tetap orang bawahan. Bukan berputus asa dalam memperjuangkan ekonomi orang Melayu tetapi semakin masuk ke dalam maka makin banyak lompang dan aib yang akan kita temui. Siapakah yang akan menampal lubang-lubang yang terbuka ini? Apakah kita sebagai rakyat biasa mampu untuk menampalnya? Jawapannya mudah. Pemimpin di atas sedar apa yang berlaku namun hanya sekadar melihat. Tanggngjawab ini besar dan berat. Pihak yang dipertanggungjawabkan harus bersungguh-sungguh dalam memastikan hasrat murni ini akan tercapai.

Walau berapa banyak pun program yang dijalankan tetap sumber utamanya dipegang oleh bangsa lain maka keputusannya tetap tidak akan berubah walau sehingga kiamat pun. Pemimpin politik dan pegawai atasan harus menanam semangat "jihad ekonomi" dalam diri dan jiwa mereka. Namun kalau hanya ada semangat tetapi perlaksanaan dalam kehidupan seharian tetap sama maka semangat hanya akan tinggal semangat. Ketirisan yang berlaku bukan disebabkan oleh rakyat tetapi oleh pemimpin. Ini hakikatnya yang patut diterima walau pahit untuk ditelan. Ayuh, berubahlah!

Saturday, May 24, 2008

MARAH : SUATU UJIAN


Marah adalah perasaan yang pasti ada pada setiap insan dan setiap orang pasti mengalaminya. Marah adalah suatu ujian menguji kekuatan iman seorang manusia. Rupa ketika marah lebih buruk daripada perlakuan haiwan. IMAM Syafie ada menegaskan: "Marah adalah satu di antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya."Apabila perasaan marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:

1. Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita. Allah memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.
2. Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya manusia yang hina.

3. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

4. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin membawa kepada permusuhan dan balas dendam daripada orang yang kita marahi.

5. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan marah.

6. Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca isti'azah kerana marah itu datang daripada syaitan.

7. Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

8. Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara seperti di atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan marah apabila bangkit dari tidur nanti.

9. Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

10. Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Begitu juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka dimarahi, sebalik ditegur secara baik.

11. Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita berdiri, duduklah. Apabila duduk, bersandarlah. Insya-Allah marah akan mula reda.

Tiada guna ada mata kalau tak dapat melihat.Tiada guna ada hati kalau tak tahu menilai. Tuhan Yang Maha Agung..jadikanlah hamba-Mu ini manusia yang berfikir dan menggunakan kelebihan yang dikurniakan untuk kebaikan agama dan bangsa.