Ramadhan bulan yang mulia. Petang tadi saya dijemput ke Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim anjuran UBSA. Ramai kawan-kawan yang menderma. Alhamdulillah. Sikap pemurah yang harus diteruskan ke bulan-bulan yang lain. Biarlah berpanjangan. Kita mempunyai rezeki yang lebih maka dapatlah kita menderma. Ekonomi amat penting.Orang Melayu amat terkenal dengan sikap dermawan, baik hati dan toleransi. Justeru, kembali kepada sejarah tanahair bahawa orang Melayu ini boleh berkongsi dengan bangsa-bangsa lain di bumi sendiri. Kita hanya ada kuasa politik yang kini kita juga akan kongsikan dengan orang lain. Setiap duit gaji atau apa yang kita dapat pun kita berikan kepada bangsa-bangsa lain. Cuba renung dan fikirkan bersama. Kita membeli makanan daripada Restoran Mamak yang bekas dan bahan-bahan masakannya dibeli daripada bangsa lain. Kita mandi menggunakan sabun, shampoo dan baldi yang dibeli daripada bangsa lain. Kita memakai pakaian, selipar dan lain-lain kelengkapan yang dibeli daripada bangsa lain. Bahkan boleh dikira tidak sampai 10 peratus pun kegunaan harian kita yang kita beli daripada orang Melayu sendiri. Mengapakah perkara ini terajdi? Jawapannya mudah sahaja. Orang Melayu itu pemurah dan dermawan.
Oleh kerana pemurahnya kita itulah maka kita senang diperkotak-katikkan oleh orang lain. Wang bukan segalanya tetapi wang boleh mengubah segalanya. Dalam menjangkau usia kemerdekaan negara melepasi separuh abad, kekuatan ekonomi orang Melayu hanya berlegar antara 16 sehingga 19 peratus sahaja. Bakinya dibolot orang lain. Salah siapakah ini? Kita sering menunding jari kepada pemimpin sedangkan kita jarang melihat kesalahan diri sendiri. Sebenarnya dalam kehidupan, cara terbaik adalah mengubah diri sendiri. Muhasabah dan lihat jauh ke dalam diri barulah akan kita temui apa yang sebenarnya terjadi. Kita selesa dengan apa yang ada. Jawatan tinggi dan pangkat. Kita leka, alpa dan hilang kepercayaan kepada bangsa sendiri. Perkara ini pernah diutarakan oleh organisasi tempat saya pernah berkhidmat dahulu yang mana Ketua Pegawai EKsekutifnya pernah mencadangkan untuk mengambil pegawai bangsa lain sebagai contoh kepada pekerja yang kesemuanya berbangsa Melayu. Kami para pekerja bawahan mengucap panjang dengan cadangan ini. Walaupun ia sekadar cadangan namun pada pandangan peribadi saya sebenarnya ia cukup memeritkan seolah-olah bangsa Melayu sudah hilang semangat dan disiplin kerjanya. Terfikir di hati kami, "hina sangatkah orang Melayu?"
Pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai subsidi, bantuan kewangan dan sebagainya. Dalam hal ini semua bersalah kerana tidak pernah bermuhasabah. Pemimpin, pegawai kerajaan, pihak yang diamanahkan dan rakyat. Cara terbaik bersamalah kita menunaikan tanggungjawab sebaiknya bagi menguatkan ekonomi bangsa dan ianya harus dilakukan oleh semua peringkat dari atas ke bawah dan bawah ke atas. Bercakap, bersembang dan duduk di atas kerusi empuk tanpa usaha tidak akan membuat apa-apa kejayaan dan mengubah pemikiran bangsa. Kita boleh bercakap menggunakan ayat Quran, Hadith dan berfalsafah namun hanya sekadar di bibir mulut. Tanpa praktikal ianya hanya sekadar angan-angan. Jangan takut untuk gagal. Jangan takut pada bayang-bayang sendiri. Ayuh kita sama berjihad ekonomi demi agama, bangsa dan negara. Berubahlah sebelum kita merempat di bumi sendiri kerana salah dan silap kita sendiri. Kita yang pemurah!



No comments:
Post a Comment