Wednesday, August 27, 2008

KITA DI PERMATANG

Kita di permatang sebelum ke seberang. Dunia hanya persinggahan sementara. Akhirat abadi selamanya.

Akhirnya segala penantian dan debaran sudah terjawab. Keputusan rasmi SPR yang diterima adalah Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menang sebanyak 31,195 undi manakala calon BN mendapat 15,524 undi dan calon AKIM hanya mendapat 92 undi dan hilang wang pertaruhan. Majoriti undi yang dimenangi Anwar adalah 15,671 undi. Tahniah buat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan jentera Pakatan Rakyat kerana segala penat-lelah telah berjaya. Buat BN dan AKIM, adat dalam pilihanraya ialah kalah atau menang. Tiada keputusan seri. Itu realiti yang harus diterima. Menang dan kalah adat bertanding. Yang kalah kena terima dengan hati yang terbuka dan redha atas apa yang berlaku. Rakyat kini matang dan bijak membuat keputusan berbanding zaman dahulu yang hanya ada TV dan suratkhabar. Kini, internet memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan informasi kepada orang ramai. Siapa yang bijak mengambil peluang maka sudah tentu kemenangan di tangan.

Apakah senario politik tanahair akan berubah wajah atau akan terus dicemari dengan pelbagai fitnah yang hanya membingung dan menyusahkan rakyat. Ingatlah bahawa setiap amanah dan tanggungjawab yang dipegang akan dipersoalkan oleh Allah swt. Jangan dicari kemegahan dunia yang sementara dan akhirnya akan merana di akhirat kelak.

Kepentingan agama dan bangsa jangan digadai demi mencapai cita-cita kerana kemelut yang berlaku kini semakin kritikal sehingga membawa kepada pertelingkahan ulama. Justeru, cara terbaik adalah duduk semeja dan selesaikan secara bijaksana dengan mengambil kira pandangan semua dan bukannya keputusan berlandaskan kepentingan politik individu tertentu. Jangan agama Islam dipandang remeh oleh agama lain hanya kerana kita berbeza pendapat yang setiap hari diwar-warkan di dada media. Semua pihak harus prihatin dalam menangani kemelut yang melanda demi agama, bangsa dan negara kerana akhirnya yang rugi adalah agama dan bangsa kita. Tanggungjawab ini harus dipikul oleh semua pihak khasnya golongan pemimpin dan alim-ulama dalam menaikkan imej Islam yang kian pudar sinarnya. Bersatulah demi kepentingan agama. Carilah titik persamaan bukan mencari titik perbezaan yang akhirnya akan memisahkan kita sendiri. Bersatulah!

Kepada mereka yang bergelar pemimpin dan bercita-cita untuk menjadi pemimpin, lihatlah kredibiliti dan tanggungjawab bukan hanya mencari kemasyhuran. Kerana kemasyhuran hanya bersifat seketika dalam meniti kehidupan menuju perhentian abadi. Yang utama adalah kepentingan rakyat dan rakyat adalah kita maka kita yang harus membuat pilihan. Tepuk dada, tanya selera!

Thursday, August 21, 2008

TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA

Orang Melayu terkenal dengan sikap lemah-lembut, toleransi, rajin dan menghormati tetamu. Orang Melayu kaya dengan nilai murni dan adat susila yang tinggi. Orang Melayu itu peramah, bersopan dan hidup bermuafakat. Itu ciri-ciri utama orang Melayu dan yang paling penting adalah orang Melayu itu beragama Islam.

Namun, itu adalah fakta dan realitinya suati masa dahulu. Dalam menghampiri ambang kemerdekaan negara yang melebihi setengah abad, ciri-ciri itu hilang ditelan zaman dan arus globalisasi. Gelombang dan nilai kebaratan kian tinggi bercambah dalam masyarakat Melayu. Payah untuk kita mencari anak-anak yang namanya Ahmad, Musa, Nordin, Fatimah, Rogayah, Salmah dan lain-lainnya yang sinonim dengan nama kemelayuan. Hakisan nama ini berlalu bersama sikap dan moral anak-anak yang kian tenggelam di arus zaman. Sikap individualistik juga semakin tebal di dalam dada masyarakat hari ini.

Kegusaran ini harus kita sama menyelesaikannya bagi memastikan warisan nenek-moyang bangsa Melayu terus subur sepanjang zaman. Kata Laksamana Hang Tuah, "Takkan Melayu Hilang Di Dunia", kerana Melayu masih ada cuma budayanya kian pupus ditelan arus masa. Justeru, kitalah pelapis yang harus mempertahankannya.

Monday, August 11, 2008

Kita Mangsa Keadaan

















Cerita lama berulang lagi
Walau kebenaran seakan samar
Namun sakitnya rakyat yang rasa
Mengapa dalam kritikal yang berlarutan
Golongan bawahan menjadi mangsa
Ceritera picisan yang seolah tidak berepisod
Semua diragui
Kebenaran kian tenggelam di arus zaman...

Kerana tamakkan kuasa
Kita hilang maruah dan susila
Gadaikan apa yang ada
Tanah tinggal sekangkang kera
Habis didagang pada yang lain
Hak dinafikan miliknya
Kita menjadi peminta sedekah
Menagih secebis simpati
Di tanahair milik sendiri..

Sampai bila harus begini
Menjadi mangsa pada keadaan.

Tuhan Yang Maha Kuasa
Tunjukkan kebenaran
Agar kebenaran jelas terpampang
Daripada dibelenggu dunia kesamaran
Yang kian menghimpit perasaan.


1.25 pagi
Subang Perdana

Sunday, August 10, 2008

JANGAN DIJOLOK SARANG TEBUAN!

Apa yang berlaku semalam dalam forum terbuka Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) di Kuala Lumpur semoga menjadi iktibar dan pengajaran buat semua. Jangan dijolok sarang tebuan kerana kesan dan akibatnya amatlah teruk. Mereka ini (Bar Council) seolah-olah cuba "test market" dalam keadaan masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu yang kini berada dalam keadaan kucar-kacir selepas pilihanraya ke-12 yang lepas. Meraka ini ingin melihat sejauh mana tindakan umat Islam dan pemimpin politik beragama Islam khasnya UMNO dan PAS. Bar Concil kini dikuasai oleh golongan bukan Islam yang mana kebanyakannya adalah beragama Hindu dan menyokong pertubuhan Hindraf. Kini, sikap "kurang ajar" mereka kian berleluasa dek kerana sokongan khasnya daripada orang sendiri yang kononnya bersikap liberal.

Dalam isu berkaitan agama, masyarakat Islam akan bersatu tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan warna kulit. Itulah kelebihannya. Isu berkaitan agama merupakan sesuatu yang bermanfaat kepada politik. Ia boleh menjadi simbol yang menyatukan pelbagai kumpulan seagama dan pendorong kemajuan. Banyak pihak rela menyertai barisan yang berjuang untuk mengangkat kemuliaan agama. Dalam sudut yang ekstrem, ada kumpulan rela berkorban demi mempertahankan agama.

Pada masa yang sama, agama juga berupaya menjadi unsur yang membahayakan. Ia memberi identiti kepada penganut-penganutnya dan mengajar nilai-nilai yang eksklusif hanya kepada para penganutnya.

Identiti dan nilai itu membezakan mereka dengan penganut agama lain. Nilai dan identiti masing-masing sentiasa dirasakan lebih baik, dan perasaan itu berkembang menjadi satu dogma. Sebarang serangan dan kritikan terhadap identiti itu tidak dibiarkan begitu sahaja. Serangan dan kritikan tersebut lazimnya akan berbalas.

Sejak beribu-ribu tahun lalu, agama menjadi suatu kekuatan yang memberi kesan kepada tingkah laku manusia, negara dan pergolakan antarabangsa. Di banyak negara, isu agama mencetuskan manifestasi politik tertentu, telah menjatuhkan dan menaikkan pemimpin, pernah membangunkan masyarakat dan turut merosakkan bangsa.

Jika dikendalikan dengan baik, isu agama boleh menjadi simbolik keharmonian sebuah bangsa. Kalau ditangani dengan cara yang angkuh dan kasar, ia umpama minyak yang dicurahkan ke dalam api. Isu agama boleh membakar, marak apinya dapat meruntuhkan sebuah negara.

Atas kesedaran itulah isu-isu agama sentiasa perlu ditangani dengan berhati-hati. Bukan sahaja isu agama Islam, tetapi juga isu-isu agama lain. Agama adalah soal sensitif. Di negara tertentu, isu agama pernah mencetuskan perang dan membawa kemusnahan. Kita yang hidup berbilang kaum di Malaysia mungkin tidak pernah merasai pengalaman itu.

Apabila Majlis Peguam Malaysia mempertahankan forum Memeluk Islam yang diadakan semalam serta membangkitkan hak untuk membincangkan isu-isu berkaitan pertukaran agama, ia dibuat tanpa memikirkan sejarah yang pernah dilalui oleh sesetengah masyarakat dunia apabila membicarakan isu-isu agama.

Kes R. Subashini yang menjadi antara topik yang dibincangkan dalam forum itu adalah sesuatu yang menggelisahkan. Wanita beragama Hindu berkenaan berkahwin dengan lelaki bernama T. Saravanan pada tahun 2001. Sesetelah memeluk Islam pada 2006, Saravanan menukar namanya kepada Muhammad Shafi Saravanan Abdullah.

Muhammad Shafi dan Subashini mempunyai dua orang anak yang masih kecil, iaitu Dharvin Joshua, 3, dan Sharvind, 1. Muhammad Shafi mahu kedua-dua anaknya itu turut memeluk Islam bersamanya dan meminta Mahkamah Syariah membubarkan perkahwinannya. Subashini enggan membenarkannya.

Kes ini kemudian dipanjangkan kepada Mahkamah Rayuan di mana tiga orang hakim bersidang. Mahkamah itu memutuskan kes tersebut perlu dirujuk kepada Mahkamah Syariah, tetapi wanita itu tidak mahu tunduk kepada perbicaraan di Mahkamah Syariah.

Kes ini adalah antara kes-kes sensitif yang dibincangkan dalam forum awam Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur semalam, yang majlisnya terpaksa ditamatkan lebih awal kerana para penyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berdemonstrasi di luar bangunan Majlis Peguam di Jalan Lebuh Pasar Besar di ibu kota.

Tangisan dalam forum itu, Majlis Peguam turut membawa beberapa orang bukan Islam, termasuk seorang wanita berasal dari Jerman, yang memperihalkan pengalaman mereka. Dalam tangisan, hampir semuanya memberi gambaran negatif terhadap bapa, suami dan bekas suami masing-masing yang merupakan orang Islam.

Ada yang menceritakan bagaimana bapa mereka yang telah memeluk Islam kemudian meninggal dunia tetapi tetap dapat dikebumikan sebagai seorang Kristian walaupun berlaku perebutan mayat dengan jabatan agama Islam.

Sensitiviti orang Islam dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tidak diambil kira langsung oleh Majlis Peguam. Tradisi di Malaysia, iaitu seorang penganut agama lain tidak mengulas mengenai agama orang lain, tidak dihormati. Akibatnya, para penyokong NGO Islam yang berkumpul di luar bangunan Majlis Peguam sejak pukul 8 pagi menghantar mesej kepada Majlis Peguam supaya menghentikan forum itu. Jika tidak, amaran mereka, tindakan yang lebih keras akan dilakukan.

Beberapa orang pemimpin NGO Islam juga menyerbu masuk ke dalam dewan tempat forum itu diadakan. Mereka mengganggu perjalanan forum tersebut. Berlaku pertikaman lidah yang diselang seli kata-kata kesat yang menyakitkan hati.

Sebenarnya, insiden yang berlaku semalam bukan terjadi secara tiba-tiba. Asap kegelisahan telah bermula beberapa tahun lepas.

Sejak empat lima tahun kebelakangan ini, kumpulan-kumpulan Islam merasakan kedudukan Islam di Malaysia sedang dicabar oleh beberapa kumpulan agama lain yang mendapat sokongan sesetengah pertubuhan yang didominasi oleh profesional bukan Islam, termasuk yang menjadi ahli Majlis Peguam.

Salah satunya adalah usaha sistematik mereka untuk mendesak kerajaan meminda Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan mengenai kebebasan agama. Kumpulan bukan Islam yang menyokong syor pindaan itu telah mengumpulkan tandatangan para penyokong mereka menuntut Artikel 11 dipinda.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang, tiap-tiap orang di Malaysia berhak menganuti dan mengamalkan agamanya tetapi terdapat peruntukan khusus bahawa Persekutuan boleh menggunakan undang-undang untuk mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam.

Artikel inilah yang mahu dipinda. Ia mencetuskan kemarahan NGO Islam kerana kepada mereka pindaan itu akan memudahkan orang Islam dimurtadkan.

Kira-kira dua tahun lalu, pada 23 Julai 2006, ketika perdebatan kes murtad Lina Joy berada di kemuncaknya, kira-kira 8,000 aktivis Islam berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunjukkan solidariti menentang gerakan untuk meminda Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan yang berada di tengah-tengah pertembungan itu telah memilih untuk menyelesaikan isu tersebut secara berhemah dan melalui perundingan diam-diam bagi memastikan keharmonian kaum dan agama terus dipupuk di Malaysia.

Pendekatan yang kerajaan gunakan dalam menentukan ketenteraman awam tidak sekeras seperti beberapa dekad lalu. Penangkapan penghasut-penghasut tidak dibuat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tiada juga pendakwaan di bawah Akta Hasutan walaupun keselamatan awam sedang diperjudikan.

Mungkin kerana memikirkan mereka sedang melalui zaman yang lebih liberal, terdapat kumpulan bukan Islam, khususnya yang diketuai beberapa peguam, tetap memilih untuk membincangkan isu-isu agama yang sensitif secara terbuka. Forum terbaru Memeluk Islam yang dianjurkan oleh Majlis Peguam semalam adalah bukti keberanian mereka.

Sebelum ini, Majlis Peguam turut melukakan hati orang Melayu apabila ia menganjurkan forum membincangkan satu lagi isu sensitif berkaitan kontrak sosial iaitu diskusi yang menyentuh keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kepada sesetengah pegawai Majlis Peguam, perbincangan tersebut adalah hak mereka yang dijamin oleh undang-undang, tetapi orang Melayu pula merasakan kedudukan kaum pribumi itu yang diberi legitimasi dalam perlembagaan kini dipersoalkan secara terang-terangan.

Jika mereka hidup pada zaman Malaysia diancam gerakan bawah tanah pengganas komunis dan pelampau kaum pada tahun 1960-an dan 1970-an, mungkin sebahagian daripada penganjur-penganjur forum itu sudah pun ditahan di bawah ISA.

Apakah penyelesaian kepada masalah dan kecenderungan ini?

Sekumpulan peguam Islam kini menuduh Majlis Peguam sebagai anti-Islam, anti-kerajaan dan mereka sudah mula bercakap mengenai usaha menggembleng para peguam Melayu/Islam untuk mengambil alih kepimpinan badan guaman itu pada masa depan. Adakah ini jawapannya?

Adakah NGO Islam perlu bertindak balas dengan mengadakan pula diskusi 'Memeluk Kristian' atau 'Memeluk Hindu' bagi membincangkan mengenai kelemahan agama orang lain? Adakah api perlu dilawan dengan api serta keangkuhan harus ditentang dengan keangkuhan?

Adakah penyelesaiannya dengan kerajaan membiarkan sahaja perbincangan dan perdebatan terbuka seumpama itu diadakan, sambil berharap kewarasan akhirnya menjadi pertimbangan orang ramai, tidak kira Islam atau bukan Islam? Atau pada zaman ini, kerajaan masih lagi dibekalkan dengan peruntukan untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi era yang telah berubah mungkin menyebabkan kerajaan memilih untuk menjadi popular dengan tidak menggunakan kuasa-kuasa itu. Adakah meneruskan polisi itu satu opsyen atau satu kesilapan?

Dalam komennya terhadap penganjuran forum Memeluk Islam, seorang pemimpin Melayu baru-baru ini mempersoalkan adakah suatu hari nanti akan ada kumpulan bukan Melayu dan bukan Islam sanggup pula mengadakan forum-forum lain yang membincangkan isu seperti kedudukan Raja-Raja Melayu. Beliau bimbang. Respons orang Melayu terhadap diskusi seumpama itu tidak dapat dibayangkannya.

Ketika itu, jika kerajaan memilih untuk tidak bertindak, adakah penyelesaian kepada isu itu hendak dibiarkan ditangani oleh kumpulan-kumpulan NGO Melayu/Islam melalui undang-undang jalanan? Dalam insiden di ibu kota semalam, kata-kata kesat yang melukakan hati telah dihamburkan oleh segelintir aktivis Islam terhadap kumpulan minoriti. Ia boleh merosakkan imej Islam pada mata orang bukan Islam, tetapi dalam keadaan tegang, dengan emosi sudah tidak terkawal, keadaan seperti itu boleh berlaku.

Dalam isu agama yang dipolitikkan ini, beberapa pihak di Malaysia secara jelas sedang membawa soal-soal sensitif ke satu tebing yang amat berbahaya. Di bawahnya ada gaung dalam. Jika tidak dikawal, ia mungkin menjerumuskan kita semua dalam perkelahian terbuka, yang bunga-bunganya telah pun berputik semalam.

Perbuatan membahaskan isu-isu agama orang lain secara terbuka dalam forum awam kena dihentikan, lebih-lebih lagi mengambil semangat menjelang Hari Kemerdekaan ke-51 yang akan disambut 31 Ogos ini. Rakyat memerlukan kemakmuran dan pada masa yang sama jaminan keselamatan. Tidak guna kita berdegar-degar mendakwa kita menganjurkan forum-forum tertentu atas nama kebebasan dan hak asasi, tetapi implikasinya dalam jangka masa panjang membuatkan rakyat -- Islam dan bukan Islam, Melayu dan bukan Melayu -- hidup dengan rasa takut, curiga dan syak wasangka.

Wujud pertalian yang erat antara keselamatan dan isu-isu agama. Dalam konteks penganjuran forum oleh Majlis Peguam, kepimpinan badan guaman itu patut menerima hakikat bahawa ia telah melanggar garis yang sepatutnya. Banyak pihak sedang diangkutnya ke garis itu yang terletak di atas satu tebing curam.

Kepada Majlis Peguam dan para penyokongnya, usahlah atas nama hak segelintir orang, kita ketepikan keselamatan berjuta-juta rakyat Malaysia yang lain. Belajarlah daripada sejarah konflik manusia atas nama agama sejak beribu-ribu tahun lalu.

Jangan dijolok sarang tebuan!

Wednesday, August 6, 2008

CAKAP ITU SENANG!

Realiti apa yang berlaku. Cakap adalah sesuatu yang senang manakala melaksanakannya adalah sesuatu yang amat payah. Ahli politik dan penceramah boleh bercakap sehingga sehari suntuk tanpa berhenti tetapi bagaimana perlaksanaannya. Negara kita mencapai kemerdekaan melebihi 50 tahun iaitu usia warga emas. Namun, apa yang paling malangnya walau pelbagai usaha dan strategi yang telah digunakan namun hakikat yang pahit untuk ditelan adalah kita masih gagal mencapai sasaran 30% dalam bidang ekonomi. Mengapakah perkara ini masih berlaku sedangkan pemimpin utama, pegawai tinggi kerajaan, GLC dipegang oleh bangsa Melayu?

Inilah yang dikatakan cakap senang. Kerajaan boleh menghabiskan berapa banyak duit untuk berkempen. Program-program keusahawanan dijalankan sebaiknya namun hasilnya tetap tidak memberangsangkan. Yang dipersalahkan tetap orang bawahan. Bukan berputus asa dalam memperjuangkan ekonomi orang Melayu tetapi semakin masuk ke dalam maka makin banyak lompang dan aib yang akan kita temui. Siapakah yang akan menampal lubang-lubang yang terbuka ini? Apakah kita sebagai rakyat biasa mampu untuk menampalnya? Jawapannya mudah. Pemimpin di atas sedar apa yang berlaku namun hanya sekadar melihat. Tanggngjawab ini besar dan berat. Pihak yang dipertanggungjawabkan harus bersungguh-sungguh dalam memastikan hasrat murni ini akan tercapai.

Walau berapa banyak pun program yang dijalankan tetap sumber utamanya dipegang oleh bangsa lain maka keputusannya tetap tidak akan berubah walau sehingga kiamat pun. Pemimpin politik dan pegawai atasan harus menanam semangat "jihad ekonomi" dalam diri dan jiwa mereka. Namun kalau hanya ada semangat tetapi perlaksanaan dalam kehidupan seharian tetap sama maka semangat hanya akan tinggal semangat. Ketirisan yang berlaku bukan disebabkan oleh rakyat tetapi oleh pemimpin. Ini hakikatnya yang patut diterima walau pahit untuk ditelan. Ayuh, berubahlah!

Sunday, July 27, 2008

PANDANGAN TERBAIK

Kita sering dimomokkan dengan kata-kata bahawa Melayu itu malas, suka hasad dengki dan pelbagai kata-kata yang negatif lagi jelas kedengaran. Ianya seolah-olah suatu doktrin yang terus melekat di minda kita sendiri sebagai orang Melayu yang suka memperlecehkan dan tidak mempercayai bangsa sendiri. Kesannya, dalam usia kemerdekaan yang menjangkaui lebih 50 tahun, bangsa Melayu masih lagi tidak mampu mencapai 30 peratus pegangan ekonomi. Dalam hal ini semua pihak kena bertanggungjawab khasnya diri kita sendiri. Sokonglah para usahawan Melayu agar kita akan terus sejahtera di tanahair tercinta ini.
Pemimpin kita terdahulu telah banyak bertoleransi dengan bangsa-bangsa lain sehingga kekadang ada yang merugikan bangsa sendiri demi menjaga keharmonian antara kaum. Kita banyak bersikap liberal demi keharmonian negara. Akhir-akhir ini pelbagai permintaan yang kekadang menguji tahap kesabaran kita seumpama kata pepatah : sudah diberi betis, mahu peha pula.
Cukuplah kita kehilangan kuasa ekonomi, jangan sampai kita kehilangan kuasa politik pula. Semoga muzakarah antara PAS dan UMNO nanti akan memberikan sesuatu impak yang terbaik kepada agama dan bangsa. Sikap curiga harus diletakkan ke tepi agar muzakarah ini akan dapat dijalankan sebaiknya!

Friday, July 25, 2008

PERSEPSI : MUZAKARAH UMNO DAN PAS

Seminggu dua ini, media massa heboh memperkatakan tentang muzakarah UMNO dan PAS di samping isu pembelian kereta Mercedes Benz oleh kerajaan Negeri Terengganu. Pelbagai spekulasi, cerita atau propaganda berkenaan muzakarah ini. Ianya dibincangkan samada di "coffee house" hingga ke warung kopi di pedalaman. Dalam blog-blog pula, pelbagai cerita negatif dan kurang enak ditulis. Itulah kelebihan blog, anda bebas menulis berkenaan apa saja tanpa sekatan. Suatu kebebasan yang kekadang menjahanamkan agama dan bangsa!
Ada yang memandang muzakarah ini daripada sudut pandangan positif namun ramai yang memandangnya daripada pandangan negatif terutama daripada kalangan pemimpin dan pengikut Pakatan Rakyat. Sekiranya menjadi kenyataan UMNO bergabung dengan PAS maka ikatan Pakatan Rakyat akan terlerai dan mereka akan kehilangan dua negeri yang akan wujudnya kerajaan campuran iaitu Selangor dan Perak serta dua negeri iaitu Kedah dan Kelantan yang majoritinya dimenangi oleh PAS. Dalam pilihanraya, yang banyak membuat kerja-kerja bawahan (unerground work) seperti menampal poster, mengedar risalah, melobi dan sebagainya adalah ahli PAS walaupun kawasan tersebut calonnya adalah PKR, PSM atau DAP. Yang menjadi penyokong setia Pakatan Rakyat dan tidak akan goyah perjuangannya juga adalah ahli PAS. Justeru, kehilangan gabungan dengan PAS akan merugikan Pakatan Rakyat khasnya parti DAP yang majoritinya adalah kaum Cina. Silap Pakatan Rakyat adalah sikap PKR dan DAP yang seolah-olah menganak-tirikan PAS dalam banyak perkara selepas kemenangan besar mereka dalam Pilihanraya ke 12 yang lepas.

Wednesday, July 23, 2008

MASIH RAMAI YANG MEMERLUKAN

Hidup ini sangat indah andai apa yang dihajati akan termakbul. Namun kehidupan ini hanya sementara menguji keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah swt kerana destinasi abadi kita adalah di akhirat kelak. Dalam mengharungi kehidupan ini pastinya terdapat pelbagai onak, duri dan ranjau yang harus ditempuhi. Hidup seumpama roda yang berputar, sesekali di atas dan ke bawah. Begitulah seterusnya. Justeru, hidup jangan bermegah, riak dan ego dengan apa yang ada. Dalam kebahagiaan kita masih ramai insan yang kehilangan dan menagih kasih dan sayang orang tersayang...


Seketika di PERKIM yang terletak di Jalan Ipoh, KL memberikan keinsafan dan kesedaran kepada saya bahawa dalam kita bersuka-ria masih ramai insan yang berduka. Mereka ini bersusah payah kerana mencari jalan kebenaran dan hidayah Tuhan. Mereka berkorban jiwa dan raga serta keluarga kerana mendapat sinar kebenaran. Apakah kita yang dilahirkan dalam Islam ini semurni dan sesuci hati mereka yang teguh itu. Bersembang dan bercerita dengan golongan para Muallaf ini betapa sebenar teruknya kita yang dilahirkan sebagai hamba Allah swt ini semakin alpa dan leka menjaga dan mendidik agama Allah swt dan golongan mereka. Bahkan, mereka bertukar menjadi mukmin sejati selepas memeluk agama Islam. Seumpama Saidina Umar al-Khatab r.a. dan juga keteguhan iman Bilal Bin Rabbah!

Sungguh, dalam kesusahan dan kesakitan kita rupanya masih ramai yang susah dan menderita. Bantulah mereka yang memerlukan.....

Ya Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengampun, berikanlah kami hidayah dan petunjuk agar kami diberikan kesenangan dan keberkatan di dunia yang sementara ini bagi membantu mereka yang memerlukan. Janganlah dilalaikan hati-hati kami dengan kemegahan dan kemewahan dunia sehingga kami menjadi semakin jauh daripada agama-Mu.




Friday, July 4, 2008

ALLAH YANG MAHA AGUNG

Bila Allah Cepat Makbulkan Doamu,
Maka DIA Menyayangimu,
Bila DIA Lambat Makbulkan Doamu,
Maka DIA Ingin Mengujimu,
Bila DIA Tidak Makbulkan Doamu,
Maka Dia Merancang Sesuatu Yang lebih Baik Untukmu.
Oleh itu,
Sentiasalah Bersangka Baik Pada ALLAH Dalam Apa Jua Keadaan Pun...
Kerana Kasih Sayang ALLAH Itu Mendahului KemurkaanNya. ."