Monday, March 30, 2009

BERUBAH ATAU DIUBAH

Persidangan UMNO telah berlalu dan keputusannya sudah diketahui seantero dunia. Pelbagai taktik, strategi dan teknik digunakan. Adat dalam pertandingan, ada kalah dan ada yang menang. Yang kalah kena menerima dengan hati yang terbuka. Buat "brainstorming" dan muhasabah diri bukan melihat kesalahan orang lain. Jangan kita menjadi seperti pepatah Melayu yang berbunyi ; "yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu" atau 'menang sorak kampung tergadai".

Semuanya berada dalam satu kapal dan janganlah disebabkan kekalahan maka ada yang akan menebuk kapal supaya air masuk ke dalam kapal yang akhinya akan menenggelamkan kapal tersebut. Tenangkan fikiran dan rehatkan minda. Gunakanlah istilah ; "biduk lalu kiambang bertaut" atau "carik-carik bulu ayam, lama-lama betaut juga" kerana cabaran yang masih menunggu ternyata besar. Jangan rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi. Kota apa yang dikata. Para pemimpin jangan hanya beretorik. Masa orang lain bercakap pandai tetapi apabila kena batang hidung sendiri lain pula jadinya. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-bersenang kemudian dan bukannya bersenang selalu. Selesa dengan apa yang ada. Masa masih ada. Peluang masih terbuka. Air dicincang takkan putus cuma hati kena ikhlas dalam perjuangan. Bila tiada keikhlasan dalam perjuangan maka itulah timbulnya natijah lompat parti, perletakan jawatan dan pelbagai masalah lagi kepada UMNO sendiri.

Ingatlah bahawa UMNO lemah bukan kerana kekuatan pembangkang. UMNO lemah angkara masalah dalaman dan orang UMNO sendiri. Ini realiti dan hakikat yang harus diterima. Jadikan Pilihanraya Umum yang ke-12 tempohari sebagai iktibar bahawa rakyat semakin tidak menyenangi parti UMNO..Justeru, berubah atau tunggulah masa saatnya Malaikatulmaut datang menjemput UMNO!

Friday, March 20, 2009

PERPADUAN DAN PEKUNG YANG TERBUKA

Menjelang Pemilihan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung tidak lama lagi, pelbagai isu dan adegan yang berlaku. Budaya "cah keting" seolah-olah sudah sebati dengan UMNO. Sebenarnya bukan UMNO sahaja yang ada budaya tersebut malah parti lain juga sama cuma pekung UMNO banyak yang didedahkan media berbanding parti lain khasnya pembangkang. Mungkin orang UMNO lebih suka membuka pekung di dada. Bila pekung sudah terbuka maka kelemahan diketahui ramai. Semua orang tahu apa yang berlaku samada luaran atau dalaman. Justeru itu adalah antara punca kekalahan dalam PRU-12 yang lepas. Suka saya memetik tulisan Tsu Szu dalam bukunya,"The Art of War", yang bermaksud musuh akan senang dikalahkan jika ketahui kelemahannya. Buku ini adalah buku wajib yang dibaca oleh para pemimpin Cina khasnya samada dalam bidang politik, ekonomi dan sebagainya.

Bukankah UMNO dan PAS sama sahaja dari sudut perjuangannya cuma mungkin ideologi yang sedikit berbeza bagi memenangi hati rakyat. PAS dulu pun berasal daripada serpihan UMNO. Sama juga macam orang Melayu dalam PKR. Usul kerajaan campuran antara UMNO dan PAS hendaklah direalisasikan demi perpaduan bangsa Melayu dalam kemelut politik yang kian parah ini. Saya melihat UMNO dan PAS berada dalam keadaan yang agak parah cuma ego masing-masing yang masih meninggi. Bukankah perpaduan sesuatu yang dituntut dalam Islam? Jika semua orang Melayu berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah nescaya segala kemelut politik yang berlaku dapat diselesaikan sebaiknya. Tidak akan timbul soal ragu-meragui dan syak-wasangka kerana dalam perjuangan pasti ada halangannya. Halangan terutama oleh mereka yang mempunyai agenda peribadi apabila perpaduan ini akan menyebabkannya hilang kepentingan. Gunakan rasional dan pandang ke hadapan. Fikir dan renungkan impaknya kepada generasi anak bangsa pada masa akan datang.

Bila pekung terbuka dengan cerita yang direka-reka maka semua pemimpin Melayu akan dipandang hina. Apabila dipandang hina maka kita akan hilang permata berkualiti. Bukankah cerita Pak Kadok dan Hang Nadim harus dijadikan iktibar pada kita semua.

Cerita perpaduan Melayu ini usahlah digembar-gembur dan didedahkan. Andainya kata putus sudah dicapai. Janji dan baiah sudah diikat maka teruskanlah hasrat murni ini. Media, wartawan dan para penulis dalam keadaan yang kurang stabil ini haruslah memainkan peranan yang baik. Bukankah mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang? Dan, apakah kita lupa bahawa kita juga akan mati?

Wednesday, March 4, 2009

ANAK PEWARIS GENERASI UMMAH

Kita tinggalkan cerita politik seketika. Institusi kekeluargaan jauh lebih penting untuk sama direnungkan. Keinsafan ini timbul apabila saya ke majlis "reunion" sahabat sekolah di Shah Alam pada malam minggu yang lalu. Alhamdulillah, sahabat saya dan suaminya kini berjaya dalam perniagaan dan telah bergelar jutawan. Saya kagum melihat banglo mewah yang kebanyakkannya adalah daripada kayu cengal dan meranti yang diukir dengan kesenian Melayu. Syabas sahabat!

Kami berbincang tentang perniagaan dan keluarga masing-masing sehingga jam 2 pagi di wakaf ditemani deruan air terjun buatan. Suasana yang nyaman dan segar di awal pagi. Sebelum kami makan anak beliau yang membacakan doa. Anak beliau yang berumur 6 tahun setia bersama dan duduk dengan penuh tertib dan sopan. Apabila ditanya apakah cita-citanya, lembut menjawab :"Ustaz kemudian ingin menjadi mufti".

Saya tersenyum. Jawapan yang memang tiada langsung dalam diri anak-anak kita sekarang. Justeru, anak ibarat sehelai kain putih bersih. Kita yang mencorakkannya. Dewasa ini begitu banyak masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat kita. Ianya seumpama barah yang kian merebak. Institusi kekeluargaan kian renggang.

Keistimewaan yang bakal diperoleh apabila anak-anak kita boleh digelar kanak-kanak atau kupu-kupu syurga. Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.

Ciumlah anak kita kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak. Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak.

Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil maka dia akan turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu dengan kebaikan maka akan turut diperolehinya.

Aqra' pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan. Aqra' berkata; "Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium." Sabda Nabi SAW; "Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi."

Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat.

Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

Seorang sahabat bertanya kepada Nabi saw; "Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti? " Jawab baginda; "Berbaktilah kepada ibu bapamu." Kata lelaki itu lagi; "Ibu bapaku sudah tiada lagi." Sabda Nabi SAW; "Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu."

Ayuh kita bina kekuatan institusi keluarga kekuatan ummah. Pemimpin yang baik lahir sebagai seorang anak yang baik, menjadi pemimpin keluarga yang baik serta bergaul mesra dengan semua masyarakat. Bukannya mahu menjadi pemimpin tetapi keluarga hancur dan tidak terdidik. Marilah kita sama jaga hubungan dengan Tuhan dan hubungan dengan manusia dan jika semua orang UMNO mengamalkannya nescaya tidak akan timbul pelbagai masalah!

Thursday, February 26, 2009

INDIVIDU TERKAYA DI MALAYSIA

Berdiskusi pasal politik kita kurang memberi tumpuan kepada isu-isu lain. Di tahun kedudukan ekonomi yang kurang stabil ini, pihak kerajaan harus memainkan peranan aktif bagi menjaga keharmonian rakyat. Kegagalan mewujudkan peluang ekonomi kepada rakyat akan mengurangkan lagi jurang kepercayaan rakyat kepada kerajaan khasnya UMNO.

Melihat kepada laporan Malaysian Business, hanya 2 orang Melayu daripada 10 orang individu terkaya di Malaysia. Itupun dikedudukan yang ke-7 dan ke-10. Mungkin ini adalah hasil daripada dasar DEB yang telah diperjuangkan oleh UMNO daripada dulu berbanding sebelumnya yang langsung tiada dalam senarai. Bukan apa, apabila ramai orang Melayu yang kaya maka akan bertambah wang zakat.

Kekadang terfikir dibenak fikiran, pemimpin kerajaan, pegawai atasan kerajaan, pemimpin GLC dan tuan tanah majoritinya adalah orang Melayu. Tetapi masih gagal meningkatkan ekonomi orang Melayu yang masih berlegar sekitar 18% sahaja berbanding kaum-kaum lain. Mungkin kerana kurangnya kepercayaan terhadap bangsa sendiri, peluang yang jarang diberikan serta lebih kepada kronisme. Atau orang Melayu lebih selesa menjadi "ali baba" juga sikap selesa dan kurang mencari peluang yang masih membelenggu..Tepuk dada tanya selera!

Ayuh, bersamalah kita ubah!

--------------------------------------------------------------------------------

Malaysian Business mendapati jumlah kekayaan dimiliki 40 individu terkaya Malaysia telah susut RM75.6 bilion(43%) kepada RM96.30 bilion setakat 16 Januari 2009.

Malaysian bussiness juga mendedahkan bahawa separuh dari mereka merekodkan penurunan 50% kekayaan dengan hanya 14 orang bergelar bilionair, berbanding 19 orang billionair pada tahun lepas.

Muka baru dalam senarai 40 individu terkaya Malaysia adik beradik dari kumpulan YTL, Datuk Yeoh Soo Min dan Datuk Yeoh Soo Keng juga balu pengasas Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Goh Tong iaitu Puan Sri Lee Kim Hua.

Senarai 10 teratas dan nilai kekayaan :

1.Tan Sri Robert Kuok (Raja gula-Kuok Brothers Sdn Bhd) - RM26.6 bilion
2.T. Ananda Krishnan (Maxis) - RM20.1 bilion
3.Tan Sri Teh Hong Piow (Public bank) - RM8.15 bilion
4.Tan Sri Lee Shin Cheng (IOI Corporation) - RM7.4 bilion
5.Tan Sri Quek Leng Chan (Hong Leong Group) - RM4.5 bilion
6.Puan Sri Lee Kim Hua (Genting Group) - RM3.5 bilion
7.Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (MMC Corp. Berhad) - RM3.2 bilion
8.Tan Sri Vincent Tan (Berjaya Group) - RM1.8 bilion
9.Tan Sri Tiong Hiew King (Kumpulan Rimbunan Hijau) - RM1.6 bilion
10.Tan Sri Azman Hashim (Arab Malaysian Corp.) - RM1.4 bilion

Monday, February 23, 2009

POLITIK : SEMUANYA RETORIK

Hebat senario politik Malaysia kini. Semuanya berlagak menjadi hero seperti Superman. Oleh kerana itu, benang yang basah pun ada yang cuba ditegakkan. Orang lain semuanya salah. Yang betul hanya dia walaupun kekadang memang salah di pandangan mata apatah lagi pada hukum syariat.

Kita sebenarnya ketandusan pemimpin muda yang mempunyai karismatik dan dihormati oleh segenap masyarakat tanpa mengira fahaman, ideologi dan warna kulit. Bukan tiada cuma tidak digilap dan diberikan peluang. YB bermaksud Yang Berkhidmat. YB adalah pemimpin berkhidmat kepada masyarakat bukan tiket untuk mencari kekayaan dan kepentingan diri dan kroni. Meminjam kata-kata sahabat saya, seorang Ahli Parlimen muda sewaktu berucap dalam satu Program Amal di Pulau Pinang dulu,"YB adalah fasilitator atau pemudah cara kepada masyarakat". Saya tertarik dengan cara pakaian dan pergaulan beliau yang masih tidak berubah walaupun setelah bergelar YB. Beliau juga datang ke program hanya menaiki kereta waja yang pernah saya naiki untuk sama makan gulai kawah di Pantai Dalam dulu.

Pemimpin lama harus memberi laluan kepada pemimpin muda. Pemimpin muda pula haruslah belajar daripada pengalaman pemimpin lama dan berpengetahuan khasnya dalam pergaulan dengan masyarakat. Sikap saling menghormati haruslah disemat sebagai jati diri pemimpin masyarakat. Toleransi dan kerjasama utuh antara generasi harus diperkuatkan. Sikap ego, bangga diri dan birokrasi harus dibuang jauh. Inilah yang UMNO harus perbetulkan.

Saya tersenyum melihat Berita BERNAMA pagi tadi. Presiden MIC berkata bahawa antara syarat pemilihan calon MIC di DUN Bukit Selambau adalah calon bukan muda, harus fasih berbahasa Melayu dan boleh diterima oleh orang Melayu. Beliau sudah terlalu lama memimpin MIC. Cakap Bahasa Malaysia masih tercungap-cungap. Kalaulah itu kriterianya calon MIC yang beliau kehendaki maka nasihat saya kepada beliau, lepaskanlah jawatan kerana bukan sahaja orang Melayu bahkan orang India sendiri pun sudah menyampah dengan retorik beliau!

Tuan Guru Nik Aziz dan pemimpin PAS begitu marah sekali dengan Datuk Ibrahim Ali (Ahli Parlimen Pasir Mas) yang dikatakan lantang mengkritik parti PAS dalam sidang Parlimen. Bukankah itu retorik kerana PAS juga bersama Pakatan Rakyat memperjuangkan kebebasan bersuara?

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menyarankan agar Pak Lah tidak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Ikhlaskah saranan ini atau hanya retorik demi kepentingan parti pembangkang.

Ahli-ahli Parlimen (terutamanya Pakatan Rakyat) yang akan keluar dewan beramai-ramai apabila memprotes sesuatu isu yang diperdebatkan. Sedangkan dalam setiap ceramah atau ucapan tidak pernah diucapkan ; "saya keluar dewan kerana marah pada YB si polan". Bukankah itu retorik kepada rakyat yang memilih mereka sebagai Ahli Parlimen?

Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR yang beriya mempertahankan YB Ellizaberth Wong supaya tidak meletakkan jawatan selepas gambar terkangkangnya tersebar luas. Juga kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akibat September 16 yang diwar-warkan oleh beliau. Kini Perak huru-hara. Bukankah itu retorik yang memakan diri sendiri?

Para pemimpin DAP yang beretorik berpakat demi kepentingan kaum tertentu dan kemenangan dalam pilihanraya.

Yang paling retorik adalah kita yang memilih parti yang berjuang demi kepentingan individu dan berpakat demi menjatuhkan parti lain serta tidak jelas hala tuju perjuangannya!

UMNO? Tunggulah pemilihan agung nanti. Apakah kata dikota atau sekadar tinggal janji. Bersamalah kta renung dan fikir-fikirkan!

Thursday, February 19, 2009

POLITIK YANG DIPOLITIK

Semuanya bercelaru kerana politik yang dipolitikkan. Isu terbaru adalah berkenaan gambar bogel ADUN Bukit Lanjan, YB Elizabeth Wong. Ahli politik adalah "public figure". Apabila sesuatu isu dikeluarkan maka masyarakat akan berminat untuk mengikuti perkembangannya. Apatah lagi yang melibatkan isu moral. Dalam isu ini nampaknya pihak Pakatan Rakyat cuba memanipulasikan isu supaya ianya akan terkena kepada pihak lawan iaitu Barisan Nasional (BN). Begitu juga sebaliknya.

Saya bersetuju dengan pandangan YB Datuk Razali Ibrahim, Ahli Parlimen Muar yang menjelaskan bahawa BN tidak patut dipersalahkan kerana orang yang mengedarkan gambar tersebut bukannya orang BN bahkan teman lelaki YB Elli yang juga berjawatan dalam Parti Keadilan Rakyat. Apakah dalam setiap isu negatif yang berlaku kepada wakil rakyat Pakatan Rakyat maka kerajaan BN harus dipersalahkan.

Dah tahu "public figure" maka jagalah moral. Ingatlah bahawa satu telunjuk yang ditunjukkan kepada orang lain maka sepuluh penunjuk akan menunjuk kepada kita. Selepas ini agaknya Bukit mana pula yang akan diadakan pilihanraya? Saya cuba senaraikan antara Bukit yang ada Yang Berhormat selain ketiga-tiga Bukit tersebut...

Johor : Bukit Serampang, Bukit Permai, Bukit Batu (DUN)
Melaka : Bukit Katil (Parlimen), Bukit Baru (DUN)
Negeri Sembilan : Bukit Kepayang (DUN)
Selangor : Bukit Melawati, Bukit Antarabangsa, Bukit Gasing (DUN)
Wilayah Persekutuan KL : Bukit Bintang (Parlimen)
Perak : Bukit Chandan, Gunung Semanggol (Lagi tinggi daripada bukit) (DUN)
Kedah : Bukit Kayu Hitam, Bukit Lada, Bukit Pinang, Anak Bukit (Ada juga Bukit) (DUN)
Pulau Pinang : Bukit Mertajam, Bukit Gelugor, Bukit Bendera (Parlimen), Bukit Tengah, Bukit Tambun (DUN)
Pahang : Bukit Ibam (DUN), Cameron Highlands (Tanah Tinggi juga) (Parlimen)
Terengganu : Bukit Tunggal, Bukit Payung, Bukit Besi (DUN)
Kelantan : Bukit Tuku, Bukit Panau, Bunut Payung (Adik-beradik Bukit) (DUN)

Justeru, apabila menjadi ahli politik, berpolitik dan dipolitikkan .... lu pikirlah sendiri!

Friday, February 6, 2009

MACAM-MACAM ADA

Kita lupakan sejenak soal pergolakan politik yang berlaku di Perak. Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Barisan Nasional yang berjaya mendapatkan kembali kerajaan Negeri Perak daripada Pakatan Rakyat. Juga Tahniah dan syabas diucapkan kepada Dato' Dr. Zamri Abd Kadir (ADUN Lumut) yang bakal ditabalkan sebagai Menteri Besar Perak yang baru pada jam 3.30 petang nanti. Orang Melayu sudah naik meluat dan menyampah dengan sikap angkuh dan sombong DAP yang dominan dalam setiap keputusan kerajaan negeri di Perak. Kuasa Pengerusi DAP Perak seolah-olah melebihi kuasa Menteri Besar Perak. Pemilikan tanah selama 999 tahun kepada kampung baru yang mejoritinya adalah kaum Cina sudah cukup menggambarkan niat disebalik perjuangan rakyat mereka ini.

Kita tinggalkan cerita politik seketika. Bersamalah kita renungkan cerita yang disiarkan dalam Akhbar Metro ini sebagai pengajaran untuk kita. Ingat kesusahan dan keperitan ayah dan ibu membesarkan kita. Kehidupan umpama roda. Hari ini mungkin hari kita tapi esok belum tentu.

*****************************************************************************

Tajuk: ‘Gaji saya tidak cukup’

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro. com.my


SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam diberitahu seorang pensyarah sebuah universiti dan suaminya yang sebelum ini bersetuju memenuhi beberapa tuntutan termasuk menyara nafkah sepanjang hayat ibu bapanya, pendapatannya tidak mampu menampung perbelanjaan bulanan mereka.

Raja Suzana Kassim, 39, berkata pendapatan bulanannya berjumlah RM4,400 tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan menyebabkan kekurangan itu terpaksa ditampung pendapatan suaminya, Zulazli Hashim, 43.

Selain itu, dia turut memaklumkan mahkamah mengenai beberapa pinjaman bank termasuk pinjaman peribadi dan peruntukan gaji yang dibelanjakan untuk makanan, pakaian dan keperluan lain serta membayar insurans pendidikan anak-anaknya.

Menurutnya, dia memiliki tiga kereta, namun hanya sebuah masih belum selesai bayaran ansuran dengan bank.

Raja Suzana dan Zulazli sebagai defendan pertama dan kedua menghadapi tuntutan daripada pesara, Kassim Othman, 72, dan isteri, Fatimah Salleh, 64, di mahkamah berkenaan pada April 2007 kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya itu.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Kassim yang juga plaintif pertama dianugerahkan sebidang tanah oleh kerajaan negeri di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, di sini, sekitar Ogos 1971.

Plaintif pertama dan kedua (Fatimah) mendakwa mereka mendirikan sebuah rumah di atas tanah itu dan membesarkan lapan anak termasuk defendan pertama.

Mereka turut memaklumkan defendan pertama dan kedua mendirikan rumah tangga pada 1993.

Pada 2002, plaintif pertama bersetuju untuk memindah pemilikan tanah kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu.

Bagaimanapun, defendan memungkiri janji dan mengabaikan kebajikan plaintif.

Pada mulanya, plaintif dibenarkan tinggal di rumah itu tetapi layanan defendan begitu mengecewakan sebelum mereka diusir keluar oleh defendan pada akhir Ramadan 1425 Hijrah.

Pernyataan tuntutan itu turut menyatakan berlaku kejadian defendan pertama melakukan kekasaran terhadap plaintif kedua menyebabkan dia cedera. Satu laporan polis dibuat berikutan kejadian itu.

Dalam pernyataan itu turut menyebut keadaan itu menunjukkan defendan gagal, abai atau cuai untuk memenuhi janji selepas tanah itu dipindah milik dan gagal, abai atau cuai untuk melaksanakan tanggungjawab member nafkah kepada plaintif iaitu nafkah furu’.

Plaintif menuntut defendan memberi nafkah sepanjang hayat dan dibenarkan tinggal di rumah di Kampung Jiboi Baru seumur hidup selain diberi kebebasan bergerak secara munasabah serta melakukan aktiviti masing-masing dalam rumah itu serta persekitaran.

Malah, plaintif turut menuntut diberi kebebasan untuk dilawati anak lain dan bersama dengan anak lain di rumah itu pada bila-bila masa yang munasabah selama hayat mereka, defendan menghormati dan menjaga kebajikan mereka serta relif yang difikir sesuai oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Raja Suzana dan suami bersetuju memenuhi tuntutan ibu bapanya pada tahun lalu terutama berkaitan nafkah sepanjang hayat dan membenarkan mereka mendiami rumah berkenaan yang sudah dijual kepada orang lain tetapi disewa semula Raja Suzana.

Hakim Syarie Mohd Nadzri Abg Rahman menetapkan 24 Februari ini untuk membuat taksiran sama terhadap suami defendan.

Wednesday, February 4, 2009

BERSATU TEGUH, BERCERAI KAHWIN LAIN

Adoi..pening kepala dengan cerita politik sekarang. Semuanya bikin pusing dan berputar-putar. Lompat-melompat, kutuk-mengutuk, kata-mengata dan fitnah-menfitnah. Rakyat jadi keliru. Siapa yang betul dan siapa yang salah. Jati diri dan keikhlasan berkhidmat untuk rakyat seolah-olah tiada lagi dalam diri pemimpin. Kepercayaan rakyat memilih mereka seolah-olah tiada nilai. Sebelum dipilih pelbagai janji ditabur dan mulut manis berbicara. Semua isu dipolitikkan sehingga penjenayah pun dianggap hero.

Kita semakin leka dan lupa sejarah atau kita sengaja mengabaikan sejarah demi kepentingan masing-masing. Kepentingan politik dan peribadi melebihi segala-galanya. Yang bercita-cita tinggi harus mengukur baju di badan sendiri kerana mereka inilah yang akan merosakkan arena perjuangan. Walaupun politik "the art of war" namun isu-isu remeh ternyata menampakkan kebodohan dan kedangkalan akal. Lihat diri dan suasana persekitaran. Jangan sampai sokongan membawa rebah!

Dalam akhbar Sinar Harian, (Ahad, 1 Februari 2009), Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata bahawa UMNO patut dibubar dan ahlinya patut masuk PAS. DAP pula mengalu-alukan pemimpin Barisan Nasional (BN) menyertai mereka. Sejenak berfikir, dalam keadaan yang orang Melayu yang berkecamuk ini, Parti Pakatan Rakyat (PKR) yang patut dibubarkan kerana asasnya tiada relevan kepada kepentingan agama dan bangsa kerana sampai masa nanti PKR akan menjadi seumpama GERAKAN yang didominasi oleh sesuatu kaum sahaja. PKR tiada asas perjuangan yang kukuh. Itu adalah sejarah yang harus dikenang. Kalau mahu menjadi orang Kerajaan pilihlah UMNO dan kalau mahu menjadi pembangkang maka pilihlah PAS. Baru ada "give and take".

Teringat saya pada SMS yang pernah dihantar oleh Allahyarham Dato' Razali (P036 Kuala Terengganu) kepada kawan saya yang berbunyi : "Sudah puas menabur budi, emas juga dipandang orang".

Sejenak saya terfikir. Kalaulah mereka yang digelar pemimpin boleh beralih arah sesuka hati apatah lagi pengikut. Hakikatnya, kita bertelagah namun ada orang yang bersorak bertepuk tangan. Kita berpecah, kelebihan pada mereka!

PKR : Bersatu teguh, bercerai kahwin lain walaupun dengan janda kawan baik!

Friday, January 30, 2009

UMNO JANGAN KETINGGALAN ZAMAN

Merujuk kepada laporan dalam media Utusan Malaysia, nampaknya UMNO agak ketinggalan dalam arus massa yang pesat berkembang berbanding parti politik. Mungkin ini adalah antara punca UMNO kurang mendapat sokongan generasi muda yang hampir kebanyakkannya menggunakan medium internet sebagai rujukan utama.

Dalam kekalutan dengan cadangan untuk melupuskan sayap parti UMNO rasanya baik UMNO "rebranding" dalam memperkukuhkan golongan muda sebagai barisan pelapis yang mantap dan berkarismatik.

Mengapakah kita mudah terlupa pesan Saidina Umar Al-Khattab yang mengatakan bahawa didiklah anak mengikut peredaran zamannya. Justeru pemimpin UMNO perlu berubah dalam mendekati golongan muda bukannya bertelegah sesama sendiri berebut jawatan.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Pendaftaran keahlian UMNO secara Online

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini melancarkan sistem pendaftaran keahlian parti secara online di lobi Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menerusi kaedah tersebut, permohonan menjadi ahli UMNO boleh dibuat menerusi laman web www. daftar.umno.org.my.

Majlis pelancaran dilakukan pada kira-kira pukul 8.30 malam iaitu sejurus sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti di menara berkenaan.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak; Naib-naib Presiden parti iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam serta ahli-ahli MT.

Individu yang ingin mendaftar keahlian dikehendaki menaip nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat, telefon dan e-mel, negeri, bahagian dan cawangan yang ingin disertai.

Syarat untuk membuat pendaftaran ialah warganegara Malaysia dan kaum Melayu atau bumiputera.

Individu berkenaan juga dikehendaki membuat pengakuan untuk patuh kepada Perlembagaan, peraturan dan segala dasar parti.

Dipetik drp :