Tuesday, August 4, 2009

MEDIA BARU DAN SENARIO SEMASA

Keterbatasan masa yang berlalu laju seolah kita semakin jauh tertinggal di belakang. Alhamdulillah, media baru banyak memberi kelebihan pada kita berkongsi pandangan dan menjalin silaturahim bersama sahabat walau di mana pun berada. Bertemu kembali sahabat lama sambil mengupas kenangan lalu di waktu persekolahan. Ada pelbagai peristiwa pahit dan lucu. Itu mungkin satu kelebihan.

Namun, media baru juga banyak buruknya andai disalahguna yang kini menjadi medan fitnah dan berita palsu. Mungkin ini juga antara tanda bahawa kiamat semakin hampir.

Akhir-akhir ini negara semakin lesu dengan pelbagai isu. Penularan wabak H1N1 Selsema Babi yang kian merebak sehingga banyak sekolah dan IPTA yang terpaksa ditutup sementara (kuarantin).

Bahana Pakatan Rakyat yang membuat demonstrasi Mansuhkan ISA sehingga melumpuhkan ekonomi orang Melayu dan meruah negara di mata negara luar. Impaknya tiada apa melainkan kerosakan dan kerugian. Mereka ini sengaja menganjurkan perhimpunan haram agar segala kebobrokan dan kebejatan yang berlaku antara mereka dilupakan rakyat.

Senario politik orang Melayu yang kian keliru sehingga terbahagi kepada tiga kelompok yang akhirnya akan merugikan orang Melayu sendiri. Lihat sahaja perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat yang mana 95% adalah terdiri daripada orang Melayu sedangkan bangsa lain lebih selesa bercuti atau berehat di rumah. Kesannya, mereka tersenyum melihat kebodohan kita bertelagah sesama sendiri. Kini kita orang Melayu semakin tunduk kepada golongan minoriti, inilah kesannya apabila kita berpecah sesama sendiri sedangkan dalam beberapa isu yang melibatkan kepentingan mereka, mereka boleh menari dan menyanyi seirama dan senada tapi kita??

Wednesday, July 15, 2009

PAS MENANG DI MU : YANG TERSURAT DAN TERSIRAT

Adat bertanding akan ada yang kalah dan yang menang. PAS menang tipis di DUN Manek Urai. Kekalahan tipis calon Barisan Nasional (BN) semalam menunjukkan angin perubahan daripada rakyat bertiup kuat. Keputusan itu menunjukkan petanda rakyat sudah mula boleh menilai kepimpinan dan kewibawaan YAB Datuk Sri Najib Tun Razak untuk membawa pembaharuan kepada negara.

Pas mengekalkan kerusi DUN Manik Urai setelah calonnya, Mohd. Fauzi Abdullah mengalahkan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti hanya 65 undi.

Kekecohan yang berlaku bukan disebabkan oleh penduduk tempatan malahan disebabkan oleh penyokong luar.

Para pemimpin dan orang UMNO menerima kekalahan tersebut dengan semangat yang baik setelah mereka bekerja keras bagi menawan kubu kuat PAS tersebut. Kalah berprinsip di gelanggang lawan!

PAS perlu memahami mesej tersirat yang ingin disampaikan oleh rakyat bahawa mereka tidak akan menyokong parti tersebut lagi sekiranya pimpinan PAS masih berdolak-dalih dalam beberapa isu besar serta masih bekerjasama dengan DAP dan PKR. PAS juga semakin tersasar dalam perjuangannya bagi menegakkan agama Islam.

BN perlu melaksanakan segala janji yang diberikan bagi membuktikan bahawa BN sentiasa peka dengan masalah rakyat.

BN perlu menjelmakan calon seperti Tuan Aziz dalam PRU-13 yang sentiasa mendampingi rakyat dan hidup dalam penuh kesederhanaan bagi mengembalkan sokongan kuat rakyat.

Juga UMNO perlu meletakkan calon yang dikenali, berbudi bahasa dan boleh dibawa bersama rakyat tanpa sebarang "karper merah" serta yang utama, boleh menjadi imam di kawasan tersebut!

BN khasnya UMNO kena berani berubah dan sudah tentu perubahan memerlukan sedikit pengorbanan.

Yang jelas tersurat, rakyat sebenarnya juga ingin melihat perpaduan UMNO-PAS menjadi suatu realiti supaya kekuatan orang Melayuakan kembali tguh dalam memartabatkan agama dan tanahair!

Monday, July 13, 2009

NAJIB : 100 HARI MEMACU PERTIWI TERCINTA

100 hari sebagai Perdana Menteri Malaysia, sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu, YAB Dato' Sri Najib Tun Razak telah berjaya melaksanakan tugasannya dengan baik. 100 hari bukanlah suatu ukuran atau tanda aras (KPI) yang harus dijadikan ukuran kerana ianya adalah suatu masa yang agak singkat tetapi 100 hari juga boleh dijadikan permulaan kepada kepimpinan beliau untuk masa seterusnya.

Mendengar siri ucapan demi ucapan beliau, yang semakin didengar semakin menarik dan tertarik jelas menggambarkan anjakan kepimpinan kaizen beliau. Dalam hal ini, semua pemimpin khasnya kepimpinan UMNO dan BN harus memainkan peranan masing-masing bagi memacu hasrat, visi dan semangat yang telah beliau tunjukkan.

Manusia tidak ada yang "maksum" dan sempurna. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Manusia yang baik adalah manusia yang mempunyai banyak kebaikannya dan sedikit kekurangannya serta berusaha membaiki kelemahan dan kekurangan.

Sambutan Majlis 100 Hari Perdana Menteri Bersama Rakyat Datuk Sri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada hari Sabtu lalu cukup istimewa kerana sambutan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu bukan sahaja untuk meraikan Najib tetapi juga rakyat daripada pelbagai peringkat. Pada majlis tersebut juga, PM telah mengumumkan 11 'hadiah untuk rakyat' khasnya kepada golongan rakyat berpendapatan sederhana dan ke bawah serta meliputi semua golongan rakyat.

Masalah pengguna lebuh raya bertol, penyewa flat Dewan Bandaraya Kuala lumpur, peniaga kecil di Wilayah Persekutuan, belia India yang menganggur, penyewa permit teksi, kemudahan asas penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak, penunggang motosikal tanpa lesen - semuanya kini ditangani. Juga masalah lewat mendaftar kelahiran dan proses kewarganegaraan yang akan disegerakan. Kebimbangan rakyat tentang jenayah ragut dan curi kenderaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri.

Visi mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan serta meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah perlu dilaksanakan segera.

PM juga telah meletakkan enam daripada 11 hadiah tersebut dalam mengukur keberhasilan utama nasional (KRA) untuk mencapai matlamat Petunjuk Prestasi Utama (KPI.

Jelas langkah-langkah yang diumumkan oleh Najib itu mencerminkan usaha konsep 1 Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapai Diutamakan demi menjaga kesejahteraan rakyat yang menjadi teras kepimpinannya. 11 hadiah itu adalah hasil usaha PM merasai denyut nadi permasalahan rakyat melalui pendekatan turun padang.

Dalam sebarang keputusan, kepentingan rakyat didahulukan dan beliau tidak akan membuat sesuatu secara sewenang-wenang jauh sekali secara semberono.

Pendekatan memikirkan nasib rakyat dahulu sebelum membuat sebarang keputusan perlu dicontohi oleh anggota Kabinet dan pegawai tinggi kerajaan.

Nampak jelas sejak 100 hari lalu, apa yang rakyat tidak suka, Najib berusaha mengubahnya. Beliau telah berjaya menangkis segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh pihak pembangkang. Beliau juga memperhalusi dan sanggup menyesuaikan dirinya dengan apa yang dikehendaki rakyat.

Rakyat juga harus sedar siapa yang cuba mengganggu-gugat keharmonian negara sejak PRU 12 tahun lepas. Perhimpunan rakyat di KLCC mencerminkan semangat anak-anak muda untuk bangun gagah memakmurkan negara.

Ucapan PM menjawab soalan hadirin dalam program Wacana anjuran GEMPITA di Dewan Merdeka, PWTC pada malam tersebut juga jelas menampakkan keikhlasan dan kesungguhan beliau sebagai pemimpin nombor satu negara. Anak-anak muda era ini bijak menilai antara kaca dan permata dan setiap tindak-tanduk pihak-pihak yang cuba menjejaskan perpaduan negara perlu diberi isyarat jelas oleh mereka bahawa tiada ruang untuk mereka berbuat demikian di negara ini.

Sikap pemimpin yang bertopengkan agama, perjuangan keadilan dan memutar-belit sejarah perlu disedari oleh rakyat hari ini bahawa Kerajaan BN yang ada, membawa visi dan misi yang sama seperti pemimpin terdahulu untuk mentadbir negara yang unik ini dengan kepelbagaian adat dan budaya tanpa ada sikap pilih kasih.

Jika orang memberi dengan tangan kanan perlu disambut dengan tangan kanan. Keikhlasan Perdana Menteri dan kerajaan telah dilihat dalam 100 hari pentadbiran beliau. Meragui pemberian hadiah bukanlah adat kita.

Orang berbudi kita berbahasa orang memberi kita merasa. Jika sudah diberi hadiah sebagai rakyat hanya dua perkataan yang dapat menunjukkan kesyukuran kita. Terima kasih daun keladi. Teruskan usaha demi kepentingan agama, bangsa dan pertiwi tercinta...syabas PM!

Wednesday, July 1, 2009

perDEBATan ATAU perBINCANGan

Heboh seantero dunia. Manek Urai menjadi medan pertaruhan antara dua parti jagoan Melayu iaitu UMNO atau PAS. Calon sudahpun diumumkan. Kini kempen semakin hangat. Selain isu perpaduan yang hangat dibincangkan timbul juga isu Tuan Guru Nik Aziz yang mencabar Perdana Menteri untuk berdebat secara terbuka. Apa motifnya? Tidak lain tidak bukan adalah unuk memburukkan lagi rekod UMNO. Permainan politik sedemikian adalah permainan politiking gaya Anwar Ibrahim iaitu memburukkan orang lain dengan spekulasi, kemudian provokasi dan akhirnya dimanipulasi serta disensasikan.

Hebatnya politik manusia yang bernama Anwar Ibrahim ini adalah dalam memanipulasikan cerita yang sengaja disensasikan bagi meraih publisiti dan simpati orang ramai. Seorang kawan saya pernah melawak bahawa andai Anwar Ibrahim ini mengatakan air kopi itu adalah air suam maka orang ramai akan mempercayainya sebagai air suam. Begitulah hebatnya beliau. Itu dulu. Kini semua orang sudah tahu taktik politik beliau bagi menutup kes liwat yang sedang dibicarakan.

Bagi meraih sokongan ramai beliau telah berjaya memanipulasi PAS dan DAP yang akhirnya berjaya dikuasai sepenuhnya atas nama PAKATAN RAKYAT. Sehinggakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz pun terpesona dengan permainan politiking Anwar Ibrahim maka sebab itlah diwar-warkan tentang cabaran mengadakan debat terbuka. PAS yang dulunya hanya lantang dalam isu pembentukan negara Islam kini semakin hilang arah sehingga Tuan Guru Nik Aziz sanggup mencabar Ustaz Nasharudin meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS dan Ahli Parlimen Bachok sekiranya masih berbicara tentang isu kerajaan perpaduan.

Debat adalah pertandingan bukan perbincangan. Dalam debat akan ada sebelah pihak yang terasa puas hati dan akan ada yang akan terasa hati. Debat tidak akan menyelesaikan masalah bahkan debat akan mendatangkan lebih banyak masalah. Lihat sahaja perdebatan antara Anwar Ibrahim dan Shabery Chek. Apa hasilnya? Sehingga kini tiada apa-apa hasil daripada perdebatan tersebut!

Sekiranya Tuan Guru Nik Aziz ingin melihat keharmonian dan maruah agama, bangsa dan tanahair dihormati adalah lebih baik mencadangkan agar diadakan perbincangan. Bukankah melalui perbincangan maka akan banyak masalah dan persoalan yang dapat diselesaikan secara bersama. Itulah, kini Presiden PAS ibarat patung dan PAS sendiri adalah mesin yang mana "remote control"nya dipegang oleh Saudara Anwar Ibrahim!

Sebenarnya, bagi membentuk kerajaan perpaduan, PAS boleh membuat keputusan tanpa ada kaitan dengan PKR dan DAP. Membuat keputusan berlandaskan perbincangan dengan PKR dan DAP menunjukkan bahawa PAS adalah sebuah parti yang lemah dan mengharapkan ihsan orang lain. Jika begitulah sikapnya maka selama-lamanya PAS akan diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP! Berubahlah PAS! Jangan jadi lembu yang ditarik hidungnya!!

Friday, June 19, 2009

KITA PUNYAI KELEBIHAN APATAH LAGI ANAK-ANAK KITA!

Semalam saya dijemput ke udara di Astro Awani jam 8.00 malam membicarakan tentang tajuk "memperkasa sahsiah pelajar".Bersama saya Sdra. Irmohizam, GPMS dan Sdra. Wan Mohd Fyzal, Teras Pengupayaan Melayu dan dipengerusikan oleh Sdra. Suhaimi Sulaiman. Pandangan saya berkenaan isu pengurangan jumlah matapelajaran dalam SPM kepada 10 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bukanlah suatu isu sekiranya semua pihak khasnya para cendikiawan, guru dan ibubapa memainkan peranan aktif melihatnya daripada sudut yang positif kerana setiap isu yang dibangkitkan itu sudah ada yang berpandangan positif atau negatif.

Setiap ibubapa ingin melihat anak-anak mereka berjaya. Para guru juga sama dan begitu juga pihak kerajaan yang ingin melihat kejayaan generasi masa akan datang. Justeru dalam hal ini, semua pihak perlu bergandingan saling bekerjasama memainkan peranan demi kejayaan sahsiah pelajar bukan hanya menunding jari menyalahkan pihak guru sahaja. Ibubapa perlu menanamkan minat untuk anak belajar bukan memaksa mereka ke sekolah. Jika tidak ada minat dihati dan buat secara terpaksa maka bermacam perkara yang tak baik akan berlaku. Justeru, setiap pelajar ada kelebihan masing-masing. Kita perlu menggilapkannya kerana tidak semestinya mereka yang berkelulusan tinggi itu baik sahsiahnya!

Ini adalah antara cerita untuk sama kita renungi.

Seorang tukang air memiliki dua tempayan besar, masing-masing bergantung pada kedua hujung sebuah pikulan, yang dibawa menyilang pada bahunya.

Satu dari tempayan itu retak, sedangkan tempayan yang satunya lagi tidak.

Jika tempayan yang tidak retak itu selalu dapat membawa air penuh setelah perjalanan panjang dari mata air ke rumah majikannya, tempayan yang retak pula hanya dapat membawa air setengah penuh.

Selama dua tahun, hal ini terjadi setiap hari. Si tukang air hanya dapat membawa satu setengah tempayan air ke rumah majikannya. Tentu saja si tempayan yang tidak retak merasa bangga akan prestasinya, kerana dapat menunaikan tugasnya dengan sempurna.

Namun si tempayan retak yang malang itu merasa malu sekali akan ke-tidak-sempurnaan nya dan merasa sedih sebab ia hanya dapat memberikan setengah dari jumlah yang seharusnya dapat diberikannnya.

Setelah dua tahun tertekan oleh kegagalan pahit ini, tempayan retak itu berkata kepada si tukang air, "Saya sungguh malu pada diri saya sendiri, dan saya ingin mohon maaf kepadamu."

"Kenapa?" tanya si tukang air, "Kenapa kamu merasa malu?"

"Saya hanya mampu, selama dua tahun ini, membawa setengah jumlah air dari yang seharusnya dapat saya bawa kerana adanya retakan pada sisi saya telah membuat air yang saya bawa bocor sepanjang jalan menuju rumah majikan kita. Kerana kecacatan ini, saya telah membuatmu rugi." kata tempayan itu.

Si tukang air merasa kasihan pada si tempayan retak, dan dalam belas kasihannya, ia berkata, "Jika kita kembali ke rumah majikan besok. Aku ingin kamu perhatikan apa yang ada di sepanjang jalan."

Keesokannya, ketika mereka naik ke bukit, si tempayan retak memerhatikan keadaan di sepanjang jalan. Barulah ia menyedari bahwa ada bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan, dan itu membuatnya sedikit terhibur. Namun pada akhir perjalanan, ia kembali sedih kerana separuh air yang dibawanya telah bocor, dan kembali tempayan retak itu meminta maaf pada si tukang air atas kegagalannya.

Si tukang air berkata kepada tempayan itu, "Apakah kamu memerhatikan adanya bunga-bunga di sepanjang jalan hanya di sisimu... tapi tidak ada bunga di sepanjang jalan di sisi tempayan yang tidak retak itu? Itu kerana aku selalu menyedari akan kecacatanmu dan aku memanfaatkannya. Aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang jalan disisimu, dan setiap hari jika kita berjalan pulang dari mata air, kamu mengairi benih-benih itu. Selama dua tahun ini aku telah dapat memetik bunga-bunga indah itu untuk menghias meja majikan kita. Tanpa kamu sebagaimana kamu ada, majikan kita tak akan dapat menghias rumahnya seindah sekarang."

Setiap dari kita memiliki kecacatan dan kekurangan kita sendiri. Kita semua adalah tempayan retak. Namun jika kita mahu, Tuhan akan menggunakan kekurangan kita untuk menghias-Nya. Di mata Tuhan yang Maha Bijaksana, tak ada yang terbuang percuma. Jangan takut akan kekurangan kita. Kenalilah kelemahan kita. Ketahuilah, di dalam kelemahan kita, kita menemui kekuatan kita.

PERPADUAN : TERUSKANLAH

Perkara yang paling hangat diperkatakan sekarang adalah mengenai Kerajaan Perpaduan antara UMNO dan PAS. Media massa termasuk media baru - internet begitu hangat dengan pelbagai pandangan, reaksi, komen dan tak kurang juga maki-hamun. Semuanya ghairah bercakap berkenaan dengan kerajaan perpaduan ini, begitu juga yang menentangnya.

Secara peribadi saya berpendapat, perkara ini sudah berlaku semenjak awal penggabungan UMNO dan PAS dulu. Ianya tidak sepatutnya retak angkara sikap saling tidak mempercayai antara pemimpin kedua parti dulu. Sejarah tidak mungkin berbohong tetapi manusia yang banyak berbohong tentang sejarah. PAS adalah serpihan parti UMNO. Itu adalah realiti yang harus diterima oleh orang PAS. Mereka kena akuinya. Jadi jika benar perpaduan ini wujud maka ianya bolehlah diibaratkan seperti "sirih pulang ke gagang". Apa yang perlu digusarkan lagi sehingga Tok Guru pun melenting marahkan Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS. Saya kira Tok Guru pun semakin melupakan sejarah atau masih tersimpan peraaan tidak puas hati terhadap pemimpin UMNO yang masih berbuku. Tok Guru dihormati oleh orang PAS juga orang UMNO. Justeru, usahlah mudah melenting hingga hilang hormat orang kepada beliau. PAS boleh bekerjasama dengan PKR dan DAP yang secara terangan bertentangan dengan odeologi perjuangan PAS. Justeru, tiada bezanya antara perjuangan UMNO dan PAS kecuali nama PAS sebagai parti Islam. Itu sahaja.

Justeru, perpaduan harus diwujudkan demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair. Dalam kemelut yang semakin parah melanda tanahair ini ianya haruslah dipercepatkan dengan menerangkan secara jelas tentang perpaduan tersebut. Cuma, perpaduan ini tidak perlulah dihebohkan takut nanti seperti ayam ; 'bertelur sebiji riuh sekampung, telur sebiji itu pula tembelang"...bersatulah!

Sunday, May 24, 2009

DAH TAK ADA ISU LAIN KE USTAZAH PAS!

Politik kini macam-macam. Apabila melibatkan orang politik maka bagi pihak pembangkang semua perkara akan dibangkang walaupun ianya perkara baik lebih-lebih lagi di empat negeri (Perak kembali di bawah BN) yang kini dibawah jajahan kuasa mereka termasuklah Wilayah Persekutuan. Isu kecil sengaja diperbesarkan dan kalau isu besar lagilah akan menjadi besarnya. Seolah-olahnya tidak ada kerja lain yang harus dibuat. Ingatlah bahawa rakyat masih menanti perlaksanaan manifesto pilihanraya yang telah dijanjiakan dalam pilihanraya lepas. Dulu bukan main mengutuk mengata tapi kini apabila kena batang hidung sendiri maka lain pula jadinya. Bahkan penjenayah (isu Kugan) dianggap sebagai hero. Inikah politik yang mereka perjuangkan? Rakyat harus menilainya secara bijaksana!

Seminggu ini kecoh pasal isu "gangguan seksual" yang dibangkitkan oleh YB Dr. Lo' Lo', Ahli Parlimen Titiwangsa merujuk kepada ungkapan yang dikeluarkan oleh Senator Datuk Raja Nong Chik, Menteri Wilayah Persekutuan walaupun beliau telah memohon maaf secara peribadi tetapi tidak dimaafkan oleh YB Dr. Lo'Lo'. Hai..belajar agama kat mana ni ustazah sampai orang minta maaf pun tak diterima lepas tu kecoh-kecoh pula. Rasional lah sikit!

Jadilah ahli politik yang berpijak di bumi nyata. Rakyat masih menanti dan menunggu. Jangan mempolitikkan perkara benar sehingga menggugat keharmonian tanah air tercinta ini. Sedarlah..

Maklumat lanjut boleh dibaca di : http://www.malaysiakini.com/news/104951

Saturday, May 23, 2009

CERITA MANUSIA TAK SEDAR DIRI

Semalam Mahkamah telah mengisytiharkan YB Dato' Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Nampaknya cerita Perak ini tidak akan berkesudahan sehingga pilihanraya ke-13. Keputusan telah dibuat maka terimalah dengan hati yang terbuka. Pepatah lama warisan nek-moyang kita Orang Melayu : ikut rasa, binasa, ikut hati, mati. Masa kemenangan dulu berpihak pada YB Dato Seri Nizar, bukan main bersorak. Keluar pula kenyataan bahawa pihak mahkamah telus dan adil tetapi apabila kemenangan berpihak kepada orang lain maka kenyataan sebaliknya pula timbul. Apa cerita ni? Cakap tak serupa bikin maka politik mereka juga akan jadi tak serupa bikin.

Muktamar PAS akan berlangsung tidak lama lagi. Kali ini menyaksikan pertandingan yang cukup ramai. Pertembungan antara golongan profesional dan ulama. Setelah pilihanraya ke-12 yang lepas, PAS dengan pakatan bersama PKR dan DAP telah berjaya menguasai lima buah negeri. Kalau dahulu PAS begitu sinonim dengan agenda untuk menegakkan negara Islam dan hukum hudud, kini perjuangan PAS telah jauh tersasar. Tiada lagi istilah "kafir" bekerjasama dengan orang bukan Islam-DAP. Lihat sahaja apa yang berlaku setelah melebihi setahun di kelima buah negeri. Tiada bezanya sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan BN bahkan mesin judi dan rumah urut semakin bertambah banyak pula. Orang-orang PAS sekadar menjadi pemerhati seolah-olah menghalalkan pula perkara tersebut khasnya di negeri Selangor. Dulu lain sekarang lain. Dulu tidak ada kuasa tetapi sekarang sudah ada "power" tapi habuk pun apa yang dicakap dulu tidak dilaksanakan. Kini ada pula Kelab Penyokong PAS bagi ahli yang bukan Islam. Nanti akan ada kerusi pula bagi kelab tersebut. Nampaknya manusia masih tak sedar diri. Cakap saja!

Bukan main berlagak lagi nampaknya si'jagoan' ini main isu sensitif. Tambahan pula disokong oleh segolongan bangsa Melayu yang masih tak sedar diri dan gilakan kuasa. Sudah dibagi betis,paha pula yang dikehendaki. Taraf bumiputera. Ingat apa? Orang Melayu ni patung yang boleh dijentik hidung? Kalau ya pun hendak menjadi jagoan, maka jangan cuba timbulkan isu-isu sensitif yang akan menyebabkan perpecahan dan menganggu-gugat perpaduan yang "suam-suam kuku" ini. Kesannya amatlah dahsyat dan kekeruhan yang akan berlaku pula akan mengambil beratus tahun pula untuk dijernihkan. Agak-agaknya kalau si"jagoan" itu tidak berada di Malaysia mungkin dia menerima nasib yang sama macam apa yang berlaku di Sri Lanka. Yang paling kurang ajar ialah berani pula menggugut untuk buat demonstrasi jalanan sekiranya permintaan tidak dipatuhi. Siapa tuan punya tanahair ini? Cerminlah diri. Kalau tak nampak juga, ambillah lampu suluh atau berlumurlah atas tepung biar terang sikit nampaknya. Nampaknya kaduk sudah naik junjung. Jangan dikejut harimau yang tidur nanti buruk padahnya. Sedarlah diri tu!

Rupanya, dalam usia tanahair yang menjangkau melebihi setengah abad ini masih ramai manusia yang tidak sedarkan diri. Mabuk kuasa dan kepentingan diri sehingga sanggup mengorbankan kedaulatan dan maruah agama, bangsa dan negara. Lupa sejarah dan lupa segalanya. Juga lupa bahawa mereka hanya tetamu yang diberikan sedikit hak untuk menumpang di bilik kecil dalam rumah kita.

Saturday, May 16, 2009

SELAMAT HARI GURU, TERIMA KASIH SEMUA

Selamat Hari Guru diucapkan buat semua insan yang bergelar pendidik samada secara langsung atau tidak langsung. Tanpa mereka siapalah kita. Dalam Islam kita diajar supaya menghormati sesiapa sahaja yang telah memberikan ilmu pada kita walaupun seorang kanak-kanak kecil. Mulia sungguh jasa orang yang memberikan ilmu apatah lagi orang yang menyebarkan ilmu sehingga ianya berguna kepada semua orang. Dalam kemelut yang berlaku hari ini andai sikap saling hormat-menghormati diamalkan banyak perkara yang akan selesai.

Jasa guru disanjung tinggi. Jasa guru harus dikenang sehingga ke mati. Sebab itulah para ilmuan terdahulu berjaya dalam kehidupan mereka berbanding kini kerana masyarakat kini yang semakin memandang rendah tentang jasa para guru. Kesannya ialah anak-anak generasi baru yang semakin kurang ajar dan tiada tata-susila dalam diri. Apa tidaknya, guru kini tidak boleh merotan murid yang membuat salah. Menyentuh samada penampar jauh sekali. Berbeza dengan zaman dahulu. Rotan dengan guru seumpama irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Masih saya ingat, saya dirotan kerana gagal menyiapkan kerja rumah. Juga dirotan kerana salah bacaan dalam mengaji. Saya juga pernah dikenakan ketuk-ketampi sebanyak 100 kali sehingga koyak seluar kerana kesalahan yang dilakukan. Cikgu Rosdi (Cikgu BI) dan Cikgu Azaha (Cikgu BM) sewaktu saya di Tingkatan Dua di SMASID telah banyak memberi kesedaran kepada saya. Walaupun pendidikan kedua beliau diwaktu itu setakat SPM tetapi beliau telah memberikan ilmu kepada kami. Alhamdulillah, kerana rotan dan denda tersebut, hari ini saya menjadi insan yang berguna. Nama cikgu-cikgu sewaktu daripada TABIKA sehingga ke Universiti masih segar diingatan. Terima kasih cikgu.....jasa kalian hanya Tuhan yang mampu membalasnya!

Kalaulah Islam mengangkat darjat para pendidik ini begitu tinggi maka mereka yang bertanggungjawab menyedia dan menyiapkan infrastruktur seperti tabika, sekolah, kolej, universiti dan lain-lain yang berkaitan dengan tempat pembelajaran dan penyebaran ilmu maka tentulah darjatnya lagi tinggi daripada para pendidik. Tanpa kerajaan dan pemimpin yang bijaksana sudah tentu negara kita tidak mampu mencapai tahap sebegini. Begitu juga dengan diri kita. Sesekali terfikir (terutama mereka yang mendapat kebaikan daripada kerajaan tetapi melemparkan kembali fitnah, kutukan), tidakkah mereka merasa berdosa dengan kesalahan dan kesilapan mereka itu! Atau saja menidakkan perkara yang benar demi kepentingan sendiri! Nauzubillah...

Pesan seorang ustaz saya dahulu : "memilih pemimpin biarlah mereka yang mampu mengekalkan keharmonian demi agama, bangsa dan tanahair". Dan pesanan ini masih menjadi pegangan saya selagi hayat dikandung badan! Terima kasih Ustaz Mustafa Taib (kini Dato').

Buat para pendidik, teruskan usaha meningkatkan kegemilangan generasi akan datang! Tingkatkan perpaduan, semaikan kasih-sayang dan semangat saling-menghormati antara kita!