Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan sebanyak 10 sen lagi harga minyak berkuatkuasa esok. Berikutan itu, harga minyak petrol jenis RON 97 kini turun kepada RM2.45 seliter manakala harga RON 92 pula turun kepada RM2.30 seliter dan pengurangan minyak diesel, juga sebanyak 10 sen, kepada RM2.40 seliter.Berita penurunan harga minyak ini nampaknya tidak memberikan apa-apa kesan kepada rakyat Malaysia. Tiada apa-apa yang menggembirakan berikutan berita gembira ini menjelang aidilfitri berbanding perbincangan hangat seperti kenaikan harga minyak sebelum-sebelum ini. Ini adalah kerana rakyat sudah faham bahawa penurunan harga minyak ini tidak akan memberikan sebarang kesan kepada penurunan harga barang. Campur tolak kali dan bahagi maka golongan berpendapatan rendah dan rakyat tetap akan merasa kepedihan kenaikan harga minyak yang lalu.
Petang tadi, saya menghadiri majlis berbuka puasa bersama kawan-kawan lama (SBN) di Kelab Tasik Putrajaya. Majlis ini menghimpunkan kembali rakan-rakan sewaktu di zaman universiti dahulu. Alhamdulillah, ramai sahabat yang telah berjaya menjadi ahli korporat, imam masjid negara, pegawai kanan Menteri dan Timbalan Menteri, pegawai tinggi kerajaan juga mempunyai jawatan tinggi dalam parti politik dan NGO. Masa singkat yang ada digunakan sebaiknya bagi membincang dan mengimbas kembali kenangan lalu. Berita penurunan harga minyak ini hanya berlegar sekali lalu sahaja. Tiada sebarang kesan atau tanda-tanda gembira yang ditunjukkan berkenaan penurunan harga minyak ini. Ini hanyalah segerombolan kami yang dapat saya buat kesimpulan bahawa rakyat Malaysia pun mungkin berkeadaan yang sama seperti kami.
Harga sebiji kuih karipap pada Ramadhan kali ini naik kepada RM0.40 berbanding tahun lepas yang hanya berharga RM0.30. Bayangkanlah kalau dalam satu keluarga besar yang mempunyai sehingga sepuluh orang atau lebih maka kena berbelanja hampir RM4.00 dan ke atas hanya untuk merasai nikmatnya makan kuih karipap. Apakah dengan penurunan harga minyak ini akan menjadikan harga karipap tersebut akan turun atau masih sama harganya seperti tahun ini. Jawabannya mudah dan sudah tentu kita ada jawabannya. Naik akan terasa, minyak turun tidak akan memberikan sebarang kesannya kecuali jimat seciput sahaja. Namun, sebagai hamba Tuhan di bumi bertuah ini, rasa bersyukur haruslah sentiasa di jiwa. Tepuk dada tanya selera.



No comments:
Post a Comment