Monday, June 9, 2008

KITA PEMIMPIN...

Kita menjadi keliru kerana apabila berlaku sesuatu isu atau masalah maka yang akan disalahkan adalah pemimpin. Pemimpin yang dimaksudkan adalah pemimpin negara, pemimpin masyarakat atau mereka yang berjawatan seperti pengerusi, CEO, pengarah, ketua atau yang sewaktu dengannya. Kita mengambil sikap “kuman di seberang laut nampak tetapi gajah di depan mata tidak nampak”. Perkara berkaitan pemimpin ini sebenarnya samada disedari atau tidak merupakan sesuatu yang menentukan halatuju dan destinasi sesebuah organisasi yang dipimpin.

Apakah kita membaca kitab suci Al-Quran tanpa kita mengambil pengajaran daripada setiap ayat yang diturunkan oleh Allah swt. Setiap baris ayat mempunyai makna yang harus difahami sebaiknya oleh umat Muslim. Maksud firman Allah swt : Setiap manusia dilahirkan sebagai khalifah dan setiap manusi bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukannya”. Ayat ini memberi maksud bahawa setiap manusia yang dilahirkan ke atas dunia ini merupakan seorang pemimpin. Paling mudah berkenaan pemimpin dan kepemimpinan ini adalah ayah dan ibu menjadi pemimpin kepada sesebuah keluarga, abang dan kakak menjadi pemimpin kepada adik-adik dan begitulah seterusnya. Yang paling utama adalah kita menjadi pemimpin kepada diri kita sendiri.

Justeru, menyalahkan pemimpin bermaksud kita menyalahkan diri kita sendiri. Menyalahkan orang lain adalah suatu perkara yang mudah. Tetapi melihat, mengaku dan membetulkan kelemahan diri sendiri adalah suatu perkara yang paling mulia di sisi Allah swt. Kita berhak membetul dan menegur kesilapan yang dilakukan oleh orang lain dengan sebaiknya sekiranya ia bertentangan dengan landasan syariat dan memudaratkan masyarakat.

Setiap pemimpin yang dilantik memerlukan pengikut. Allah swt telah memerintahkan kita sembahyang berjemaah sekiranya kita melebihi seorang. Dalam solat berjemaah, kita ada imam dan makmun dan setiap makmun wajib mengikut imam dan dibenarkan menegur makmun sekiranya ada kesilapan. Begitulah hebatnya apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Menjadi pemimpin bukan boleh memerintah sesuka hati dan bebas melakukan sesuatu perkara tanpa perbincangan dengan para pengikut. Rasulallah saw yang hebat pun melalui majlis syura apabila membuat sesuatu keputusan. Inikan kita hamba yang serba kekurangan ini.

Ingat dan sedarlah bahawa kita semua adalah pemimpin. Jawatan pemimpin adalah suatu tanggungjawab dan amanah. Jangan berebut jawatan tersebut seandainya kemampuan diri tidak mampu untuk memikul bebanan amanah. Bersatu membentuk peribadi diri, keluarga, masyarakat dan negara kerana kita adalah pemimpin. Tanpa kita membetulkan yang di bawah, mustahil untuk kita membetulkan yang di atas dan begitulah sebaliknya. Karismatik harus dibentuk selaras dengan nilai kepimpinan. Belajarlah untuk menambah pengetahuan supaya kita tidak ketinggalan atau menjadi pemimpin yang gagal terutama dalam memimpin diri. Ayuh…kita pemimpin. Kita betulkan yang tak betul dan kita teruskan yang telah betul!

No comments: