Saturday, June 14, 2008

PEMIMPIN Melayu Tolong MELAYU

Pemimpin Melayu kita sering bercakap soal ekonomi, bangsa dan kepentingan menjaga politik orang Melayu. Bersemangat orang yang bercakap mahupun orang yang mendengar. Semuanya Melayu. Melayu mesti tolong Melayu.

Perkataan dan ayat-ayat ini telah bergema sehinggalah sekarang yang mana tanahair tercinta ini mencapai usia lebih lima puluh tahun kemerdekaan. Walau pelbagai dasar diperkenalkan bagi meningkatkan taraf ekonomi Melayu termasuklah juga pelbagai bantuan modal, pinjaman dan sebagainya, namun sehingga kini orang Melayu hanya mampu mencapai 18% sumber ekonomi negara. Purata pendapatan isi rumah orang Melayu pula adalah yang ketiga selepas kaum Cina dan India. Itulah malangnya nasib orang Melayu, merempat di tanahair sendiri. Kita marah dan cepat melenting apabila disebut orang Melayu ini malas, dengki dan pelbagai lagi sikap positif. Tetapi pernahkan kita cuba mengambil teguran ini sebagai sesuatu yang postif dan berusaha untuk berubah.

Pemimpin-pemimpin Melayu yang berjaya ini sebagai tokoh korporat, usahawan, ahli politik dan dihormati dalam masyarakat. Katanya ingin membantu bangsa Melayu meningkatkan taraf ekonomi bagi mencapai sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebanyak 30%. Pelbagai formula, kajian dilakukan namun hasilnya masih sama malahan peratusan peningkatan ekuiti milik Melayu semakin berkurangan.

Melawat ke pejabat tokoh-tokoh Melayu ini kita akan kagum dengan hasil gigih dan jerih usaha mereka. Mereka mempunyai segala-galanya. Bolehkah kita labelkan mereka ini sabagai ‘cakap tak serupa bikin” atau mereka mempunyai agenda lain. Mungkin bagi menarik pelabur bangsa lain atau sebagainya.

Kereta bukan buatan Malaysia. Pemandu dan setiausaha sulit bukan bangsa Melayu. Pengurusan dan kakitangan hanya beberapa kerat sahaja Melayu. Sewa lot pejabat yang pemiliknya bukan Melayu. Kereta yang “service” bukan di bengkel milik orang Melayu. Talian telefon bukan milik orang Melayu. Pakaian berjenama yang bukan berjenama Melayu. Bercakap diselang-seli dengan bahasabukan Melayu. Dan kekadang si isteri pun bukan berbangsa Melayu. Lalu apakah layak mereka ini bercakap soal kepentingan Melayu kerana mereka tidak memberi balik pulangan wang kepada bangsa Melayu

Jikalau hal ini masih tidak diubah dan berubah maka inilah yang dikatakan “cakap tak serupa bikin” dan menjadikan orang Melayu semakin LAYU! Benarlah kata mereka : Orang Melayu tolong meLAYU!

No comments: