Wednesday, June 11, 2008

KAWAN-KAWAN

Setiap manusia dikurniakan akal oleh Yang Maha Pencipta untuk berfikir. Akal fikiran yang berlandaskan kebaikan maka kebaikanlah jalan yang akan dia dapat dan begitulah sebaliknya. Tanpa akal yang waras kita akan menjadi lebih teruk daripada haiwan. Justeru, gunakanlah akal demi kebaikan semua.

Kesibukan mencari rezeki membataskan waktu bersama kawan-kawan. Masa memisahkan kita daripada teman-teman seperjuangan sewaktu bersama menempuh alam persekolahan. Kini semuanya sudah bekeluarga dan bekerjaya. Ada yang berjaya dan menduduki kerusi yang tinggi dan sebaliknya. Itulah lumrah dunia. Kehidupan seumpama roda, kekadang kita di atas dan ada waktunya kita akan berada di bawah. Sewaktu di atas jangan lupa rumput di bumi. Kita manusia saling memerlukan antara satu sama lain. Gabungan akal ramai orang akan menghasilkan suatu idea yang mantap. Keputusan seorang tidak akan mendapat idea sebegini. Percayalah, Tuhan menjadikan akal dan fikiran sebagai suatu benda yang paling hebat!

Bersama rakan-rakan yang hebat maka kita akan menjadi hebat. Itulah kelebihan mempunyai ramai kawan. Rezeki yang dikurniakan Tuhan untuk dikongsi bersama bukan untuk kita makan seorang. Rezeki yang diberi akan melimpah seandainya kita berkongsi dengan kawan-kawan yang lain. Hargailah kawan-kawan kerana tanpa mereka kita akan kesunyian. Kita bukan sesiapa juga tanpa kawan. Kawan yang baik adalah kawan yang sentiasa memberi nasihat dan teguran berguna. Kawan yang selalu memuji bukanlah kawan yang baik kerana memuji tanpa teguran akan merosakkan kita. Jangan mengutuk kawan. Jangan dengki kepada kawan dan orang lain.

Ada orang diwaktu susah mencari kawan tetapi di waktu senang lupakan kawan. Itu lumrah tetapi orang sebegini tidak akan mendapat kawan yang ramai. Berkawan atas sebab mempunyai niat dan agenda peribadi juga tidak akan kekal lama kerana sampai suatu ketika apabila hasratnya tercapai maka dia akan meninggalkan kawannya. Justeru, bersamalah kita menjadi kawan yang baik. Buat yang sudi menjadi kawan saya, terima kasih atas teguran, pandangan dan didikan sehingga saya menemui jalan kehidupan seperti sekarang. Segala budi dan jasa baik kawan-kawan tidak akan dilupakan!

2 comments:

NIZAM MAT SAARI said...

Wah, rajin buat posting bro. Baguslah, setidak-tidaknya blog jadi kita punya diari digital. Buleh gak anak cucu kita tengok kelak :)

MuSaFiR said...

TQ bro atas pandangan dan jd guru blog pd hamba yg marhaen ini. Blog ini tidak bertujuan utk komersial pun.Tak pernah diiklankan dan dicanang kpd kawan2. Alhamdulillah, dgn adanya broadband ni blh guna di mana2 dan pada bila2 masa. Keje pun banyak relaks.Kadang2 tu dlm kereta pun blh guna pakai sementara tiba ke destinasi..Itulah kehebatan teknologi. Kita tak pakai karang kita juga yg rugi bro!