Tuesday, June 10, 2008

DAN PEMIMPIN ITU ADALAH DIRI KITA

Lumrah manusia agaknya tanpa mengira bangsa, depan cakap lain manakala di belakang hebat mengata dan mengutuk. Depan bersetuju manakala belakang langsung tidak sependapat. Depan semuanya bagus, belakang pelbagai kutukan dan hinaan. Perkara ini terjadi terutama apabila orang di hadapan adalah orang yang mempunyai pangkat dan kedudukan atau lebih kebiasaannya yang berjawatan “boss”. Mereka yang berperangai sebegini pada pandangan saya hanya akan merosakkan organisasi, tidak disukai oleh kakitangan bawahan serta jikalau dia yang menjadi ketua maka organisasi tersebut juga akan mengalami saat kegelapan.

Menjadi pemimpin bukanlah suatu perkara yang mudah. Ianya memerlukan semua aspek seperti psikologi, karismatik, pengetahuan dan pandangan melalui perbincangan. Keputusan pemimpin yang bijak adalah melalui perbincangan dan melihat kepada kesan jangka pendek dan panjang kepada orang bawahan dan oranisasi keseluruhannya. Kebajikan orang bawahan adalah perkara penting yang harus dilaksanakan. Pemimpin yang mengutamakan kepentingan diri apabila jatuh ke bawah kelak tidak akan dihormati. Ada pemimpin yang boleh menjadi hebat di saat organisasi berada di tahap kecemerlangan tetapi jarang ada pemimpin yang hebat dapat mengembalikan kegemilangan organisasi di saat ianya jatuh merundum. Realitinya berlaku.

Mengambilkira pengalaman di dalam organisasi yang mana saya terlibat secara terus maka kesimpulan yang dapat diambil ialah amat payah untuk mencari pemimpin yang berkaliber dan mengambil kira kepentingan orang bawahan melebihi kepentingan dirinya. Cakap tak serupa bikin. Semuanya bagus tetapi realiti yang berlaku adalah sebaliknya.

Pemimpin yang berjaya adalah pemimpin yang mempunyai jaringan kenalan (network) yang bagus dan menggunakan jaringan tersebut untuk kejayaan organisasi. Dikenali dan disegani bukan ditakuti. Dihormati orang bawahan sewaktu ada dan disukai apabila tiada. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang dirindui sewaktu ketiadaannya. Semua seronok bekerja dan melakukan tugasan serta mengambil kira pandangan dan pendapat orang bawahan kerana tanpa pengikut yang bagus maka tiadalah pemimpin yang bagus.

Pemimpin yang baik bukan bersikap diktator atau kapitalisme tetapi yang mengamalkan amalan syura dan perbincangan. Keputusan melalui perbincangan melalui orang sepatutnya akan menghasilkan keputusan yang terbaik khasnya untuk organisasi. Tidak semestinya orang yang berkerusi tinggi mempunyai idea yang menarik kerana kekadang keempukan kerusi yang diduduki akan menjadikannya selesa dan ditenggelami keempukan kerusi tersebut.

Pemimpin juga harus berpegang kepada kata-kata : “walaupun aku cerdik tetapi orang lain tidak bodoh!”. Kita adalah pemimpin dan pemimpin yang baik ialah pemimpin yang boleh membawa diri sendiri mengikut landasan yang telah diamanahkan oleh Allah swt.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati,
Padahal kamulah org-orang yang paling tinggi darjatnya,
jika kamu orang-orang yang beriman."
Surah Al-Imran ayat: 139

No comments: