Saturday, October 18, 2008

YANG BAIK JADIKAN IKTIBAR

Malam tadi saya berkesempatan menonton filem "Troy" yang ditayangkan di TV3 sambil melayan karenah anak-anak. Cerita yang diadaptasikan daripada Epik Perang Trojan ini amat menarik dan banyak pengajaran yang boleh dipelajari terutama dalam suasana senario politik tanahair yang agak berkecamuk kini. Pengajaran yang dapat dipelajari adalah kerana ketamakan dan kepentingan pemimpin maka ramai yang menjadi mangsa korban termasuk kehancuran negara sedangkan ianya boleh diatasi dengan perbincangan. Dalam hal ini tiada siapa pun yang untung kerana diakhir cerita semuanya mati.

Saya tertarik dengan dialog watak utama filem ini iaitu Hector kepada Achilles sebelum mereka berlawan iaitu : "Marilah sama kita berdamai sementara peluang masih ada bagi mengelakkan banyak nyawa yang akan terkorban. Askar-askar ini begitu taat kepada pemimpin walaupun mereka tidak pernah bertemu muka dengan mereka. Mereka berkorban demi pemimpin."

Jika kita samakan dengan senario politik kita maka ada persamaannya seandainya perkara-perkara buruk ini terus berpanjangan. Yang menjadi mangsa adalah bangsa Melayu dan agama Islam. Justeru, marilah kita bersatu atas nama Islam agar keharmonian dan perpaduan dapat diteruskan. Perbalahan dan pertelagahan akan menimbulkan kesan negatif yang akan mengorbankan mereka yang tidak berdosa.


Troy is an epic movie released on May 14, 2004, concerning the Trojan War. It is loosely based on Homer's Iliad, but includes material from Virgil's Aeneid and other sources, and frequently diverges from myth. The film has the following cast of actors prominent at the time of its release: Brad Pitt as Achilles, Eric Bana as Hector, Orlando Bloom as Paris, Diane Kruger as Helen, Brian Cox as Agamemnon, Sean Bean as Odysseus, Rose Byrne as Briseis, Garrett Hedlund as Patroclus, Peter O'Toole as Priam, Brendan Gleeson as Menelaus, and Tyler Mane as Ajax. Troy was directed by Wolfgang Petersen and written by David Benioff. It received an Oscar nomination for its costume design.

Tuesday, October 14, 2008

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI

Mengambil bersempena kata-kata Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 bagi melengkapi teori RAHMAN iaitu R untuk Tunku Abdul Rahman, A untuk Abdul Razak, H untuk Hussein Onn, M untuk Tun Dr. Mahathir, A untuk Dato' Seri Abdullah dan seterusnya N untuk Dato' Seri Najib yang akan mengambil alih jawatan Presiden UMNO pada bulan Mac 2009.

Sekarang ini musim memilih perwakilan dan mengundi calon UMNO. Ramai calon yang menawarkan diri dan sibuklah "campaign manager" melobi dan memancing undi bagi memastikan calon yang dibawa melepasi had pencalonan bagi menjadi calon persidangan agung UMNO pada bulan Mac 2009. Dari warung kopi sehingga ke lobi hotel dan "coffee-house" isu hangat khasnya berkaitan calon yang diperbincangkan sambil masing-masing mempunyai pelbagai andaian, calon pilihan dan pelbagai lagi.

Masa yang panjang ini yang ada lebih kuang lima bulan adalah masa menyusun strateg, melobi dan memancing undi. Namun masa tersebut juga amat berbahaya kerana pelbagai skandal, ceria dan keburukan pemimpin yang didedahkan dengan meluasnya samada ianya benar atau salah tetapi matlamatnya adalah demi memastikan kemenangan calon yang bertanding. Perkataan "chai" sudah menjadi perkataan wajib setiap kali persidangan samada dalam UMNO, PKR dan lain-lain parti politik. Ianya bermaksud calon-calon yang disusun dan direstui oleh orang atasan.

Apakah dalam keghairahan melobi dan memancing undi maka amalan rasuah, memburukkan orang lain termasuk mantera dan jampi serapah digunakan. Kalaulah amalan ini berterusan maka UMNO tidak akan berada dalam keadaan stabil bagi memastikan kegemilangannya berterusan kerana dengan cara ini pihak yang menang sudah tentu tidak mencapai tahap kepimpinan bagi membela rakyat. Tradisi UMNO adalah membela nasib agama, bangsa dan negara. Apakah parti keramat ini akan terus berkekalan atau akan hanyut dalam lipatan sejarah dan mungkin akan tinggal muzium di negeri Johor, tempat penubuhan UMNO.

Semangat, roh dan menjiwai semangat pemimpin agama dan pertiwi tercinta harus disemat dan disemai dalam setiap diri rakyat beragama Islam dan berbangsa Melayu bagi memastikan perjuangan suci dan tulus ini tidak akan hanyut ditelan zaman globalisasi. Era perubahan kepimpinan dalam UMNO khasnya harus dilakukan dan pemimpin yang dilantik biarlah yang mampu mengembalikan kegemilangan UMNO. Bukan pemimpin yang hanya tahu bercakap, menggunakan duit dan bomoh kerana kesannya amat buruk. Dan paling utama, tidak diredhai Allah swt.

Friday, September 26, 2008

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMAD SAW

Tarikh : 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah
Tempat : Lembah Uranah, Gunung Arafah


"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.

Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.

Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu.

Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu.

Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.

Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabk an atas segala apa yang telah kamu lakukan.

Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya.

Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu. "




KITA CERDIK TETAPI ORANG LAIN TIDAK BODOH

Era globalisasi dan dunia tanpa sempadan telah mengubah tata cara pemikiran dan penyebaran maklumat tanpa ada sebarang batasan. Hanya "klip" maka segala maklumat ada di tangan. Itulah hebatnya teknologi dan ianya terus berkembang pesat. Suatu masa nanti tidak mustahil kertas sudah tidak diguna-pakai lagi. Semuanya menerusi kaedah implan yang diletakkan dalam tubuh.

Teknologi jika digunakan ke arah kebaikan maka banyak kelebihan dan kebaikannya dan begitulah sebaiknya. Dewasa ini, pelbagai berita dan cerita baik, buruk dan fitnah tersebar luas di arus perdana. Penggunaan media internet juga dikatakan antara penyumbang kepada keputusan teruk kerajaan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) yang lepas. Dulu disket digunakan kemudian cakera padat dan kini "thumb-drive" yang semakin canggih dan boleh menyimpan data dengan banyaknya.
Semua alatan termasuklah kenderaan kini menggunakan sistem teknologi. Talian telefon dan telefon yang semakin canggih. Dulu "handphone" saiznya teramatlah besarnya dan terkini hanya bersaiz sebesar jam tangan dengan pelbagai kemudahan tersedia. Itulah kehebatannya teknologi.

Rata-rata penduduk dunia khasnya golongan muda kini mempunyai laman blog tersendiri. Pelbagai perisian seperti email, myspace, friendster, multyply, fanbox dan lain-lainnya disediakan secara percuma dan boleh dilanggani dan dilayari bila-bila masa sahaja.

Kesan penggunaan teknologi kian terasa. Antara keburukannya ialah semakin menular sikap individualistik dan mementingkan diri sendiri Dalam keghairahan menggunakan media internet maka setiap berita dan cerita yang dipaparkan hendaklah diselidiki kebenaran dan kesahihannya. Dunia semakin menghampiri penghujung dan antara tanda-tanda semakin dekatnya hari kiamat adalah fitnah yang tersebar berleluasa.

Ingatlah bahawa dalam kita merasakan diri kita cerdik tetapi jangan menganggap orang lain bodoh kerana kini, semua maklumat di hujung jari.

Thursday, September 25, 2008

MINYAK TURUN, BARANG TAK TURUN

Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan sebanyak 10 sen lagi harga minyak berkuatkuasa esok. Berikutan itu, harga minyak petrol jenis RON 97 kini turun kepada RM2.45 seliter manakala harga RON 92 pula turun kepada RM2.30 seliter dan pengurangan minyak diesel, juga sebanyak 10 sen, kepada RM2.40 seliter.

Berita penurunan harga minyak ini nampaknya tidak memberikan apa-apa kesan kepada rakyat Malaysia. Tiada apa-apa yang menggembirakan berikutan berita gembira ini menjelang aidilfitri berbanding perbincangan hangat seperti kenaikan harga minyak sebelum-sebelum ini. Ini adalah kerana rakyat sudah faham bahawa penurunan harga minyak ini tidak akan memberikan sebarang kesan kepada penurunan harga barang. Campur tolak kali dan bahagi maka golongan berpendapatan rendah dan rakyat tetap akan merasa kepedihan kenaikan harga minyak yang lalu.

Petang tadi, saya menghadiri majlis berbuka puasa bersama kawan-kawan lama (SBN) di Kelab Tasik Putrajaya. Majlis ini menghimpunkan kembali rakan-rakan sewaktu di zaman universiti dahulu. Alhamdulillah, ramai sahabat yang telah berjaya menjadi ahli korporat, imam masjid negara, pegawai kanan Menteri dan Timbalan Menteri, pegawai tinggi kerajaan juga mempunyai jawatan tinggi dalam parti politik dan NGO. Masa singkat yang ada digunakan sebaiknya bagi membincang dan mengimbas kembali kenangan lalu. Berita penurunan harga minyak ini hanya berlegar sekali lalu sahaja. Tiada sebarang kesan atau tanda-tanda gembira yang ditunjukkan berkenaan penurunan harga minyak ini. Ini hanyalah segerombolan kami yang dapat saya buat kesimpulan bahawa rakyat Malaysia pun mungkin berkeadaan yang sama seperti kami.

Harga sebiji kuih karipap pada Ramadhan kali ini naik kepada RM0.40 berbanding tahun lepas yang hanya berharga RM0.30. Bayangkanlah kalau dalam satu keluarga besar yang mempunyai sehingga sepuluh orang atau lebih maka kena berbelanja hampir RM4.00 dan ke atas hanya untuk merasai nikmatnya makan kuih karipap. Apakah dengan penurunan harga minyak ini akan menjadikan harga karipap tersebut akan turun atau masih sama harganya seperti tahun ini. Jawabannya mudah dan sudah tentu kita ada jawabannya. Naik akan terasa, minyak turun tidak akan memberikan sebarang kesannya kecuali jimat seciput sahaja. Namun, sebagai hamba Tuhan di bumi bertuah ini, rasa bersyukur haruslah sentiasa di jiwa. Tepuk dada tanya selera.

Wednesday, September 24, 2008

KITA YANG PEMURAH

Ramadhan bulan yang mulia. Petang tadi saya dijemput ke Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim anjuran UBSA. Ramai kawan-kawan yang menderma. Alhamdulillah. Sikap pemurah yang harus diteruskan ke bulan-bulan yang lain. Biarlah berpanjangan. Kita mempunyai rezeki yang lebih maka dapatlah kita menderma. Ekonomi amat penting.

Orang Melayu amat terkenal dengan sikap dermawan, baik hati dan toleransi. Justeru, kembali kepada sejarah tanahair bahawa orang Melayu ini boleh berkongsi dengan bangsa-bangsa lain di bumi sendiri. Kita hanya ada kuasa politik yang kini kita juga akan kongsikan dengan orang lain. Setiap duit gaji atau apa yang kita dapat pun kita berikan kepada bangsa-bangsa lain. Cuba renung dan fikirkan bersama. Kita membeli makanan daripada Restoran Mamak yang bekas dan bahan-bahan masakannya dibeli daripada bangsa lain. Kita mandi menggunakan sabun, shampoo dan baldi yang dibeli daripada bangsa lain. Kita memakai pakaian, selipar dan lain-lain kelengkapan yang dibeli daripada bangsa lain. Bahkan boleh dikira tidak sampai 10 peratus pun kegunaan harian kita yang kita beli daripada orang Melayu sendiri. Mengapakah perkara ini terajdi? Jawapannya mudah sahaja. Orang Melayu itu pemurah dan dermawan.

Oleh kerana pemurahnya kita itulah maka kita senang diperkotak-katikkan oleh orang lain. Wang bukan segalanya tetapi wang boleh mengubah segalanya. Dalam menjangkau usia kemerdekaan negara melepasi separuh abad, kekuatan ekonomi orang Melayu hanya berlegar antara 16 sehingga 19 peratus sahaja. Bakinya dibolot orang lain. Salah siapakah ini? Kita sering menunding jari kepada pemimpin sedangkan kita jarang melihat kesalahan diri sendiri. Sebenarnya dalam kehidupan, cara terbaik adalah mengubah diri sendiri. Muhasabah dan lihat jauh ke dalam diri barulah akan kita temui apa yang sebenarnya terjadi. Kita selesa dengan apa yang ada. Jawatan tinggi dan pangkat. Kita leka, alpa dan hilang kepercayaan kepada bangsa sendiri. Perkara ini pernah diutarakan oleh organisasi tempat saya pernah berkhidmat dahulu yang mana Ketua Pegawai EKsekutifnya pernah mencadangkan untuk mengambil pegawai bangsa lain sebagai contoh kepada pekerja yang kesemuanya berbangsa Melayu. Kami para pekerja bawahan mengucap panjang dengan cadangan ini. Walaupun ia sekadar cadangan namun pada pandangan peribadi saya sebenarnya ia cukup memeritkan seolah-olah bangsa Melayu sudah hilang semangat dan disiplin kerjanya. Terfikir di hati kami, "hina sangatkah orang Melayu?"

Pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai subsidi, bantuan kewangan dan sebagainya. Dalam hal ini semua bersalah kerana tidak pernah bermuhasabah. Pemimpin, pegawai kerajaan, pihak yang diamanahkan dan rakyat. Cara terbaik bersamalah kita menunaikan tanggungjawab sebaiknya bagi menguatkan ekonomi bangsa dan ianya harus dilakukan oleh semua peringkat dari atas ke bawah dan bawah ke atas. Bercakap, bersembang dan duduk di atas kerusi empuk tanpa usaha tidak akan membuat apa-apa kejayaan dan mengubah pemikiran bangsa. Kita boleh bercakap menggunakan ayat Quran, Hadith dan berfalsafah namun hanya sekadar di bibir mulut. Tanpa praktikal ianya hanya sekadar angan-angan. Jangan takut untuk gagal. Jangan takut pada bayang-bayang sendiri. Ayuh kita sama berjihad ekonomi demi agama, bangsa dan negara. Berubahlah sebelum kita merempat di bumi sendiri kerana salah dan silap kita sendiri. Kita yang pemurah!

Monday, September 22, 2008

KITA ADA SEMANGAT

Dalam perjalanan dari Merlimau, Melaka ke Shah Alam bersama keluarga pada malam tadi, pelbagai pemandangan, sikap dan idea yang lahir dalam fikiran. Sikap segelintir pemandu yang memandu laju dan memotong secara zip-zap amat membahayakan. Saya terfikir, jikalau mereka tidak sayangkan nyawa mereka sekurang-kurangnya ingatlah tentang orang lain. Jikalau berlakunya kemalangan bukan hanya melibatkan mereka tetapi juga akan melibatkan orang lain. Dalam keghairahan menyambut aldilfitri yang bakal menjelang, pelbagai perkara yang tidak diundang pasti berlaku jikalau semua orang mementingkan diri sendiri. Kita ada semangat tetapi semangat yang membahayakan diri sendiri dan orang lain. Tidakkah itu sikap yang bodoh namanya!

Dalam fikiran saya juga terlintas berkenaan rancangan perniagaan. Mengapakah orang Melayu kurang berjaya dalam perniagaan yang dijalankan? Jawapannya adalah sebab sikap orang Melayu sendiri yang kurang membantu. Ini pengalaman saya sendiri. Sikap yang harus diubah. Dan saya terfikir mengenai rancangan untuk mengubah sikap ini ke arah jihad ekonomi. Caranya, saya mesti mengubah diri, keluarga dan komuniti saya. Bukankah kita mudah berniaga dalam komuniti kita? Dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini, saya gembira sekali kerana ramai kawan-kawan yang berniaga seperti di bazar Ramadhan, berniaga pakaian dan kasut juga berniaga benda yang dilarang iaitu mercun. Yang pasti mengapakah sikap keusahawanan ini tidak diteruskan ke bulan-bulan yang lain..

Kita ada semangat dan semangat harus ditiup sentiasa supaya ianya akan terus segar dan subur dijiwa. Semangat yang ada harus dikongsi dan digilap bersama. Komuniti adalah wadah terbaik kita memulakannya. Yang pasti dalam melaksanakan sesuatu, semangat mesti kuat. Kita dikurniakan oleh Allah swt semangat membara. Lihat cermin dan jeritkan "aku boleh...". Memang kita boleh. Orang Melayu boleh. Ibarat kata pepatah, "bersatu teguh bercerai kita roboh". Ayuh, lupakan politik seketika, kita sama majukan ekonomi kita dahulu.

Wednesday, September 17, 2008

16 SEPTEMBER yang biasa

Hari ini merupakan hari debaran buat rakyat Malaysia. Apakah akan berubahnya kerajaan. Semua orang merasa teruja untuk mengetahui sejarah hari ini. Ramai orang mengadap TV, buka internet dan lain-lain lagi. Namun nampaknya masih seperti hari-hari yang lepas. Semuanya cakap-cakap politik dan yang merana adalah kita sebagai rakyat. Demi kepentingan politik, kita berpecah dan bergaduh sesama sendiri.

Malam tadi selepas solat terawih, saya dan beberapa orang kawan yang terdiri daripada para Pengerusi Persatuan Penduduk berbincang mengenai beberapa perkara demi kepentingan komuniti sekitar khasnya berkenaan orang Melayu. Sahabat saya yang seorang ini (penyokong kuat PKR yang banyak menyumbang masa dan tenaga demi kepentingan Pakatan Rakyat) menyatakan rasa kecewa dan marah kepada tindakan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang seolah-olah makin melupakan golongan akar umbi. Katanya, YB Dr. Nasir (ADUN Kota Damansara) semakin sukar untuk berjumpa golongan bawahan. Jemputan yang dihantar susah sekali untuk dihadiri. Beliau merasa sungguh menyesal dengan sikap YB tersebut dan merasa tersalah menyokong seperti katanya "sokongan membawa rebah". Beliau juga merasa marah dan bengang dengan sikap seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor (PKR - Melayu) yang baru dijumpai petang tadi di Pejabat SUK yang memberikan pelbagai alasan mengenai beberapa isu berkaitan komuniti dan orang Melayu. Katanya; "kalau aku tahu begini jadinya, baik aku pangkah BN sahaja". Jawab saya mudah, "cakap ni senang, nak buat tu yang susah". Dulu sewaktu orang UMNO yang jadi wakil rakyat, ada juga program kemasyarakatan yang diadakan. Sekurang-kurangnya kepentingan komuniti ada juga terbela. Beliau diam dan hanya mengangguk tanda setuju.

Itu adalah beberapa luahan sahabat saya. Kami banyak berbincang demi kepentingan komuniti. Pada saya, jikalau kita meletakkan kepentingan politik dalam menggerakkan masyarakat maka perjuangan tersebut tidak akan ke mana. Justeru, kami sependapat bahawa tinggalkan dahulu pasal politik kerana dalam politik, yang untung adalah pemimpin atasan sedangkan kita hamba rakyat tetap seperti biasa. Takdak kerja, takdak makan...



Monday, September 15, 2008

KITA YANG KREATIF

Allah swt menjadikan setiap manusia itu sebagai makhluk yang dikurniakan akal dan fikiran. Manusia boleh berfikir antara perkara baik dan buruk. Sebab itulah keimanan manusia itu grafnya naik dan turun. Dalam perjalanan kehidupan ini, kita kekadang banyak memikirkan kepentingan sendiri sehingga kekadang mengorbankan kepentingan ramai terutama dalam kehidupan bermasyarakat.

Ramadhan mendekatkan diri kepada Allah swt. Alhamdulillah, solat Isyak ramai jemaahnya pada bulan yang mulia ini. Dan solat Terawih pula hanya setakat 8 rakaat sahaja yang penuh. Tak apa itu perkara sunat. Yang penting perkara wajib diselesaikan. Rumah-rumah anak-anak yatim dan orang miskin dibantu. Ramai yang bermurah hati menganjurkan majlis berbuka puasa, membawa mereka "shopping" hari raya dan memberikan derma. Sebenarnya, orang kita ini pemurah dan sebaiknya kemurahan hati ini dilakukan setiap bula dan bukan hanya pada bulan Ramadhan sahaja.

Orang Melayu merupakan bangsa yang kreatif dan mempunyai nilai susila yang tinggi. Orang Melayu adalah orang Islam. Itu hakikat yang harus diterima. Arus globalisasi kini banyak merubah dan mengubah masyarakat Melayu. Kita terpengaruh dengan arus kemodenan yang mengorbankan nilai-nilai budaya bangsa seperti tulisan jawi dan sebagainya. Kita bangga bertoleransi dengan bangsa lain. Kita banyak memberi dan berkorban sehingga kekadang merugikan keturunan kita sendiri. Kita kini kian lemas di tanahair sendiri. Banyak mengalah dan lebih senang menolong bangsa lain daripada menolong bangsa sendiri. Lihatlah apa yang kita beli dan pakai dalam kehidupan seharian. Bermula dengan makanan, pakaian sehinggalah kepada alatan rumah, berapa persenkah yang kita beli daripada bangsa sendiri? Inilah perkara pokok yang harus sama kita semaikan kembali ke dalam jiwa kita. Suburkan jihad ekonomi Islam dalam diri kita.

Gunakan sisi kreatif yang ada untuk kepentingan dan meningkatkan pengetahuan dan ekonomi orang Islam bukan meruntuhkannya. Masa makin pantas berlalu. Ayuh berubah atau biarkan bangsa kita terus hanyut dan akhirnya tenggelam. Kita yang harus mulakannya!