Sunday, May 4, 2008

BANDARAYA, BANDAR, PEKAN dan KAMPUNG

Tiga hari dua malam di Persada, JB memberikan banyak input dan pengalaman yang sukar dilupakan. Bersama para karyawan, tokoh korporat, pendidik, intelektual dan pejuang sosial memberikan sedikit kekuatan untuk sama berjuang demi perpaduan bangsa dan keutuhan syariat Islam.
Bak kata pepatah, untuk menjadi manusia yang pandai kita kena berguru. Saya mengakui mereka ini mempunyai banyak pengalaman dan pengetahuan yang hebat. Terasa kerdil diri ini sewaktu bersama mereka. Semangat untuk menambah pengetahuan di dada kian membara dan cara terbaik ialah berguru, membaca buku dan melakukan pengkajian secara ilmiah.

Bandaraya, bandar dan pekan mempunyai persamaan yang ketara. Sebut sahaja walau di mana pelosok bumi bermula dari utara hingga selatan juga ke Sabah dan Sarawak. Kebanyakan penghuninya adalah bukan bangsa Melayu atau pribumi. Apa yang berlaku adalah disebabkan dasar pecah dan perintah oleh penjajah.

Sikap toleransi orang Melayu terhadap bangsa lain adalah antara penyebab utama perkara ini berlaku. Ramai orang Melayu di bandar tetapi hanya bekerja sebagai "kuli" sahaja manakala "taukeh" adalah bangsa lain. Kita hanya mampu menjadi "taugeh" yang ditanam seketika kemudian dipungut untuk dimakan dan baja terbaik untuk "taugeh" ini adalah air kencing.

Kerancakan pembangunan dan bandar-bandar besar sebenarnya banyak merugikan bangsa Melayu. Berapa kerat orang Melayu yang mampu membeli rumah yang kosnya melebihi 250 ribu dan ke atas. Bagaimana dengan pemilikan rumah kedai dan perniagaan yang dijalankan. Orang Melayu baru belajar berniaga. Peluang harus diberikan oleh orang Melayu sendiri. Sedangkan bangsa lain sudah berniaga melebihi usia kemerdekaan tanahair dan sumber utama dikuasai oleh mereka ini.

Saya bersetuju dengan pandangan Naib Presiden, Gabungan Generasi Kedua Felda Malaysia dalam Perbincangan Meja Bulat, Kongres Permuafakatan Melayu yang menyarankan agar pusat bandar dan institusi pengajian tinggi di kawasan Felda perlu diperhebatkan bagi membuka peluang ekonomi kepada orang Melayu.

Saudara Zaaba Samad, Persatuan Sejarah Malaysia memberi pandangan bahawa kedudukan geografi kini kian terhakis disebabkan kawasan strategik yang dikuasai bangsa asing. Para pemimpin perlu lebih peka berkenaan perkara ini bagi mengelakkan kampung akan bertukar menjadi bandaraya, bandar dan pekan selepas ini akan terus lenyap pemilikan tanah oleh bangsa Melayu. Dan anak-anak kita akan datang akan terus merempat di tanah sendiri disebabkan kesilapan keputusan yang kita lakukan hari ini!

No comments: