Saturday, May 3, 2008

MALAYSIAKU : 50 TAHUN MERDEKA

Malaysia telah mencapai usia 50 tahun merdeka. Kalau itulah ukuran umur seorang manusia, maknanya sudah memasuki usia emas. Umur manusia semakin banyak maka semakin pendeklah usianya namun ketentuan ajal adalah kuasa Tuhan.

Menyusuri perjalanan ke Kongres Permuafakatan Melayu di Persada Johor, kami bertanya kepada seorang apek yang usianya juga dalam lingkungan 50-an tentang tempat yang hendak ditujui. Bukan apa, takut tersesat dan tersalah jalan. “Malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan”.Beliau yang kami temui sedang menunggu bas di Larkin bekerja dengan seorang taukeh sebangsa beliau sebagai tukang cat dengan pendapatan sebanyak RM100 sehari. Katanya ada ramai rakan yang bekerja bersama dan upah yang diberikan adalah berbeza. Beliau tinggal di bandaraya Johor Bahru dan masih bujang. Kami sekadar berhenti dan bertanya namun katanya rumah beliau tidak jauh dari tempat tersebut dan ingin menumpang kami.

Dalam perjalanan tersebut tidak banyak kami bercakap kerana beliau kurang fasih berbahasa Malaysia. Katanya beliau dulu tidak bersekolah di sekolah Melayu. Sampai di bandaraya Johor Bahru beliau menyuruh kami meletakkan beliau di sebuah perhentian bas dan gagal menunjukkan tempat yang kami tujui sekadar berkata tempat itu tidak jauh dari situ. Akhirnya kami terpaksa menelefon seorang sahabat yang tinggal di Johor Bahru untuk bertanya jalan yang sepatutnya ke Persada Johor. Terdetik juga dalam hati ini, menyesal betul tumpangkan si apek ini.Beliau naik kereta kami dan tiada sebarang faedah pun kepada kami. Yang untung dia. Jimat duit RM2.00 (tambang bas) dan jimat masa. Tadi beriya kata tahu tempat tersebut!

Merdeka sudah melebihi 50 tahun tapi masih ada warganegara yang seusia kemerdekaan negara tetapi tidak fasih berbahasa ibunda. Jika bahasa tidak fasih apatah lagi penjiwaan budaya dan adat pribumi tanahair bertuah ini, bangsa Melayu. Berbeza dengan masyarakat di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang mana mereka ini walau apa cara sekalipun tetap mahir dan fasih dalam loghat dan dialek masyarakat yang didampingi. Dalam soal ini siapa yang harus dipersalahkan ya!

Tepuk dada tanya selera. Kita banyak memberi dan bertoleransi sehingga apa yang kita berikan kekadang merugikan diri dan generasi akan datang.

No comments: