Wednesday, May 7, 2008

CERITA KAPAL LAYAR


Kapal layar ini destinasinya masih jauh. Sewaktu masa dulu gah ia seumpama nama-nama besar seperti Peter Gilmour atau Ian Williams yang selalu disebut dalam Piala Monsun. Gahnya kerana angin yang bertiup memberi kekuatan dan boleh membawa kapal layar terus ke destinasi pilihan.

Kapal layar ini sudah beberapa kali bertukar nakhodanya. Juak-juaknya masih ramai yang setia walau nakhoda silih berganti. Nakhoda bertukar kerana mengikut arah angin atau ditawarkan menjadi nakhoda kapal besar yang tidak menggunakan layar lagi. Ada juak yang mengikuti nakhoda terdahulu dan itu lumrah dunia. Kapal besar dibekalkan enjin yang hebat dan bebas bergerak tanpa memerlukan angin. Kapal besar payah untuk karam dan jika karam kapal besar mempunyai bot penyelamat (emergency boat). Seperti dalam salah satu modul lama Bina Insan Belia Negeri Selangor yang bernama "Emergency Boat" , kapten kapal boleh berkata : "you go to the boat". Maka dengan ini nakhoda dan anak kapal mempunyai peluang untuk menyelamatkan diri ke pulau atau tebing seterusnya boleh membina kapal baru dan belayar lagi.

Kapal layar ini selepas berlakunya tsunami yang telah menenggelamkan lima buah pulau dan tebing tinggi kian hilang arahnya. Cuaca telah bertukar mendung dan angin tiada lagi akibat tenggelamnya pulau-pulau tersebut. Anak-anak kapal mulai menggelabah dan keadaan haru-biru seketika. Namun, nakhoda yang dalam hatinya tiada siapa yang tahu denyutan nadinya masih mampu tersenyum sambil bermain layang-layang di atas pelantar kapal layar. Katanya, sekarang ini musin bermain layang-layang kerana apabila layang-layang makin tinggi maka orang akan melihat layang-layang tersebut. Layang-layang ini bebas diwarnakan mengikut kegemaran masing-masing.

Kegemaran nakhoda ialah bermain layang-layang kerana itulah kehendak semasa. Rakyat jelata sudah hilang kepercayaan kepada belon gas besar yang lesen penggunaannya dikawal oleh sang dewa. Kata mereka, belon gas ini hanya membawa khabar berita tentang orang tertentu yang penuh keasyikan sedang ramai yang merana. Bermain layang-layang bebas dan tiada sesiapa dapat mengawalnya. Asal ada angin di situ boleh bermain dan sesiapa boleh melihatnya.

Kapal layar ini, anak kapalnya mula mencari kapal lain untuk menyelamatkan diri sebelum ianya mulai tenggelam (pada pandangan mereka). Nakhoda dan juak-juak seringkali bertemu di dek dan berbincang mencari penyelesaian. Perkara ini tidak diketahui anak kapal yang hanya menunggu arahan juak-juak nakhoda. Anak kapal pening dan berkecamuk. Juak-juak yang seringkali bertemu di dek juga pening dan berkecamuk. Kata mereka kapal layar ini kian tenggelam akibat ada lubang terlanggar batu karang. Lubang kecil itu makin lama sedikit demi sedikit dimasuki air. Bebanan harus dikurangkan. Analisa dibuat dan nyata penumpang harus dikeluarkan dahulu bagi meneruskan kelangsungan kapal layar ini terapung di permukaan.

Kapal layar ini masih tepu tak berganjak. Perbincangan tanpa keputusan tidak menghasilkan apa-apa kepentingan. Kapal layar ini kelihatan makin parah keadaannya. Bocor yang berlaku hanya diketahui anak kapal dan mereka yang di dalamnya. Kemudi dipegang tetapi tidak digerakkan. Juga bukan suatu hasil yang baik.

Kapal layar ini masih boleh belayar. Tinggikan layar atau masukkan enjin baru. Tampal kebocoran tersebut. Tapi itu cuma pandangan seorang anak kapal yang tidak pernah diendahkan.

Anak kapal masih menunggu dan hingga saat ini masih menanti bilakah kapal layar ini akan bergerak. Mulai belayar ke destinasi dituju. Nokhada masih asyik bermain layang-layang. Tiada keputusan dibuat walau kemudi ditangan. Anak kapal mulai sepi merindui keluarga di kepulauan dan andai kapal layar ini masih tidak bergerak. Keputusan harus diambil. Tinggalkan kapal layar ini atau tenggelam ke dasar laut bersama kapal layar yang akhirnya akan menjadi sejarah yang mungkin dilupakan.

Nakhoda masih sunyi sepi tanpa keputusan. Dengar khabarnya nakhoda telah ditawarkan menjadi nakhoda kapal baru yang buatannya bukan sebarangan. Penuh seni halus dan buatan luar negara. Destinasinya juga jauh dan pengkalannya bukan sebarangan. Walau apapun yang berlaku, nakhoda kena pulihkan seketika kapal layar ini. Berikan keputusan tepat demi anak kapal yang kehilangan arah. Tunjukkan jalan dan kemudian berlabuh di perairan yang tenang. Carikan nakhoda baru sebagai pengganti. Juak-juak yang ada kurang pandai bermain layar. Bukan apa, nanti seandai ditengah pelayaran nakhoda baru, andai ombak datang melanda, sekurang-kurang dia tahu memberi arahan, tali mana yang harus dipegang supaya kapal layar ini akan terus belayar bukan tenggelam kerana tersalah pimpinan!

No comments: