Sunday, May 4, 2008

GABEM desak Khalid tidak adakan jawatan timbalan

Utusan Malaysia, 26/03/2008

SHAH ALAM 25 Mac – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) Selangor mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar tidak melantik wakil bukan Melayu untuk mengisi jawatan Timbalan Menteri Besar bagi menjaga kepentingan serta perasaan orang Melayu di negeri ini.


Setiausaha GABEM Selangor, Muhamad Radzillah Abdullah berkata, jawatan yang dituntut oleh DAP itu telah dimansuhkan sejak 1999 dan tidak perlu diadakan.

"Adalah lebih baik jawatan ini tidak diwujudkan bagi mengelak timbulnya perasaan tidak puas hati di kalangan orang Melayu.

"Jika Menteri Besar mahu terus mewujudkan jawatan ini, ia mesti diberikan kepada orang Melayu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Muhamad Radzillah berkata, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 jelas menyatakan jawatan Timbalan Menteri Besar mestilah dilantik di kalangan orang Melayu yang beragama Islam untuk memudahkan urusan memangku tugas Menteri Besar, khususnya melibatkan hal ehwal agama Islam.

Semalam, Setiausaha Publisiti DAP, Teresa Kok dalam kenyataannya memberitahu bahawa DAP berhak mendapat jawatan Timbalan Menteri Besar kerana parti itu menang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 15 kerusi yang ditandingi di Selangor iaitu kurang dua kerusi berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan itu turut mengambil kira keputusan kerajaan Pulau Pinang yang memberi jawatan Timbalan Menteri Besar kepada PKR walaupun hanya menang sembilan kerusi di negeri itu.

Bagaimanapun, Abdul Khalid pada sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Alam Shah di Klang semalam, tidak menolak kemungkinan akan melantik seorang Exco yang menunjukkan komitmen terbaik ke jawatan itu sungguhpun tiada keperluan berbuat demikian.

Dalam pada itu, Muhamad Radzillah, turut menyelar tindakan DAP yang sepatutnya sedar pelantikan Timbalan Menteri Besar dibuat atas perkenan Sultan Selangor dengan mengambil kira komposisi kaum di negeri itu.

No comments: