Thursday, June 19, 2008

HIDUP DAN KEHIDUPAN

Keadaan politik negara kini berada dalam keadaan yang berkecamuk. Ramai orang politik jadi kacau-bilau. SAPP akan membuat usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri pada hari Isnin ini. Pihak kerajaan dan pembangkang saling salah-menyalah dan mencari ruang kesalahan masing-masing. Hari ini genap 100 hari Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah negeri Pulau Pinang. Kenaikan harga minyak telah melupakan rakyat tentang banyak peristiwa politik dalam negara. Perpecahan dalam UMNO smakin parah terutama selepas keluarnya Tun Dr. Mahathir daripada parti. Di Selangor pula banyak ceramah telah diadakan. Mungkin pihak Pakatan Rakyat sedang "qodho" apa yang tidak dapat mereka lakukan dulu. Ceramah ini nampaknya bagus juga untuk memberi penerangan kepada rakyat. Bilangan hadirin pula semakin hari nampaknya semakin kurang bukan semakin bertambah. Pelbagai spekulasi dan sensasi politik tanahair semakin bertambah."Tanpa angin, masakan pokok akan bergoyang."

Dalam kehidupan ini, melangkaui usia yang kian meningkat ini pelbagai halangan, dugaan dan cabaran yang harus dilalui. Kena jalan dan cara pembawaan maka bersinar teranglah jalan yang dilalui. Silap dan tersalah memilih persimpangan maka gelita dan suramlah laluannya. Itulah lumrah kehidupan sementara ini. Takdir Tuhan dan usaha yang gigih akan menghasilkan kejayaan yang luar biasa. Kehidupan seumpama pusingan roda.

Berkongsi pandangan dan pengalaman bersama kawan-kawan yang kini bergelar usahawan berjaya memberikan pengetahuan dan resipi untuk menceburi bidang ini. Bermain dengan arang, walau behati-hati akan tetap terkena hitamnya. Itulah pepatah yang sebaiknya sebagai pedoman buat kita semua. Berkawan dengan orang berpengetahuan maka kita akan termasuk dalam orang yang berpengetahuan. Sekurang-kurangnya terkena tempias dan percikan tersebut.

Usaha berterusan dan idea yang mantap akan menghasilkan sesuatu yang hebat dan di luar dugaan. Hubungan persahabatan, kepercayaan dan rasa kebertanggungjawaban menjadikannya bertambah hebat. Idea unuk dikongsi bersama. Prinsip yang mudah “share the cake” kerana terlebih makan kek juga tidak baik untuk kesihatan. Masalah yang berlaku daripada dahulu hingga sekarang terutama dalam sesebuah organisasi adalah “orang yang bijak dan beridea harus disingkirkan”. Kisah seumpama “Singapura dilanggar todak” adalah realiti yang masih berlaku dalam masyarakat kita. Kita membuang orang yang beridea dan bijak sebenarnya merugikan organisasi kerana buang bijak maka siapakah yang akan tinggal? Tepuk dada tanya selera!

Kini, bagi merealisasikan impian maka usaha gigih dengan gabungan idea harus diteruskan. Terima kasih buat sahabat-sahabat yang dihormati lagi disegani, juga kerana sudi memberi idea, pandangan dan nasihat. Walau berjawatan dan berpangkat, kalian masih sudi bersama marhaen ini. Segala nasihat dan pandangan tidak akan disia-siakan. Jumpa di puncak kejayaan dan sasaran adalah sebelum tahun 2010.

Walau kita tidak mahu berubah, masa tetap akan mengubah kita kerana walau apapun dugaan hidup dan kehidupan perlu diteruskan!

No comments: