Friday, June 27, 2008

PEMIMPIN vs RAKYAT

Dalam senario politik yang berlaku sekarang, rakyat menjadi mangsa kepada keadaan. Semuanya berkecamuk. Pelbagai teori, ukuran, bandingan dan berita yang dilontarkan. Rakyat berkecamuk lagi dan pemimpin yang bertelagah masih sempat senyum riang sambil duduk semeja minum teh tarik. Walau pelbagai demo, bantahan dan suara rakyat serta beratus NGO (PROTES, GERAMM) yang ditubuhkan, hakikatnya masih sama. Rakyat masih mengisi petrol dalam kenderaan dan itulah jumlah yang perlu dibayar. Suka atau tidak. Setuju atau tidak, jumlah itu tetap kena bayar. Kalau tidak maka tidak berjalanlah kenderaan tersebut. Begitu juga dengan kenaikan harga barang. Suka atau tidak, barang kegunaan tetap kita akan beli.

Para pemimpin mengusulkan pelbagai langkah berjimat-cermat dan perbelanjaan berhemah. Bagi membuktikan pengorbanan para pemimpin kepada rakyat maka PM mengumumkan pemotongan elaun sebanyak 10%. Maka berkenaan hal ini media pun memukul canang seantero Malaysia. Begitu juga dengan lima negeri di bawah pentadbiran pihak pembangkang. Pada pandangan saya, PM perlu mengumumkan langkah perbelanjaan berhemah secara bijaksana bukannya sesuatu yang boleh dipersoalkan oleh rakyat. Pandangan saya, kalau betul hendak berjimat secara berhemah, setiap YB hanya perlu menggunakan kereta buatan Malaysia dan setiap orang hendaklah tidak melebihi dua buah sahaja. Kurangkan jumlah pengawal peribadi (bodyguard). Kurangkan lawatan ke luar negara menggunakan wang rakyat. Kurangkan program tidak bermanafaat kepada rakyat. Kurangkan program di hotel. Atau kurangkan gaji bukannya elaun. Dalam hal ini baik pihak kerajaan atau pembangkang, perkara berkaitan gaji dan elaun tidak pernah mereka bising-bising. Kenapa ya..kerana ianya adalah milik mereka dan bukannya milik rakyat!. Rakyat kini sudah cerdik dan boleh mencongak sendiri dalam hal kenaikan barang, siapa yang untung dan siapa yang rugi. Baik pemimpin dalam apa pun parti, berkenaan hal ini semuanya sama sahaja. Kena batang hidung semuanya diam. Tepuk dada tanya selera!

No comments: